WAGNER (tiga dari kanan) dan pemain Huddersfield meraikan kejayaan di Wembley, semalam.
WAGNER (tiga dari kanan) dan pemain Huddersfield meraikan kejayaan di Wembley, semalam.
Reuters

London: Huddersfield Town kembali ke liga utama bola sepak Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun selepas menang secara dramatik menerusi penentuan penalti 4-3 ke atas Reading pada play-off Liga Kejuaraan di Wembley, awal pagi semalam.

Perlawanan itu berakhir 0-0 selepas masa tambahan dan pertahanan Jerman, Christopher Schindler meledak gol penalti kemenangan buat Huddersfield selepas Reading gagal menyempurnakan dua sepakan terakhir mereka.

Kemenangan itu memastikan sekurang-kurangnya £170 juta (RM935 juta) dari segi pendapatan terjamin buat Huddersfield sebagai kelab Liga Perdana musim depan.

“Hadiah itu terlalu besar, saya berasa kasihan buat (Reading)... tapi ini giliran kami dan saya fikir kami berhak kerana cara mereka melakukannya. Kami memberi banyak harapan kepada kelab kerdil,” jelas pengerusi Huddersfield, Dean Hoyle.

Huddersfield tersingkir daripada divisyen satu pada 1972 dan bergelut akhir-akhir ini dengan kedudukan ke-16 Liga Kejuaraan adalah penamat terbaik mereka sejak kembali ke divisyen dua lima tahun lalu.

Ketika tidak ramai meramalkan mereka akan naik liga, kelab Yorkshire itu kaya dengan sejarah dan juara di England tiga kali pada 1920-an.

“Ini tiada kena mengena dengan satu impian. Ini adalah realiti,” kata pemain pertahanan Michael Hefele.

“Kelompok pemain ini sudah meraih satu perkara besar - kelab kerdil sebegini akan berada dalam liga terbaik di dunia. Ia memang menakjubkan,” ujarnya.

Huddersfield, dilatih pengendali dari Jerman, David Wagner, turut memenangi separuh akhir playoff menentang Sheffield Wednesday menerusi penentuan penalti namun mereka berasa berhak meraih kemenangan itu selepas mengekang Reading yang hanya mampu melakukan percubaan jarak jauh.

Reading mendahului ketika penentuan penalti apabila rembatan lemah Hefele diselamatkan Ali Al-Habsi namun kelebihan itu hilang apabila sepakan Liam Moore melepasi palang bagi membolehkan Aaron Mooy menyamakan kedudukan 3-3.

Penjaga gol Huddersfield, Danny Ward cemerlang menyelamatkan rembatan Jordan Obita sebelum Schindler melengkapkan kemenangan menerusi penalti terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 10:16 AM