LIU Ying (kanan) kini berada di Jerman dan baru saja menjalani pembedahan bahu kanan.
LIU Ying (kanan) kini berada di Jerman dan baru saja menjalani pembedahan bahu kanan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang perak Olimpik Rio, Goh Liu Ying sah tidak akan beraksi di Kejohanan Dunia, Glasgow, Ogos ini.

Pemain berusia 28 tahun itu perlu menjalani pembedahan bahu kanan di Sportsklinik di Halle, Jerman dan dijangka berehat panjang untuk tempoh enam hingga sembilan bulan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan perkara berkenaan ketika menghantar skuad Piala Sudirman berlepas ke Gold Coast, Australia di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kelmarin.

“Seperti anda semua tahu Liu Ying sekarang berada di Jerman dan baru saja menjalani pembedahan bahu. Pembedahan itu mengambil masa 45 minit dan saya gembira doktor berjaya menyelesaikan kecederaan membelenggunya selama ini.

“Berikutan pembedahan itu, Liu Ying tidak boleh melakukan sebarang pergerakan berat sekurang-kurangnya empat bulan. Sekarang doktor akan memeriksa kecederaan lutut selepas dia menjalani pembedahan di kedua-dua kakinya pada 2014 tapi masih sakit.

“Secara keseluruhan dia berada dalam program pemulihan enam hingga sembilan bulan. Semuanya bergantung kepada tahap pemulihan dan kita memang mahu dia kembali ke gelanggang secepat mungkin,” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Gandingan kedua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan menjadi taruhan badan induk itu untuk menggantikan Chan Peng Soon-Liu Ying di Kejohanan Dunia nanti.

Ia juga masih belum diputuskan sama ada Peng Soon akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur bergandingan dengan pemain lain.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara yang dijangka mampu menggalas tugas di Sukan SEA ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 2:15 AM