Pemain Huddersfield, Chris Lowe dan Juninho Bacuna menghalang pemain Leicester City, Shinji Okazaki (tengah) dalam aksi Liga Perdana. FOTO Reuters.
Pemain Huddersfield, Chris Lowe dan Juninho Bacuna menghalang pemain Leicester City, Shinji Okazaki (tengah) dalam aksi Liga Perdana. FOTO Reuters.
Agensi

AKSI terpuji penyerang, Jamie Vardy membantu pasukan Leicester City menewaskan kelab di tangga terbawah, Huddersfield, 4-1 di Stadium John Smith, malam tadi.

Youri Tielemans menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan dari jarak jauh dari sudut tepi padang pada minit ke-24.

Pemain tengah Belgium itu memanfaatkan kesilapan daripada Christopher Schindler yang menyepak lemah untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Vardy menambah jaringan kedua tiga minit selepas waktu rehat apabila berjaya menyambar bola hantaran pemain pertahanan kanan Ricardo Pereira yang menewaskan dua pertahanan, walaupun ada yang mengatakan penyerang itu berada pada kedudukan ofsaid ketika melakukan larian.

Huddersfield menjarakkan kedudukan empat minit kemudian apabila pemain tengah Aaron Mooy menyempurnakan penalti selepas Caglar Soyuncu menjatuhkan Karlan Grant di dalam kotak penalti.

Pemain Australia itu bijak memperdayakan penjaga gol Kasper Schmeichel untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, James Maddison melebarkan jaringan Leicester dengan kelebihan dua gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-79.

Penjaga gol Ben Hamer tersilap jangkaan apabila menyangka bola bergerak ke kanan sebelum mendapati bola berkenaan menerjah ke kiri gawang.

Vardy kemudian memastikan kemenangan menerusi penalti lima minit kemudian selepas Terence Kongolo melakukan kekasaran ke atasnya seterusnya berjaya menewaskan penjaga gol lawan.

Ia jaring ke 104 Vardy bersama Leicester dalam usaha mengatasi bekas penyerang England, Gary Lineker ketika mewakili kelab itu. Keputusan itu menyaksikan skuad Brendan Rodgers di tangga ke tujuh liga dengan 47 mata selepas 33 perlawanan mendahului Wolves dengan perbezaan jaringan.

Aksi pemain Burnley, Dwight McNeil (kiri) dihalang pemain tengah Bournemouth, Jefferson Lerma. FOTO AFP.
Aksi pemain Burnley, Dwight McNeil (kiri) dihalang pemain tengah Bournemouth, Jefferson Lerma. FOTO AFP.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, Burnley mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth di Stadium Vitality menerusi jaringan Chris Wood minit ke-18, Ashley Westwood (minit ke-20) dan Ashley Barnes (minit ke-57) manakala Bournemouth memperolehi gol menerusi jaringan sendiri Barnes minit keempat permainan.

Manakala, jaringan tunggal menerusi penalti yang disempurnakan oleh Luka Milivojevic membolehkan Crystal Palace mengalahkan Newcastle United, 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 1:00 AM