HAJI mabrur adalah matlamat yang dijejaki oleh setiap jemaah haji.
HAJI mabrur adalah matlamat yang dijejaki oleh setiap jemaah haji.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Labaika Allahumma Labaik. Panggilan haji kembali bergema. Mulai Mei, jemaah Haji Malaysia mula berangkat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Haji adalah satu ibadah yang mampu memberikan inspirasi bagi kemajuan kemanusiaan. Proses ini dimulai dengan jutaan manusia berbondong-bondong ke Baitullah al-Haram iaitu Kaabah, simbol perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Haji mabrur adalah matlamat yang dijejaki oleh setiap jemaah haji yang menyahut seruan Ilahi di kota suci Makkah. Haji mabrur merupakan istilah yang disebut oleh Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: "Haji mabrur tidak ada ganjaran yang selayaknya melainkan syurga." (Hadis Riwayat Bukhari)

Mabrur adalah orang yang memiliki sifat-sifat yang baik dan terpuji dan dia tergolong dalam kelompok al-Abrar iaitu golongan yang senantiasa berbuat kebaikan dan kebajikan. Amalan kebaikan dan kebajikan pula disebut di dalam al-Quran sebagai al-Birr yang hanya akan terhasil kerana ketaatan, kesalihan, kebenaran, belas kaishan dan kedermawanan. Di dalam al-Quran, kalimah al-Abrar diulang-ulang sebanyak enam kali iaitu dua kali dalam surah Ali Imran, dua kali dalam surah al-Mutaffifin, sekali dalam surah al-Insan, sekali dalam surah al-Infitar.

Di samping itu, salah satu daripada 99 al-Asma al-Husna Allah ialah al-Barr bermaksud sifat-Nya sebagai Maha Pembawa Kebajikan. Dalam kata lain, makna terbabit mengandungi pengertian yang erat kaitannya dengan mabrur, al-Abrar dan al-Birr. Pendek kata, dalam konteks pengertian al-Barr, maka mereka yang termasuk dalam kategori al-Abrar adalah golongan yang dalam diri mereka melekat sifat-sifat kebajikan (mabrur) dan kerananya selalu melaksanakan amalan kebajikan (al-Birr).

Falsafah rukun Islam meletakkan ibadat haji sebagai kemuncak kewajipan yang wajib ditunai setiap Muslim. Hal ini kerana ibadat haji ibarat kewajipan pelengkap setelah empat kewajipan sebelumnya. Lebih jelas lagi, ibadat haji ditempatkan sebagai rukun terakhir setelah pengorbanan lisan melalui kesaksian dua kalimah syahadah, pengorbanan waktu melalui solat mahupun pengorbanan harta dalam ibadat zakat. Manakala ibadat haji pula mengandungi pelbagai pengorbanan yang terhampar sepanjang perjalanan menyahut seruan Ilahi di kota suci Makkah. Barangkali ini sebab mengapa istilah manasik yang bererti pengorbanan selalu digandingkan dengan haji. Ini adalah kerana ibadat haji yang dilakukannya itu menuntut aneka pengorbanan dan kesabaran yang selanjutnya akan membekas kukuh dalam hati sanubari dan perilaku Muslim.

Perlu diinsafi bahawa ibadat haji bukan sekadar satu rehlah spiritual atau jalan-jalan makan angina tanpa sebarang makna dan tujuan. Sebaliknya manasik haji turut menyelitkan unsur tarbiah ruhiyyah dengan matlamat membentuk peribadi Muslim yang bertakwa. Bertolak dari sini maka setiap ibadat dan kewajipan yang disyariatkan oleh Allah adalah bertujuan meraih nilai-nilai ketakwaan. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 21)

Sehubungan itu, apabila seseorang jemaah haji selesai dalam melaksanakan ibadat hajinya, ini bukan bermakna dia telah selesai segala-galanya. Sebaliknya ia pada hakikatnya adalah merupakan pintu gerbang awal untuk menuju kepada ibadah dan jihad dalam pelbagai lapangan hidupnya.

Ibadat haji dianggap kemuncak kewajipan kerana ia merupakan pelengkap atau penyempurna kewajipan pengabdian seorang Muslim ke hadrat Ilahi. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Amalan yang paling utama adalah beriman kepada Allah yang Maha Esa, kemudian berjihad pada jalan-Nya dan haji yang mabrur mengatasi segala amalan yang lain seumpama jarak tempat matahari naik hingga tempat terbenamnya." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad)

Berdasarkan pengertian hadis di atas, Rasulullah SAW tidak terus menyatakan bahawa haji mabrur adalah amalan yang paling afdal, sebaliknya didahului oleh iman dan jihad sebelumnya. Ini bermakna bahawa ketakwaan yang diredai Allah boleh dicapai dan diperolehi oleh sesiapa pun tanpa memandang pada bangsa, pangkat dan keturunan. Iman dan jihad merupakan kewajipan yang terpikul pada bahu setiap Muslim tanpa sebarang perbezaan.

Dalam konteks ini, dalam kepelbagaian kelas sosial dan kemampuan, ada tahap kewajipan masing-masing berdasarkan hukum-hakam yang telah ditetapkan syarak. Justeru senyumnya seorang fakir yang miskin harta dengan sedekahnya seorang kaya adalah sama-sama memiliki aura ketakwaan yang akan dinilai di sisi Allah. Tidak perlu seseorang Muslim itu memaksa atau membebankan sesuatu kewajipan antara satu sama lain di luar daripada batas kemampuannya.

Dengan kata lain, seseorang yang memaksa dan membebankan dirinya semasa melakukan sesuatu kewajipan yang di luar daripada batas kemampuannya sama sekali tidak dianggap sebagai ketaatan atau ketakwaan yang diredai Allah. Oleh sebab itu, prinsip istita'ah iaitu kemampuan dalam pelbagai aspek merupakan syarat sah haji sesuai dengan perintah Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (Surah Ali Imran, ayat 97)

Prinsip kemampuan ini menggambarkan bebanan kewajipan yang wajib diterima oleh Muslim adalah sesuai dengan kemampuan dan kesanggupannya, tidak memaksa diri dan tidak pula bersikap melebihi daripada yang sepatutnya. Dalam konteks ini, seorang yang memaksakan dirinya menunaikan ibadat haji sehingga tergamak menjual atau menggadai seluruh kekayaannya mahupun dengan wang pinjamannya ataupun berhutang merupakan satu perbuatan yang bertentangan dengan prinsip kemampuan yang ditetapkan syarak. Begitu juga halnya dengan orang yang berulangkali menunaikan ibadat haji sedangkan di luar sana masih terdapat ramai insan yang lebih memerlukan ihsan dan belas kasihan untuk meneruskan saki baki kehidupan yang masih jauh.

Oleh yang demikian, haji mabrur adalah haji yang terhimpun di dalamnya tiga unsur yang akan terus mengiringi perjalanan hidupnya menuju keredaan Ilahi. Ketiga-tiga unsur tersebut ialah niat yang ikhlas, istiqamah dalam beramal dan juga kesan haji mabrur berbekas dalam setiap perilakunya, ibadatnya, pergaulannya dan hayatnya sentiasa berada pada landasan keredaan Allah. Moga tarbiah kerohanian dan aneka pengorbanan dalam ibadat haji berupaya membangun modal insan yang memiliki nilai-nilai ketakwaan yang akan memartabatkan kembali tamadun ummah yang cemerlang.


Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:01 AM