Anak-anak Shila Borhan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mereka. FOTO ADNAN IBRAHIM
Anak-anak Shila Borhan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mereka. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: Akibat kekangan hidup, lima beradik terpaksa berkongsi telefon bimbit milik ibunya untuk mengakses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan pada sesi persekolahan yang bermula kelmarin.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menunggu giliran untuk menyiapkan kerja sekolah yang dihantar melalui aplikasi WhatApps.

Shilla Borhan, 36, berkata, lima daripada lapan anak tinggal bersamanya selepas berpisah dengan suami kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, semua anaknya yang berusia lapan hingga 12 tahun itu bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan manakala seorang lagi bersekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) di sini.

Menurutnya, sebaik sesi persekolahan bermula kelmarin, dia memastikan semua anaknya dapat mengikuti PdPR walaupun mereka terpaksa berkongsi satu telefon pintar.

"Jika tahun sebelumnya saya tidak menang tangan untuk menguruskan anak-anak bersiap-siap ke sekolah, kali ini ternyata berbeza kerana mereka hanya perlu menyediakan buku latihan dan mengikuti pembelajaran secara maya di rumah.

"Bagaimanapun, saya terpaksa membahagikan masa penggunaan kerana tidak mahu mereka berebut untuk menggunakan satu-satunya telefon pintar yang ada," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Shila, akibat keadaan itu, anak-anaknya sering menjadikan murid yang terakhir menghantar tugas sekolah yang diberikan kerana perlu mengikut giliran menggunakan telefon pintar.

"Bukan berniat untuk menagih simpati masyarakat, namun inilah yang anak-anak saya lalui dalam mengikuti PdPR.

"Tidak semua ibu bapa mampu menyediakan gajet kepada anak-anak mereka untuk mengikuti PdPR.

"Memang sekolah ada menyediakan salinan kerja rumah yang boleh diambil ibu bapa di sekolah, namun ia tidak sama dengan cara bersemuka khususnya kepada murid-murid tahun satu yang baharu memulakan persekolahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:29 PM