Murid tahun lima menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Murid tahun lima menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Rata-rata murid yang memulakan sesi persekolahan tanpa penggiliran hari ini begitu teruja kerana mereka dapat kembali bersekolah seperti biasa dan bersemuka dengan guru.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini, mendapati murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka selain mengimbas suhu sebelum memasuki perkarangan sekolah.

Penjawat awam, Mohd Khairudin Mohd Jani, 30, berkata dia menyambut baik pengumuman sesi persekolahan kembali beroperasi seperti sedia kala bermula hari ini.

Menurutnya, ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) di sekolah lebih berkesan berbanding Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19.

"Ini bukan bermakna ibu bapa hendak melepaskan tanggungjawab, tetapi proses PnP di sekolah membolehkan anak-anak berinteraksi dan bertanya secara terus dengan guru.

"Ia juga disebabkan tidak semua ibu bapa dapat memberikan penjelasan terperinci sebagaimana guru di sekolah.

"Sebagai langkah keselamatan, saya membekalkan cecair pembasmi kuman dan turut berpesan kepada anak agar sentiasa memakai pelitup muka serta mengikuti arahan guru," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafiq Nasir, 34, berkata, dia berasa lega apabila dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun dapat bersekolah seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, separuh jiwanya tetap diselubungi perasaan risau mengenai keselamatan anak-anaknya sepanjang berada di sekolah kerana penularan Covid-19 masih berlaku.

"Dua anak saya ini masih menunggu temujanji untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai pelindung diri," katanya.

Semalam, media melaporkan murid sekolah rendah akan menjalani sesi persekolahan bersemuka tanpa penggiliran bermula hari ini bagi negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Manakala, esok buat negeri-negeri Kumpulan B seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:04 PM