SHANMUGAM (enam dari kanan) bersama kontinjen muaythai Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SHANMUGAM (enam dari kanan) bersama kontinjen muaythai Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan sukan di Melaka diminta menjaga atlet sebaik mungkin supaya mereka tidak terlepas ke tangan kontinjen lain menjelang Sukan Malaysia (Sukma XX), September depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V P Shanmugam berkata, faktor atlet kelahiran negeri itu yang bekerja, merantau atau mengikuti pengajian di negeri lain boleh menyebabkan mereka terlepas dan tidak disenaraikan dalam merealisasikan pencapaian pingat.

Menurutnya, sasaran pingat kontinjen terbabit turut dinaikkan dengan peningkatan 10 peratus berbanding pencapaian di Perak pada 2018.

Katanya, antara sukan berpotensi menyumbang emas termasuk renang dan wushu dan muay thai.

"Melaka bakal menghantar 500 atlet pada Sukma XX dengan jumlah lebih ramai kali ini berbanding di Perak berikutan terdapat 31 jenis sukan dijangka dipertandingkan.

"Persiapan sudah bermula dengan persatuan diminta menyediakan atlet terbaik dan pada masa sama, beberapa sukan akan diberi tumpuan khusus yang diyakini mampu menghadiahkan kilauan pingat buat negeri," katanya.

Beliau berkata, antara sukan yang dilihat meningkat sejak akhir-akhir ini termasuk sepak takraw.

Menurutnya, selepas tertangguh susulan penularan Covid-19, Sukma XX bakal berlangsung pada 29 September hingga 8 Oktober dan Sukan Para Sukma XX dari 29 Oktober hingga 6 November depan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam usaha memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten selain tidak ketandusan atlet untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Ia dijangka membabitkan 31 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan serta dua sukan demonstrasi - silambam dan kabaddi - tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 3:16 PM