UKHUWAH yang terzahir semasa mengerjakan haji begitu terserlah dengan konsep ukhuwah ummah.
UKHUWAH yang terzahir semasa mengerjakan haji begitu terserlah dengan konsep ukhuwah ummah.
Mohd Rizal Azman Rifin

 

Peribahasa Melayu ada menyebut 'serumpun bak serai, sesusun bak sirih.' Ia membawa maksud kehidupan masyarakat yang sentiasa berada dalam situasi saling bersatu hati dan berpadu antara satu sama lain. Peribahasa itu juga mendidik diri kita supaya mengutamakan perpaduan agar dapat hidup dan menjalani kehidupan dengan tenteram dan sejahtera. 

Sekali imbas hal tersebut mencerminkan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi amat memberikan perhatian terhadap hidup bersatu dan tidak mengasingkan diri dari kehidupan sosial. Sebenarnya konsep bersatu dan saling terikat dalam bentuk ukhuwah diredai Allah adalah ajaran Islam yang sangat perlu diutamakan. 

Kita boleh lihat sendiri bagaimana Allah mendidik diri kita menerusi pelbagai amal ibadat seperti solat berjemaah dan haji. Kini kita berada dalam bulan Zulhijah yang sinonim dengan ibadah haji dan sembelihan korban. Ibadat haji yang menjadi Rukun Islam kelima itu seharusnya juga dilihat dari sudut pembinaan umat yang bersatu hati dan berpadu jiwa. 

Ukhuwah yang terzahir semasa mengerjakan haji begitu terserlah dengan konsep ukhuwah ummah. Bertolak ke Tanah Haram dengan niat tidak lain adalah mahu menunaikan haji kerana Allah. Destinasinya hanya satu, Makkah di Tanah Haramain. Inilah lokasi suci yang menjadi impian setiap umat Islam yang tidak mahu ketinggalan untuk melakukan Rukun Islam yang kelima itu. 

Doa Nabi Ibrahim sebagaimana terakam dalam Surah Ibrahim ayat 37 telah dimakbulkan Allah dengan kunjungan tanpa henti umat Islam dari segenap sudut rantau dunia, semata-mata untuk mengerjakan ibadat haji mahupun umrah. Nabi Ibrahim yang meninggalkan isteri tercintanya, Siti Hajar bersama putera kecilnya, Nabi Ismail telah memanjatkan doa demi kelangsungan bukan hanya untuk kesejahteraan keluarganya sahaja, tetapi juga untuk kesekian umat yang datang ke bumi Makkah.

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" - Doa inilah yang Allah rakamkan dalam Surah Ibrahim ayat 37 dan hingga masa kini, bumi Makkah seakan-akan bumi yang tidak pernah kesunyian, sebaliknya sentiasa dipenuhi umat Islam.

Menurut Tafsir Al-Misbah, Quraish Shihab mengatakan pendapatnya bahawa doa berkenaan memiliki harapan agar semua umat Islam akan senang dan dapat dimudahkan ke Baitullah.

Seperkara yang menarik apabila menyentuh ibadah haji itu ialah tentang falsafah di sebaliknya. 

Terlalu banyak boleh kita selak dan memperoleh hikmah di sebalik amalan ibadat haji yang antaranya ia sebagai lambang pemersatuan ummah.

Ibadat haji yang disyariatkan itu jelas sekali berjaya mengetepikan segala unsur perbezaan geografi, sosial dan status peribadi. Segala perbezaan antara satu sama lain 'terlucut' tatkala semua jemaah berada di Tanah Suci bagi menyahut seruan haji. 

Masing-masing lebih mengarahkan hati dan diri untuk memperkukuhkan jati diri selaku umat Nabi Muhammad SAW yang mengutamakan amal ibadat tanpa dibayangi oleh kedudukan dan pangkat. Besar dan tinggi macam mana sekalipun seseorang itu, apabila berada di Tanah Suci, semuanya ditinggalkan kerana yang lebih difikirkan tidak lain adalah untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima itu dengan seikhlas-ikhlasnya kerana Allah. Inilah kekuatan yang terpancar melalui ibadat haji yang mencerahkan jiwa dan rohani insani agar menjadi hamba Allah yang diredai. 

Baitullah dan Makah adalah 'Kota Karamat' yang mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Jika sebelum berangkat ke Tanah Suci, mungkin hati dan jiwa masih bersarang dengan mazmumah, namun secara total segala yang dikeji Ilahi itu dibuang-tepi, dengan niat hanya satu-demi Ilahi. 

Alangkah indah dan pesonanya fenomena ibadat haji kerana sekarat-karat hati, ia mampu melembutkannya, lantas menyebabkan setiap jemaah 'disapa angin ukhuwah ummah' sehingga terasa mereka adalah satu umat yang cintakan Allah, sayangkan Rasulullah SAW.

Pesanan Allah dan Rasulullah SAW agar umat Islam bersatu hati dalam ikatan ukhuwah semampu ditonjolkan. Ayat-ayat al-Quran yang membicarakan persoalan ukhuwah begitu utuh termateri dalam jiwa setiap Jemaah. Misalnya ayat dalam Surah al-Hujarat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu." 

Demikian halnya apabila sebelum itu ada kalangan yang bersengketa atas faktor apapun, maka ibadat haji menjadi jambatan yang menghubungkan kembali segala keretakan yang berlaku. Apa yang diingatkan Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 diamalkan sedayanya. Allah berfirman dalam surah tersebut yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat." 

Ayat Allah itu menjadi pegangan kukuh dan dihayati sepenuhnya, semata-mata mahukan jiwa dan hati sesama jemaah berlambang ikatan persaudaraan umat. Demikian jugalah dengan pesanan Baginda Rasulullah SAW yang selama hayatnya tidak pernah sunyi dalam mendidik umat Islam agar memperkasa semangat ukhuwah, tetap bersebati kental dalam jiwa. 

Justeru, ibadat haji sebenarnya satu wadah terbaik yang Allah sediakan buat hamba-Nya menjadi umat yang saling berpaut hati dalam ikatan perpaduan sejati tanpa diselubungi rasa keji. Ibadah haji adalah jambatan ukhuwah ummah.

 


   

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 4:34 PM