PENGUMUMAN baharu sesi persekolahan bawa kelegaan, murid teruja rasai alam persekolahan
PENGUMUMAN baharu sesi persekolahan bawa kelegaan, murid teruja rasai alam persekolahan
Suliati Asri

SEJAK dari awal tahun ini, kes harian Covid-19 semakin meningkat. Walaupun tarikh permulaan penggal persekolahan untuk 2022 ini sudah diketahui, namun ibu bapa sepertinya dalam keadaan teka-teki mengenai sesi persekolahan anak mereka.

Adakah anak-anak perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), pergi ke sekolah, tetapi mengikut penggiliran atau bersekolah seperti biasa?

Persiapan kelengkapan sekolah juga rata-rata dilakukan pada saat akhir kerana khuatir 'pisang berbuah dua kali.'

Ini kerana anak-anak hanya sempat menggunakan baju atau kasut serta semua peralatan untuk beberapa bulan sebelum disimpan dalam almari.

Peniaga, Nadia Fitri Mohamad Havez, 34, berkata, selain berteka-teki, dia juga setiap masa berdebar menanti pengumuman dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, separuh jiwa berharap anak-anak dapat bersekolah penuh tanpa ada lagi PdPR, tetapi separuh jiwa lagi sangat risau dengan angka peningkatan kes terbaharu Covid-19.

Namun, apabila mendengar pengumuman terbaharu mengenai sesi persekolahan dan pihak sekolah juga sudah kongsikan jadual waktu, perasaannya sangat gembira.

"Saya sangat gembira kerana ketika kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, anak pertama baru beberapa bulan memulakan persekolahan di tahun satu.

MURID hadir ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. - Gambar hiasan
MURID hadir ke sekolah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. - Gambar hiasan

"Belum sempat merasa dan membiasakan diri dengan alam sekolah rendah, tiba-tiba Perdana Menteri mengumumkan 'lockdown' seluruh negara pada Mac 2020.

"Sejak itu sekolah dibuka dan ditutup beberapa kali, sekali gus membuatkan anak keliru serta tidak sempat merasa keseronokan bersekolah," katanya.

Sehingga kini, kata Nadia walaupun anak pertamanya itu sudah berada di Tahun 3, dia masih bertanya soalan asas murid Tahun 1 seperti 'tulisan ni nak selang berapa baris?'

"Jadi, untuk anak kedua ini, apabila menteri mengumumkan jadual penuh tanpa penggiliran untuk murid Tahun 1, 2 dan 6, saya sangat bersyukur.

"Sekurang-kurangnya anak-anak ini dapat mengenal alam persekolahan dengan lebih baik. Lebih-lebih penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira).

"Saya juga berharap tidak lama lagi semua anak-anak dapat bersekolah tanpa penggiliran sepenuhnya,'' katanya.

Menyentuh soal cara pembelajaran yang harapkan, ibu kepada tiga orang anak ini berkata, bagaimana sekalipun kita perlu menerima kenyataan bahawa Covid-19 memang ada dalam komuniti dan diisytihar sebagai endemik bermula 1 April ini.

"Kita perlu 'hidup' bersamanya sebagaimana kita perlu hidup dengan wabak lain seperti denggi, influenza dan lain-lain.

"Namun, saya amat berharap anak-anak dapat bersekolah seperti biasa sepenuhnya dengan pengambilan langkah berjaga-jaga seperti mengambil suntikan vaksin kepada kanak-kanak.

"Pendapat saya, proses pembelajaran di sekolah secara bersemuka amat penting untuk anak-anak mengembangkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran sosial, kemahiran aktiviti luar dan kemahiran saintifik (seperti penggunaan radas di makmal sains) yang hanya lengkap fasilitinya di sekolah," katanya.

Berkongsi mengenai persediaan persekolahan, Nadia berkata, dia mengambil langkah 'tunggu dulu' dan berbelanja pada saat akhir.

"Saya buat pembelian saat akhir kerana menunggu pengumuman dari KPM. Jika PdPR diteruskan, tidak perlu saya membuat persiapan yang lengkap seperti anak yang pertama dulu.

"Baru pakai tiga bulan, kemudian terus disimpan dalam almari," katanya yang mempersiapkan setiap anak dengan lima pasang baju untuk lengkap satu minggu persekolahan.

"Saya juga beli baju bersaiz besar sedikit. Kalau masih PKP tahun ini, sekurang-kurangnya baju sekolah itu masih boleh digunakan tahun hadapan," katanya.

Berkongsi telatah anak-anaknya yang memulakan persekolahan hari ini, Nadia berkata, anak-anaknya terutama yang bakal masuk Tahun 1 ini mula memakai kasut sekolah setiap masa, hatta ke padang permainan.

"Saya memberi kebebasan untuk mereka memilih sendiri kasut dan beg pilihan mereka. Jadi, dia memang sangat teruja memakai kasut yang dipilihnya sendiri," katanya.

Bagi Wan Farah Adibah Mohd Taha pula, dia biasanya membuat persiapan awal terutama membabitkan pakaian, kasut dan kelengkapan persekolahan anak-anaknya.

IBU bapa membantu anak mencuba baju sekolah. - Gambar hiasan
IBU bapa membantu anak mencuba baju sekolah. - Gambar hiasan

Namun, keadaan sekarang dia memilih untuk membuat persediaan akhir kerana takut PKP dilaksanakan kembali.

"Kalau sebelum ini ketika anak pertama akan memulakan persekolahan, saya akan membawanya membeli kelengkapan sekolah lebih awal.

"Ini kerana apabila membuat pembelian awal, kita boleh merancang perbelanjaan sebaiknya. Selain itu, saya juga tidak mahu bersesak dan mengelak saiz baju atau kasut anak kehabisan stok," katanya.

Wan Farah Adibah berkata, tidak seperti tahun sebelum ini, dia akan membelikan anak-anaknya empat pasang seorang, namun tahun ini hanya dua pasang seorang.

"Mengikut kepada pengalaman dua tahun sesi persekolahan sepanjang pandemik Covid-19 bermula 2020, baju sekolah mereka kelihatan masih baharu sebab jarang dipakai.

"Mahu diulang pakai, saiz pula sudah tidak muat," katanya yang turut mengambil saiz baju sedikit lebih besar berbanding saiz asal baju anaknya.

Dengan pembukaan kembali sekolah dan murid Tahun 1, 2 dan 6akan belajar seperti biasa, kata Wan Farah Adibah, ia adalah berita gembira terutama buat anak-anak.

"Sepanjang pandemik ini, anak-anak banyak menghabiskan masa belajar di rumah. Ketika sekolah buka, ada penggiliran pula.

"Tidak semua rakan kelas yang mereka jumpa. Sehingga ada sesetengah murid tidak mengenal rakan sekelas.

"Dengan pembukaan sekolah ini, anak-anak sangat gembira sebab mereka boleh berjumpa semua kawan-kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:00 AM