PELAJAR memeluk rakannya sebaik menerima keputusan SPM
PELAJAR memeluk rakannya sebaik menerima keputusan SPM
Fazurawati Che Lah


INISIATIF Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor memperkasakan peranan guru muda dalam kalangan pelajar berjaya memberi impak apabila pencapaian akademik khususnya membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin meningkat.

Minggu lalu, keputusan SPM 2019 menyaksikan 36 calon sekolah itu memperoleh A dalam semua mata pelajaran, daripada keseluruhan 103 calon SBP Integrasi Gombak yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Lebih membanggakan, penantian hampir 10 tahun berakhir apabila seorang calon SPM 2019 sekolah itu memperoleh keputusan 11A+.

Kali terakhir sekolah itu mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil adalah pada 2011.

Pengetuanya, Nor Hayati Yusoff, berkata, program guru muda yang mula diperkenalkan pada 2004 itu berkesan apabila pelajar cemerlang dalam setiap subjek dilantik menjadi guru muda untuk membimbing rakan sebaya masing-masing.

SERAMAI 36 calon SPM SBPI Gombak memperoleh A untuk semua subjek.
SERAMAI 36 calon SPM SBPI Gombak memperoleh A untuk semua subjek.

Beliau berkata, guru muda terlebih dahulu dibimbing guru masing-masing sebelum mereka berkongsi ilmu dengan pelajar lain ketika proses pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) serta ketika kelas persediaan.

“Bahan pembelajaran disediakan guru, kemudian guru muda akan membimbing rakan mereka dan pendekatan ini dilihat berjaya memberi kesan positif kepada prestasi serta keputusan akademik pelajar.

“Selain akademik, peranan guru muda juga berupaya membentuk personaliti pelajar yang lebih berketerampilan, selain menggilap kemahiran komunikasi dan bakat kepemimpinan dalam diri pelajar,” katanya.

Terdahulu, Nor Hayati menyampaikan keputusan SPM kepada 103 calon peperiksaan itu yang turut diraikan dalam Majlis Graduasi ke-15. Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan SBPI, Kementerian Pendidikan, Mohd Fathullah Mohd Yusof.

Pada majlis itu, calon SPM 2019, Darwish Moktar, 18, diumumkan pelajar cemerlang SPM sekolah itu apabila memperoleh keputusan 11A+, sekali gus menerima Anugerah Super Platinum.

Darwish tidak menyangka akan memperoleh keputusan semua A+ bagi semua subjek yang diambilnya kerana keputusan peperiksaan percubaan dia hanya memperoleh 3A+ 2A- dan 6A.

Katanya, subjek Biologi dan Sejarah antara yang paling mencabar dan bagi peperiksaan terbesar itu, dia banyak menumpukan perhatian dan ulang kaji bagi kedua-dua mata pelajaran itu amat sukar baginya.

“Guru-guru juga tidak jemu membantu saya dan rakan-rakan, ditambah pula dengan program duta guru yang banyak membantu pelajar untuk memahami dengan jelas berkenaan topik yang ada di setiap subjek.

“Dari situ, kami berkongsi pandangan dan membantu antara satu sama lain untuk menguasai semua mata pelajaran dengan mudah,” katanya yang turut menjadi Ketua Duta Guru bagi subjek Matematik Tambahan.

PELAJAR terbaik SBPI Gombak, Darwish
PELAJAR terbaik SBPI Gombak, Darwish

Jelasnya tiada rahsia kejayaan yang diamalkan kerana Darwish setiap masa lapang akan digunakan sebaiknya untuk membaca dan menelaah supaya sentiasa dekat dengan ilmu dan tidak tercicir.

“Selain itu, jaga hubungan dengan Allah dan orang sekeliling supaya apa yang dilakukan diberkati dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu yang kini mengikuti program tahfiz di Manjong, Perak berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom.

Kejayaan Darwish dalam peperiksaan SPM 2019 turut menjadikan anak kelahiran Subang Jaya itu antara 60 calon cemerlang yang diraikan pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:00 AM