Omar Ahmad


Johor Bahru: Selepas lebih enam bulan sesi persekolahan ditangguhkan, rata-rata murid Tahap Satu (Tahun 1,2 dan 3) begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera di sini mendapati, seawal 7 pagi, murid mula hadir ke sekolah dengan dihantar ibu bapa.

Bagi usahawan, Raden Siti Nur Shuhadah Naharudin, 30, walaupun sedikit bimbang, namun dia gembira anaknya, Harris Hayden Ibrahim, 8 dan Emmel Rayqarl Ibrahim, 7, dapat kembali bersekolah.

Katanya, sejak sekolah ditangguhkan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya berkesan 50 peratus.

"Banyak halangan untuk PdPR sebenarnya termasuk buat ibu bapa yang bekerja. Tapi Alhamdulillah... hari ini syukur sangat sesi persekolahan sudah bermula. Saya lebih yakin dengan sistem penggiliran yang diamalkan bagi sesi persekolahan ini.

"Macam anak saya satu kelas hanya 15 murid sahaja, malah sistem rehat pula pihak sekolah aturkan untuk makanan ke kelas dan sediakan bekas basuh tangan di luar kelas.

"Memang anak belum ada (terima) vaksin Covid-19 tetapi, saya ambil inisiatif sendiri untuk memberikan anak suntikan Influenza setiap tahun bagi mengelakkan kerap terkena jangkitan seperti selsema. Anak-anak saya paling seronok bila tahu akan mula persekolahan hari ini," katanya ketika ditemui di luar SK Angkatan Tentera di sini.

MURID Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini. FOTO Bernama
MURID Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera hadir ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini. FOTO Bernama

Bagi Peniaga, Ishak Mohd Elah, 43, dia rasa berdebar dan risau untuk menghantar anak ketiganya, Danish Daniel Ishak, 9, ke sekolah berikutan negara masih dalam pendemik Covid-19.

Namun, pada masa sama katanya, dia yakin dengan percaturan dan sistem pihak sekolah dalam mengurangkan penularan wabak itu dalam kalangan pelajar.

"Anak memang teruja, tidak sabar hendak sekolah. Sebelum mula sekolah ini, memang saya sudah banyak kali berpesan supaya jangan rapat sangat dengan rakan-rakan. Sentiasa pakai pelitup muka dan jaga jarak.

"Kalau tidak hantar ke sekolah pun susah juga, belajar PdPR tidak sama dengan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang saya rasa lebih berkesan," katanya.

Seramai 150 pelajar hadir di SK Angkatan Tentera dengan catatan 85 peratus kehadiran pada hari pertama persekolahan hari ini.

Pengoperasian sekolah hari ini bagi negeri Johor dan Terengganu membabitkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 untuk sekolah menengah.

Institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM akan beroperasi mengikut takwim masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:46 AM