HOOD Haqqi menyiapkan salah satu komponen dalam tugasannya.
HOOD Haqqi menyiapkan salah satu komponen dalam tugasannya.
Suliati Asri


TIDAK hanya merangkul pingat emas tetapi individu ini berjaya memungut markah tertinggi sekali gus meletakkan nama Malaysia di tangga pertama daripada 15 negara yang bertanding.

Itulah kejayaan berganda yang dikecapi pelajar semester empat Program Diploma In Manufacturing Engineering (Manufacturing Design), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Pahang, Hood Haqqi Adzlan yang memperoleh pingat emas sekali gus dinobatkan sebagai juara Kejohanan Worldskill Russia Ke-9 dalam bidang Rapid Prototyping.

Bukan itu saja, Hood Haqqi yang mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada pakar negara dalam Rapid Prototyping yang juga tenaga pengajar di KKTM, Mohd Asnawi Omar berjaya dengan pungutan markah keseluruhan sebanyak 550 mata.

Ia meletakkan Malaysia di tangga pertama daripada 15 negara yang bertanding pada kejohanan yang diadakan secara maya pada 22 hingga 25 Julai lalu.

Menurut Hood Haqqi, dia berasa bangga dengan prestasi dan pencapaiannya dalam pertandingan terbabit.

"Pada awalnya, saya sendiri tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang tetapi bersyukur dan bangga dengan kemenangan ini.

"Kejayaan ini bukan untuk diri saya sahaja tetapi juga untuk KKTM sekali gus menaikkan nama Malaysia dalam bidang Rapid Prototyping dan membuktikan kita juga mampu menandingi negara-negara hebat di luar sana," katanya.

Pandemik Covid-19 yang dihadapi kini tidak membatasi semangat Hood Haqqi untuk melakukan siap siaga sebelum beraksi di dalam kejohanan yang diadakan secara maya itu.

Atas dasar semangat jitu dan kesungguhan untuk mengharumkan nama negara, Hood Haqqi memberi komitmen sepenuhnya untuk mempelajari, mengasah kemahiran dan meningkatkan sesi latihan bersama pakar negara di KKTM Kuantan.

"Saya juga memastikan momentum dan konsistensi bagi memberi fokus sepenuhnya dalam sesi latihan.

HOOD Haqqi sentiasa memastikan dirinya mengekalkan momentum dan konsistensi bagi memberi fokus sepenuhnya dalam sesi latihan.
HOOD Haqqi sentiasa memastikan dirinya mengekalkan momentum dan konsistensi bagi memberi fokus sepenuhnya dalam sesi latihan.

"Ketika sesi latihan minggu yang terakhir, saya nekad untuk menutup atau padam akaun media sosial demi meningkatkan penumpuan semaksimum yang mungkin untuk berhadapan dengan saingan hebat dari luar negara," katanya.

Sebagai pelajar dan anak muda, Hood Haqqi juga tidak menyangkal cabaran yang dilalui dalam perjalanan ini amat sukar dari mula hingga akhir pertandingan.

"Antara cabaran yang dihadapi ialah saya terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk hadir ke KKTM sebulan lebih awal untuk membuat persiapan di makmal amric.

"Saya harus meningkat dan menguasai kemahiran dalam penggunaan mesin CNC 3 Axis, mesin 'vacuum casting' dan pencetak tiga dimensi (3D) supaya memberi prestasi yang terbaik buat Malaysia," kata Hood.

Bagi Asnawi, penerapan Skillset seperti permesinan CNC, percetakan 3D, permesinan teknik acuan tekan dan kaedah kekemasan pembacaan ketepatan pengukuran adalah sangat penting dalam membentuk kemahiran itu kepada pelajar KKTM.

Menurutnya, membuat ulang kaji dan latihan permesinan supaya peserta boleh menterjemah serta menyelesaikan semua kemahiran berkaitan antara langkah yang diambil Asmawi bagi mempersiapkan peserta.

"Saya juga sudah melihat potensi dan kelebihan Hood Haqqi dari aspek penguasaan teknologi terkini yang juga didedah dan diterapkan dalam sistem pendidikan KKTM.

"Selain itu, pemilikan dan penggunaan teknologi bertaraf dunia yang ada di KKTM adalah satu nilai tambah buat pelajar meningkatkan daya saing terhadap negara maju seperti di Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat (USA)," katanya.

Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) Mara yang berteraskan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) adalah amat signifikan dan relevan bagi meningkatkan keupayaan, kompetensi dan kebolehan untuk menguasai bidang-bidang teknologi moden yang menjadi teras penting kepada kemajuan negara.

Pelajar juga akan didedahkan kepada kepakaran terhadap sesuatu program semasa sesi pembelajaran.

Buat masa ini, TVET Mara adalah salah satu perjalanan kerjaya yang dipandang tinggi memandangkan kebanyakan teknologis bilionaire seperti Bill Gates (Software Windows), Steve Jobs (Apple Hardware) dan Elon Musk (Hardware Tesla) adalah berlatarbelakangkan kepada kemahiran itu sendiri.

Di luar negara khususnya di Jerman (Industri permesinan), USA (Silicone Valley), Arab Saudi (Saudi Aramco), Korea (Samsung) adalah negara yang berorientasikan kepada pengeksport kemahiran dan teknologi yang paling tinggi di dunia.

KKTM Kuantan adalah satu daripada 10 KKTM yang menawarkan kursus-kursus TVET seperti Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Automotif), Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Pembuatan), Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Teknologi dan Proses), Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri dan Robotik), Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Kualiti dan Produktiviti).

Kolej ini juga dilengkapi dengan makmal-makmal yang mempunyai peralatan canggih dan terkini bagi memastikan kualiti pembelajaran yang baik dapat dilaksanakan.

Sehingga hari ini, KKTM sudah melahirkan 21,587 graduan yang berjaya menembusi pasaran pekerjaan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:30 AM