AHLI keluarga melambai tangan kepada bakal jemaah haji sebelum berlepas di Movenpick Hotel & Convention Centre di KLIA Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah  
AHLI keluarga melambai tangan kepada bakal jemaah haji sebelum berlepas di Movenpick Hotel & Convention Centre di KLIA Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah  
Dr Azri Bhari

KUMPULAN pertama seramai 284 bakal jemaah haji bagi Musim Haji 1444H/2023M telah berlepas ke Tanah Suci pada tanggal 21 Mei 2023 dengan menaiki penerbangan pertama (KT01) pesawat Malaysia Airlines MH 8056.

Perjalanan ke Tanah Suci ini tidaklah sama seperti pergi ke negara dan tempat yang lain walaupun mempunyai kesamaan dari aspek sebagai musafir kerana wujud perbezaan perjalanan bersifat kerohanian untuk mengerjakan ibadah yang agung iaitu haji.  

Selain itu, perbezaan yang boleh dirasakan lagi ialah sifat kerinduan untuk pergi atau hadir ke Tanah Suci walaupun telah berkali-kali datang ke sana, apatah lagi yang pernah bermukim di sana kerana keberkatan tempat berkenaan.

Sudah tentu, bagi seseorang Muslim yang belum pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci akan lebih rindu dan ternanti-nanti peluang untuk hadir dan menjadi tetamu Allah SWT.

Setiap perjalanan atau bermusafir memerlukan persiapan, walaupun hanya masa yang sebentar dan jarak yang dekat seperti persediaan bekalan pakaian, makanan, minuman, kenderaan, kewangan, keselesaan dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi perjalanan ke Tanah Suci yang melibatkan jarak yang jauh selain masa yang lama menyebabkan perlu persiapan rapi, teliti dan baik untuk meraih matlamat utama iaitu ibadah haji diterima oleh Allah SWT dan mencapai haji yang mabrur.

Terdapat beberapa panduan persiapan dan persediaan yang sangat penting bagi bakal haji yang telah digariskan oleh Islam bagi mencapai haji yang mabrur di sisi Allah SWT.

Pertama persiapan akidah dan ketakwaan.

Akidah dari sudut bahasa bermaksud ikatan iaitu keyakinan yang diikat dengan kuat di dalam hati. Menurut istilah, al-Marhum Syed Sabiq telah menjelaskan penerimaan kebenaran ke atas sesuatu dan juga keyakinan yang cukup pasti lagi jitu ke atasnya tanpa syak atau ragu.

Takwa menurut bahasa ialah perisai atau taming yang akan menghalang seseorang daripada masuk ke neraka jahanam. Menurut istilah, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Akidah dan ketakwaan adalah bekalan yang paling utama dan perlu dipersiapkan oleh setiap muslim untuk melakukan perjalanan sama ada menuju Tanah Suci mengerjakan ibadah haji atau menuju untuk bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "…berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal…" (Surah al-Baqarah: 197)

Kedua  persiapan perbelanjaan dan kewangan.

Persiapan ini perlu disediakan oleh setiap bakal jemaah haji sebelum berangkat menuju ke Tanah Suci. Kewangan yang cukup menjadi syarat utama diwajibkan seseorang untuk menunaikan haji.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "…iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah…" (Surah Ali 'Imran: 97)

Al-Tabari dalam kitab tafsirnya menjelaskan ayat di atas berdasarkan hadis Riwayat Abdullah bin Umar RA yang bermaksud: "Seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah, apakah sebab yang mewajibkan haji? Baginda SAW bersabda: Ada bekalan dan kenderaan." (Riwayat Ibn Majah: no.2896)

Justeru, seseorang itu tidak akan dianggap berkemampuan untuk mengerjakan haji jika tidak memiliki 'istita'ah' (kemampuan) sama ada dari sudut kemampuan badan dan kemampuan harta.

Ketiga  persiapan mental dan fizikal.

Ibadah haji mengandungi dua aspek iaitu 'maliyah' (harta) dan 'jasadiyah' (jasad). Sementara ibadah solat hanya memerlukan 'jasadiyah' dan zakat pula hanya memerlukan 'maliyah' sahaja.

Seseorang yang tidak memiliki harta yang cukup dan fizikal yang sihat menyebabkan tidak akan dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna. Justeru, setiap bakal jemaah haji perlu membuat persiapan mental dan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

  • Keempat
  •  persiapan ilmu pengetahuan. Bakal jemaah haji perlu menyiapkan diri dengan ilmu 'manasik' (ibadah) haji sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya dapat melaksanakan ibadah haji dengan betul dan selari dengan bimbingan dan panduan Nabi SAW.

    Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, ambillah 'manasik'mu daripadaku, sesungguhnya aku tidak mengetahui mungkin aku tidak akan menunaikan haji selepas tahun ini." (Riwayat Muslim: no.1297)

    Ibadah perlu dilaksanakan dengan dua syarat iaitu ikhlas dan mengikuti cara pelaksanaan Nabi SAW. Keikhlasan dalam beribadah telah ditegaskan oleh Allah SWT supaya tidak berlaku kesyirikan.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya…" (Surah al-Bayyinah: 5)

    Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: "…setiap yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan setiap yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah…" (Surah al-Hasyr: 7)

  • Kelima
  • persiapan 'tazkiyah nafs' (penyucian jiwa).

    Penyucian jiwa ialah berusaha membersihkan diri daripada segala penyakit dan aib, kemudian menghiasi diri dengan pelbagai akhlak yang mulia.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (Surah al-Syams: 9-10)

    Bakal haji perlu berusaha membersihkan diri daripada segala sifat mazmumah (tercela) daripada menguasai diri yang boleh merosakkan diri dan amalan seperti sifat riak, bangga diri, sombong, angkuh dan sebagainya. Sebaliknya, berusaha menghiasi diri dengan sifat mahmudah (terpuji) supaya dipandang mulia di sisi Allah SWT.

    Demikianlah persiapan yang perlu dilakukan oleh setiap bakal haji supaya ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah SWT dan memperoleh haji mabrur yang memberi kesan terhadap kehidupan selepas haji.

    Penulis  Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:59 AM