Mohamed Farid Noh


Pontian: Tiga beradik kembar lelaki di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, di sini, teruja dan tidak sabar untuk memulakan alam persekolahan mereka, esok.

Abdul Raqib Abdul Razak, Abdul Raauf dan Abdul Rafik akan memulakan persekolahan di Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya, selepas mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah ( PdPR) sejak 20 Januari lalu.

Bapanya, Abdul Razak Abd Wahab, 41, berkata beliau dan isteri, Susilawati Saharuddin, 36, lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan untuk murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua, akan bermula esok.

Katanya, ketika PdPR lalu, kerja sekolah anak kembar tiganya yang juga anak keempat daripada lapan beradik itu dipantau anak sulungnya, Rabiatul Adawiah, 17, kerana mereka berdua tidak mempunyai tahap kesabaran tinggi dalam mengajar mereka.

"Alhamdulillah, esok mereka bakal memulakan sekolah di Tahun Satu selepas pembelajaran mereka di taman didikan kanak-kanak (Tadika) tahun lalu, hanya berlangsung beberapa bulan sahaja disebabkan wabak Covid-19.

"Kami sekeluarga sebenarnya sudah teruja sejak anak kembar tiga saya dilahirkan sehinggalah mereka ke Tadika dan esok Tahun Satu pula.

"Malah ketiga-tiga beradik kembar itu yang digelar Tiga Abdul itu tidak sabar sejak baju sekolah dibelikan, minggu lalu," katanya.

Abdul Razak berkata, walaupun teruja, dia tetap risau kerana mereka mula bersekolah di saat wabak Covid-19 belum reda dan guru sekolah sudah memberi pendedahan awal kepada murid baharu mengenai penjarakan sosial, memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan atau memakai cecair pembasmi kuman.

Menurutnya, mereka risau kerana Abdul Rafik mengalami masalah cerebral palsy membabitkan kedua-dua kakinya sejak lahir, sekali gus membataskan pergerakannya.

Pada 19 Februari lalu, KPM mengumumkan sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.

Kumpulan yang akan mula bersekolah esok ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.

Mengulas lanjut, ibu kembar berkenaan, Susilawati berkata, dia selalu berpesan kepada Abdul Raqib dan Abdul Raauf supaya sentiasa membantu Abdul Rafik yang mengalami masalah cerebral palsy.

Katanya, ini kerana pergerakan Abdul Rafik agak perlahan dan terbatas terutama ketika berjalan, memakai baju, seluar dan kasut serta aktiviti membabitkan pergerakan.

"Doktor pakar menyarankan Abdul Rafik bersekolah khas di Johor Bahru untuk kanak-kanak sepertinya, namun kerana jarak sekolah jauh serta tidak mahu memisahkan mereka bertiga, kami memutuskan untuk menghantarnya ke sekolah sama iaitu SK Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas," katanya.

Mengenai kos barang kelengkapan persekolahan termasuk baju sekolah dan kasut, Abdul Razak berkata, beliau membelanjakan RM1,500 untuk ketiga-tiga anak kembarnya itu.

Menurutnya, ia membabitkan yuran sekolah kebangsaan dan sekolah agama, pakaian sekolah dan buku mereka.

SUSILAWATI (kiri) bersama Abdul Razak memakaikan baju sekolah kepada tiga anak kembar mereka. FOTO ZAIN AHMED
SUSILAWATI (kiri) bersama Abdul Razak memakaikan baju sekolah kepada tiga anak kembar mereka. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 4:39 PM