FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Rahimah Saimin

Firman Allah SWT mahfumnya: "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah ar-Rahman, ayat 13). Ayat ini jelas menuntut semua hamba-Nya untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dan janganlah apabila nikmat itu ditarik balik baru kita mencari di mana kesyukuran dalam diri. Pepatah Melayu mengatakan 'sudah terhantuk baru terngadah'. Tokoh ilmuwan Islam ada berpesan: "Jalan yang lurus ialah syukur kerana syukur adalah maqam yang tinggi."

Bangkitlah daripada gelora rengekan dan selimut keluhan dan beralih kepada norma peradaban mensyukuri nikmat Allah SWT. 

 

Signifikan bersyukur

Perlu diingat sesungguhnya tidak akan ada sesuatu perkara yang terjadi di muka bumi ini tanpa keizinan-Nya. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya mestillah sentiasa menanam sifat syukur dalam diri dan menzahirkannya pada Allah SWT.  Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allahlah ia datang." (Surah an-Nahl, ayat 53)

Ramai umat akhir zaman hari ini hanya bersyukur apabila mendapat nikmat, tetapi mengecam apabila mendapat musibah. Allah SWT berfirman: "Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur." (Surah As-Saba': ayat 13).

Iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia agar manusia tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Iblis menjawab: 'Kerana Engkau menghukum aku tersesat, maka aku benar-benar akan menghalang mereka daripada jalan Engkau yang lurus.'" (Surah al-A'raf, ayat 16)

Bersyukur adalah sifat orang yang bertakwa. Firman Allah SWT mafhumnya: "Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya." (Surah ali-Imran, ayat 123)

Dalam melaksanakan amanah harian, kita dituntut memanjatkan syukur seawal pagi sejurus bangun tidur seperti yang diajarkan baginda Rasulullah SAW kepada kita untuk berdoa: "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mati (membangunkan kami daripada tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan."

Kemudian kita mengerjakan solat Subuh yang dimulakan dengan surah al-Fatihah dan di dalamnya kita memuji Allah SWT dengan permualaan ayat Alhamdulillah.

 

Indahnya bersyukur

Bersyukur adalah hal yang selalu disebutkan dalam al-Quran. Dengan bersyukur tentunya kita semakin ikhlas dan dekat kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran ertinya: "Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhan kalian memaklumatkan, 'Sesungguhnya jika kalian bersyukur (atas nikmat-Ku), pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kalian; dan jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Rasulullah SAW selalu solat sehingga kakinya bengkak. Apabila ditanya mengapa baginda solat sebegitu sedangkan baginda dijanjikan syurga:  "Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?"  (Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam al-Quran mafhumnya: "Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman, hikmah kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): 'Bersyukur kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepada mu). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."  (Surah al-Lukman, ayat 12)

Ini jelas membuktikan sifat syukur memberikan tenaga spiritual yang amat positif yang tiada tolok bandingnya. Malah bersyukur juga amat diperlukan untuk mengatasi segala onak duri dalam kehidupan. Ketika senang, kita bersyukur dan ia akan menjadikan kita terinspirasi. Ketika ditimpa musibah, kita bersyukur dan kita akan dapat mengatasi situasi yang getir. 

Bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan Allah SWT. Dia masih ingin mendengar segala rintihan kita. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat (as-Sami'  dan  al-Bashir). Jika kita menjengah ke dunia luar, ramai yang mengimpikan kehidupan kita sebagai kehidupan mereka. Ramai yang menginginkan kebahagiaan yang kita kecapi kerana mereka telah menghadapi musibah yang lebih perit daripada kita. Maka syukuri segala pemberian yang diberikan oleh-Nya kerana setiap musibah turun dengan seribu hikmah di sebaliknya.

 

Cara bersyukur

Memuji dan berterima kasih kepada Ilahi. Sebelum berdoa, pujilah dan berterima kasihlah kepada Allah SWT atas setiap pemberian yang diberikan dengan melafazkan kalimah 'alhamdulillah'. Ini membawa kepada pengiktirafan kesyukuran dalam hati dan lafaz pada lisan.

Ucap terima kasih kepada manusia lain. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang telah ditolong dan berkata kepada mereka yang menolongnya, 'jazakallahu khairan  (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)' telah melakukan yang secukupnya untuk membalasnya." (Riwayat Tirmizi)

Renungkan rezeki yang kita peroleh. Kita tidak akan pernah dapat menghitung setiap rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Ini secara tidak langsung melahirkan rasa syukur dalam hati. Firman Allah SWT mafhumnya: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Meminta bantuan Allah SWT untuk istiqamah bersyukur. Doa yang diajarkan Rasulullah SAW selepas solat, seperti dinyatakan dalam hadis daripada Muaz bin Jabal RA: "Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan Menyembah-Mu dengan sebaiknya" (Riwayat Abu Daud)

Bersyukur adalah diperintahkan Allah SWT. Allah SWT berfirman: "Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah An-Nahl, ayat 114)

Penulis  Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:00 AM