PENGGUNAAN teknologi maklumat serta gajet tarik minat pelajar terhadap sains, matematik. FOTO Faiz Anuar
PENGGUNAAN teknologi maklumat serta gajet tarik minat pelajar terhadap sains, matematik. FOTO Faiz Anuar
Fazurawati Che Lah


SAINS dan matematik antara mata pelajaran yang menyeronokkan sekiranya seorang pelajar itu minat serta bersemangat tinggi untuk berusaha memahami dua subjek ‘menggerunkan’ itu.

Sebaliknya, sesetengah pelajar pula mengeluh mengatakan subjek sains susah untuk difahami dan ‘menakutkan’ terutama sains asas seperti fizik, kimia dan biologi, malah ada juga yang berpendapat subjek itu membosankan.

Sama seperti matematik, terutama matematik tambahan yang cukup ‘ditakuti’ pada zaman persekolahan.

Tetapi, kepentingan sains dan matematik tidak perlu dipertikaikan lagi. Kini menjadi satu komoditi yang tidak ternilai dan sesiapa yang menguasai subjek ini mampu menguasai dunia.

Apa sahaja yang berada di sekeliling kita dan digunakan saling berkait rapat dengan sains serta matematik.

Dalam skala yang lebih tinggi, sains dan matematik membantu membangunkan kehidupan manusia untuk hidup dengan lebih selesa.

ROBOTIK antara cabang STEM. FOTO Rosela Ismail
ROBOTIK antara cabang STEM. FOTO Rosela Ismail

Bangunan pencakar langit, pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi dan telefon pintar semua dibangunkan menerusi kemajuan dalam dua bidang ini.

Bagaimanapun, dalam matlamat untuk mencapai status negara maju, sasaran yang ditetapkan Kementerian Pendidikan untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi belum tercapai.

Terbaru, sasaran itu bukan sahaja jauh daripada mencapai matlamatnya, malah jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan, baru-baru ini membuktikan penurunan mendadak untuk beberapa mata pelajaran STEM.

Kementerian Pendidikan mengesahkan trend penurunan jumlah pelajar yang mengambil subjek STEM iaitu 49 peratus pada 2012 kepada 44 peratus tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut menjelaskan berlaku pengurangan secara purata kira-kira 6,000 pelajar setiap tahun.

PEMBELAJARAN STEM berbentuk secara langsung untuk menarik pelajar terhadap sains dan matematik. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEMBELAJARAN STEM berbentuk secara langsung untuk menarik pelajar terhadap sains dan matematik. FOTO Sharul Hafiz Zam

Ini menunjukkan 68 sekolah sains di seluruh negara belum mencukupi untuk menyediakan jumlah pelajar STEM bagi mencapai sasaran 60 peratus, berbanding pelajar aliran sastera dan sains sosial.

Perkara itu turut diakui guru fizik dan reka cipta, Abdul Halim Che Yusoff apabila berlaku penurunan jumlah pelajar yang mengambil subjek sains di sekolahnya.

Abdul Halim yang bertugas di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan berkata, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (pdPc) terhadap subjek sains dan matematik perlu diubah supaya lebih ramai pelajar tertarik dengan mata pelajaran itu.

Katanya, berdasarkan pemerhatian terhadap pelajar di sekolahnya, rata-rata pelajar lebih gemar dengan pembelajaran secara langsung berbanding teori.

“Pelajar sukakan pembelajaran yang bergerak dan tidak membosankan. Teknik pengajaran konvensional yang biasanya hanya interaksi guru kepada pelajar, ‘kapur dan cakap’ kelihatan semakin ketinggalan zaman.

“Aktiviti secara langsung boleh dipelbagaikan dalam bentuk membina model, melakukan eksperimen, mewarna gambar rajah dan aktiviti lain.

DARI kiri: Abdul Halim dan Steve.
DARI kiri: Abdul Halim dan Steve.

“Sudah tentu pembelajaran jadi tidak membosankan jika pelajar aktif belajar, malah pembelajaran sains akan lebih menyeronokkan,” katanya.

Katanya, penggunaan teknologi maklumat dan gajet yang dekat dengan pelajar masa kini juga boleh dipraktikkan dalam proses pembelajaran STEM.

“Sesuai dengan zaman mereka, satu daripada cara untuk menarik minat pelajar kepada mata pelajaran sains adalah dengan menjalankan pembelajaran sains melalui teknologi.

“Guru boleh memberi tugasan dalam bentuk penggunaan teknologi maklumat kepada pelajar. Umpamanya berkongsi info pautan YouTube untuk tontonan video ilmiah di rumah ataupun tugasan menghasilkan persembahan bagi subtopik tertentu dalam bentuk video.

“Penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram juga boleh digunakan dalam penghantaran hasil kerja pelajar. Pembelajaran akan jadi lebih menarik kerana selari peredaran zaman,” katanya.

PEMBELAJARAN STEM berbentuk secara langsung untuk menarik pelajar terhadap sains dan matematik. FOTO Hafiz Sohaimi
PEMBELAJARAN STEM berbentuk secara langsung untuk menarik pelajar terhadap sains dan matematik. FOTO Hafiz Sohaimi

Beliau mengakui sukar menarik minat pelajar terhadap sains dan matematik, namun kaedah pdPc berbentuk interaktif antara pilihan bagi membantu memperkukuhkan penguasaan pelajar.

“PdPc secara interaktif banyak digunakan dalam kelas, namun pendekatan atau kandungannya masih perlu diperbaiki.

“STEM memerlukan banyak kerjasama dua hala antara guru dan pelajar, namun jika kaedah pdPc hanya memberi kesan pada satu pihak akan gagal mencapai piawaian,” katanya.

Sementara itu, guru teknologi maklumat, Steve Gaisan pula berkata, kebanyakan pelajar tidak meminati mata pelajaran sains kerana melihat subjek itu sebagai sesuatu yang asing bagi mereka.

“Jika guru dapat mengubah persepsi pelajar ini dengan memberikan sesuatu yang mereka dapat lihat, sentuh, rasa dan alami sendiri, tentunya memberi pengalaman berbeza kepada mereka.

“Penggunaan bahan

yang ada di sekeliling kita bagi menggantikan penggunaan bahan yang kelihatan terlalu saintifik, mampu mendekatkan lagi sains dengan pelajar,” katanya.

INOVASI peralatan Smart Camping Stove yang dihasilkan Sekolah Kebangsaan Binjal, Alor Setar, Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
INOVASI peralatan Smart Camping Stove yang dihasilkan Sekolah Kebangsaan Binjal, Alor Setar, Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:00 AM