GAMBAR kenangan program Guru Muda bersama pelajar SMK Pandan.
GAMBAR kenangan program Guru Muda bersama pelajar SMK Pandan.


Pendidikan Seni Visual (PSV) ialah salah satu subjek elektif dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Subjek ini berperanan besar dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kerana ia merentasi kurikulum dalam subjek-subjek lain.

Sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memerlukan pelajar seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani, subjek ini penting untuk pelajar berkreativiti namun masih mementingkan pelajaran secara holistik.

Menyedari hakikat itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan, Pahang menganjurkan beberapa kolaborasi dengan dua sekolah iaitu SMK Convent Sentul Kuala Lumpur dan SMK Pandan, Kuantan menerusi Program Kolaborasi Ilmu Integrasi Bestari dan Bengkel Kecemerlangan Kertas Dua PSV.

Penyelaras program yang juga guru subjek PSV Rizuan Shah Hapipi berkata, program kolaborasi itu diadakan sebagai perkongsian teknik menjawab soalan yang tepat, tip untuk skor A dalam peperiksaan dan teknik mewarna yang mudah, cepat serta cantik.

Menurutnya, bengkal itu juga adalah perkongsian cara paling efektif dalam menghadapi peperiksaan SPM 22/23 untuk kertas 2, Menggambar dan perkongsian pengalaman dalam bidang PSV serta peluang yang boleh diperoleh dengan menyambung pengajian dalam bidang seni lukis dan seni reka.

Rizuan Shah berkata, walaupun mempunyai masa yang terhad, namun ia tidak menjadi halangan untuknya bukan hanya berkongsi pengalaman, tetapi menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik.

PELAJAR yang mengambil subjek PSV sedang melukis menggunakan kaedah disampaikan semasa ceramah.
PELAJAR yang mengambil subjek PSV sedang melukis menggunakan kaedah disampaikan semasa ceramah.

"Fokus utama saya adalah untuk memberikan keutamaan kepada aktiviti catan menggambar untuk SPM Kertas 2 PSV-Menggambar.

"Teknik penskoran kertas dua dengan cara yang tepat untuk menyelesaikan catan menggambar dalam masa tiga jam termasuk berjaya 'touch up' hasil karya masing-masing dengan baik," katanya.

Rizuan Shah juga berkongsi teknik tepat menyelesaikan kertas peperiksaan PSV.

"Pembahagian masa sangat penting, berapa minit yang perlu diperuntukkan untuk melukis, mewarna dan menata hias kembali karya kita supaya menjadi sempurna.

"Jangan berlengah, masa tidak akan menunggu kita," katanya.

Sebagai seorang guru PSV dan mempunyai pengalaman di luar negara, Rizuan Shah berharap subjek PSV dilihat sebagai mata pelajaran yang turut menawarkan peluang yang cerah.

"Dunia sudah berubah dan bidang seni bukan lagi aliran dikatakan tiada masa depan, sebaliknya mereka ada peluang luas.

"Bidang ini mempunyai banyak peluang karier. Jadi menerusi program kolaborasi ini, kami ingin mengubah persepsi pelajar, sekali gus pada akhirnya satu hari nanti mereka pelapis dalam bidang ini.

PELAJAR  tekun menyiapkan lukisan.
PELAJAR tekun menyiapkan lukisan.

"Seharusnya, stigma negatif terhadap bidang seni perlu dibuang dan menjadi warga negara berminda kelas pertama di mana budaya dan pendidikan berpisah tiada," katanya.

Ketua Panitia subjek PSV SMK Convent Sentul, Nik Syazwani Nik Azman pula berkata, bengkel ini diadakan untuk mengubah persepsi pelajar bahawa subjek ini subjek yang berdaya saing.

Justeru katanya, pelajar dalam bidang seni ada peluang cerah bersaing merebut tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Graduan dalam bidang seni mempunyai nilai dalam kebolehpasaran dan kini pelbagai peluang karier boleh diceburi dalam bidang seni lukis dan seni reka," katanya.

Nik Syazwani berkata, perkongsian daripada Rizuan Shah bagi program ini untuk membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar di samping berkongsi pengalaman dalam bidang seni visual khususnya sekolah menengah.

"Dengan pengalaman mengajar selama belasan tahun dalam bidang seni visual ini dan pernah menetap di Amerika Syarikat, kehadiran Cikgu Rizuan dapat membuka minda pelajar dan memperbaiki stigma negatif terhadap subjek PSV ini," katanya.

Program yang sama juga dilaksanakan di SMK Pandan. Namun, ia berbeza sedikit kerana membabitkan Guru Muda iaitu program cetusan idea guru SMK Bukit Rangin dan disokong Pengetua Hanita Kassim yang bertujuan menambah minat pelajar, mewujudkan daya saing yang sihat seterusnya menghasilkan karya terbaik.

Objektif pelaksanaan Guru Muda ialah membantu rakan seusia mereka supaya penyampaian diberi penceramah lebih berkesan kerana mereka dibimbing guru muda yang juga calon SPM.

GURU muda memperlihatkan teknik mewarna dan kemahirannya kepada pelajar.
GURU muda memperlihatkan teknik mewarna dan kemahirannya kepada pelajar.

Selain mengasah bakat secara menyeluruh kerana Guru Muda ini juga perlu melakukan praktis bersama pelajar sekolah lain, mereka didedahkan dengan sistem presentasi dan pengucapan awam.

Ini kerana mereka perlu bertindak sebagai fasilitator seterusnya membentuk keyakinan diri untuk berada di hadapan penonton.

Pemilihan Guru Muda dimulakan apabila bakat murid dikesan terlebih awal oleh guru subjek PSV.

Kemudiannya pelajar berkarya secara mingguan dan karya terbaik disenarai pendek sebelum dipilih sebagai wakil Guru Muda 'BRASS.'

Kriteria pemilihan memerlukan pelajar yang komited dan berdedikasi serta mudah menerima arahan dan menyampaikan maklumat kepada pihak ketiga (murid lain).

Pada masa sama, Guru PSV SMK Pandan, Norfazlina Romli yang berminat dengan program Guru Muda menjemput Rizuan Shah dan wakil tiga Guru Muda dari SMK Bukit Rangin iaitu Mohamad Saifulsah, Ahmad Iklil dan Norman Hakim berkongsi pengalaman melukis, mewarna serta menghasilkan catan bersama pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, walaupun kelihatan ringkas, tetapi program itu memberi impak tinggi kepada kemahiran pelajar.

Sepanjang program berlangsung, rata-rata pelajar dapat menghasilkan lukisan cantik dan lebih memahami subjek PSV.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 7:00 AM