SEBAHAGIAN peserta ceria pada kemuncak Karnival Sukan Rakyat di Kepala Batas, baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta ceria pada kemuncak Karnival Sukan Rakyat di Kepala Batas, baru-baru ini.
Mohd Badlishah Mohd Ali

Kepala Batas: Demi memperkasakan semangat silaturahim dalam kalangan penduduk setempat, JKKKP Ekor Kucing Kepala Batas dengan kerjasama Tadika Kemas Ekor Kucing menganjurkan program Karnival Sukan Rakyat 2017 yang berlangsung di Dewan Perda, Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Program itu menggamit penyertaan lebih 500 penduduk sekitar daerah Ekor Kucing yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.

Pelbagai acara menarik diadakan, antaranya bawa bola pingpong dengan sudu, gorila comel, tapak gajah, getah oh getah, oh `my kembar’, lontaran kasih, lari kepit kelapa, kotak misteri, tarik tali, kerusi berirama, boling klasik, basikal perlahan, motosikal perlahan dan tiup belon.

Motif utama program itu adalah membimbing peserta dari segi mental dan sosial selain turut berperanan mewujudkan suasana harmoni dan terbela dalam kalangan penduduk setempat dengan mengamalkan budaya hidup sihat dan berkualiti.

Selain itu, program berkenaan juga dianggap mampu memperkukuhkan dan memupuk nilai murni dan sikap proaktif.

Pengerusi Program Ali Darus berkata, temasya julung kali dianjurkan itu mendapat sambutan luar dugaan dan jawatankuasa pertandingan bercadang menjadikannya acara tahunan.

“Alhamdulillah program kali ini berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini. Terima kasih kepada semua kerana menunjukkan komitmen tinggi.

“Kami teruja dengan sorakan penduduk yang hadir tanpa mengira latar belakang politik. Saya nampak wajah keceriaan semua yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:15 AM