NUR NARISSA NAJLA khusyuk mendengar arahan gurunya melalui pembelajaran atas talian.
NUR NARISSA NAJLA khusyuk mendengar arahan gurunya melalui pembelajaran atas talian.
Fazurawati Che Lah

PLATFORM dalam talian dan pembelajaran secara digital sebagai penyelesaian terbaik untuk pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdPC) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini bagi memastikan pelajar terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan besar tidak ketinggalan.

Pelbagai medium digunakan guru dalam menyampaikan PdPC dengan berkesan antaranya Facebook (FB) Live, YouTube, WhatsApp dan Google Classroom.

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong, Melaka, Muhammad Zulfadhli Kamarudin memilih saluran YouTube dan portfolio digital murid iaitu Seesaw untuk bahan pembelajaran interaktif bagi subjek Sains kepada murid tahun tiga dan empat.

Katanya, seramai 68 orang muridnya tidak akan ketinggalan semasa cuti PKP untuk mengakses pembelajaran bagi subjek itu yang mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan buku teks.

“Selang dua hari saya akan memuatkan satu video dan terbaru topik Pernafasan Manusia, Haiwan Vertebrata dan Fotosintesis.

MUHAMMAD ZULFDHLI menunjukkan saluran YouTube yang digunakan untuk aktiviti pembelajaran atas talian.
MUHAMMAD ZULFDHLI menunjukkan saluran YouTube yang digunakan untuk aktiviti pembelajaran atas talian.

“Supaya murid tidak bosan, video turut disertai gambar animasi dan suara supaya pembelajaran lebih seronok dan difahami dengan jelas, setakat ini ramai ibu bapa memberi maklum balas positif apabila anak mereka boleh menguasai dengan mudah dengan menggunakan aplikasi online ini,” katanya.

Bagaimanapun, berikutan sekolah ini berada di pinggir bandar menyebabkan ada segelintir yang tidak dapat mengakses Internet, penyelesaiannya ialah menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berhubung dengan memberikan set latihan kepada murid.

“Saya juga ada mengesan beberapa murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dan akan membantu mereka sebaik sesi persekolahan disambung kelak,” katanya.

Tidak ketinggalan, guru tuisyen dari Skudai, Johor, Muhammad Farhan Azhari, 29, yang mengambil keputusan untuk membuat FB Live setiap hari bagi subjek Matematik bukan hanya untuk anak-anak tuisyennya sebaliknya untuk semua pelajar di Malaysia.

Katanya, setiap hari dia akan meluangkan masa antara satu hingga satu setengah jam untuk tampil di media sosial itu bagi membantu pelajar khususnya yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

OBJEK turut dimasukkan bagi memberi pemahaman kepada murid.
OBJEK turut dimasukkan bagi memberi pemahaman kepada murid.

“Saya berbesar hati untuk membantu pelajar kita terutama yang bakal menduduki PT3 dan SPM pada tahun ini supaya mereka tidak ketinggalan dalam subjek ini kerana kita pun tidak tahu bila persekolahan akan bermula.

“Lagipun saya tidak mahu, anak-anak ini hilang momentum untuk belajar akibat cuti yang lama, selain dapat membantu guru-guru yang tidak dapat berbuat demikian membantu mereka sebaik persekolahan bermula nanti dengan memberikan bahan yang sama ketika cuti PKP ini,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan, Selangor, Nur Narissa Najla Mohd Najib, 13, memanfaatkan pembelajaran atas talian untuk mempraktikkan latihan not dan muzik kerana bakal menduduki ujian kenaikan gred piano pada tahun ini.

“Sebanyak dua kali seminggu saya akan berinteraksi dengan cikgu muzik untuk latihan not selama 45 minit, walaupun latihan melalui alam maya tetapi ia menyeronokkan dan memberi pengalaman baru kepada saya.

“Saya seronok melakukan latihan menggunakan aplikasi ini, malah saya juga cepat menguasainya kerana sesuai dengan jiwa remaja yang sukakan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:30 AM