MOHD Zaidi ketika melakukan kelas dalam talian.
MOHD Zaidi ketika melakukan kelas dalam talian.
Fazurawati Che Lah

HARI Guru yang bakal disambut pada Sabtu ini pasti akan mencipta lipatan sejarah buat warga pendidik di negara ini apabila tiada sambutan istimewa bakal diadakan di sekolah berikutan keadaan negara yang masih lagi berdepan melawan pandemik Covid-19.

Jika sebelum ini, pada tarikh itu, guru tidak sabar untuk menyanyikan lagu tema hari guru iaitu Kami Guru Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada diri sendiri, tetapi tahun ini tiada lagi nyanyian istimewa itu yang akan meniti di bibir guru.

Mengakui, sambutan Hari Guru tahun ini suram, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor, Khairul Anuar Abdul Azid, berharap warga pendidik tetap bersemangat menjalankan amanah untuk terus menyampaikan ilmu berguna kepada pelajar walaupun berdepan normal baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, guru berdepan cabaran besar pada tahun ini apabila sesi pembelajaran konvensional dengan tiba-tiba ditukar kepada dalam talian yang memberikan pengalaman baharu kepada guru sejak sesi persekolahan diarahkan tutup.

"Tidak dapat bersemuka dengan pelajar menjadi cabaran paling besar buat guru kerana dalam konteks pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), pelajar patut berada di depan. Ini sedikit sebanyak meresahkan guru-guru kerana banyak perkara yang tidak dapat dibuat bersama-sama.

"Bagaimana pun, disebalik Covid-19 ini, banyak hikmahnya antaranya guru-guru dapat meningkatkan kemahiran pembelajaran dalam talian. Jika diikutkan, pembelajaran dalam talian atau Google Classroom ini sudah pun dilaksanakan hampir dua tahun, tetapi ramai yang tidak mengaplikasikan dan tidak tahu untuk menggunakan platform itu.

"Sejak PKP dilaksanakan, rata-rata guru sanggup belajar cara-cara menggunakan pembelajaran dalam talian, mereka juga semakin cekap dan tidak jemu menyampaikan ilmu dalam pelbagai medium," katanya.

Hari Guru adalah tanda penghargaan kepada jasa pendidik yang berusaha menyampaikan ilmu pendidikan kepada pelajar supaya menjadi insan berguna untuk bangsa, agama dan negara.

TEMA Kesultanan Melayu turut menyerikan sambutan sempena Hari Guru untuk tahun-tahun sebelum ini.
TEMA Kesultanan Melayu turut menyerikan sambutan sempena Hari Guru untuk tahun-tahun sebelum ini.

Bagi guru Sejarah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Teluk Bahang, Pulau Pinang, Mohd Zaidi Abdullah pula, mengakui sentiasa menantikan hari istimewa itu saban tahun, malah dia tidak sabar untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia.

Bergelar guru sejak 19 tahun lalu, dia sentiasa meletakkan peranan guru itu seperti lilin membakar diri, malah masa, tenaga dan wang ringgit sanggup dihabiskan beliau semata-mata untuk memastikan anak didiknya tidak tercicir.

Katanya, bagi memastikan pelajarnya mudah faham mengenai Sejarah, dia menghasilkan kelas khas bertemakan Kesultanan Melayu Melaka selain menyediakan prop ketamadunan supaya pelajarnya dapat menjiwai rentetan peristiwa dengan nyata dan berkesan.

"Hari Guru sebenarnya menjadi pentas untuk mengeratkan hubungan guru dan pelajar. Hari itu juga membuka peluang kepada pelajar dan guru untuk berinteraksi dan sama-sama bermain permainan yang diadakan.

"Agak berlainan sambutan Hari Guru tahun ini, sejujurnya saya sedih bukan kerana tidak akan menerima hadiah daripada pelajar, tetapi situasi sekarang yang menghalang guru untuk bersemuka dengan pelajar," katanya.

Mohd Zaidi turut risau dengan perkembangan pelajarnya pada saat PKP ini, terutama bagi yang kurang berminat dengan akademik kerana dalam tempoh ini tidak semua pelajar mengikuti kelas dalam talian disebabkan beberapa halangan.

PEMBELAJARAN dalam talian normal baharu kepada guru
PEMBELAJARAN dalam talian normal baharu kepada guru

Baru memulakan kerjaya sebagai guru kira-kira enam bulan lalu, Mardziyah Nuad, 25, tidak menyangka tidak akan merasai kemeriahan sambutan Hari Guru pertamanya di SK Felda Raja Alias 3, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 16 Mei ini.

Kata guru muda itu, dia yang terbabit dengan perancangan aktiviti Hari Guru di sekolah itu juga sudah merancang untuk mengadakan pelbagai acara sempena hari berkenaan.

"Jujurnya peringkat awal sudah terbayang ucapan penghargaan daripada murid dan hadiah yang bakal diberikan, kerana tahun ini tahun pertama saya meraikan Hari Guru. Perasaan itu sangat teruja serta tidak sabar untuk meraikannya.

"Tetapi sejak PKP ini, saya tidak lagi fikirkan itu semua kerana apa yang lebih utama bagi saya ketika ini adalah murid sentiasa belajar dan hendak belajar," katanya.

Katanya, menjadi guru pada zaman millennia ini, penggunaan bahan pembelajaran dalam bentuk teknologi dan digital tidak menjadi halangan besar kepadanya kerana sudah didedahkan ketika mengikuti pengajian perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Kelantan.

"Apa yang lebih utama dalam situasi negara ketika ini, adalah untuk mengekalkan kredibiliti sebagai pendidik supaya pelajar tidak tercicir dalam akademik.

"Ini antara halangan terbesar kami. Kami tidak dapat memantau tahap penguasaan akademik secara menyeluruh, cuma mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa untuk sama-sama membantu dalam aktiviti pembelajaran anak-anak ketika PdPc dijalankan atas talian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:00 AM