Makkah Al-Mukarramah
Makkah Al-Mukarramah

Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, sebagai panduan kehidupan umat sejagat.

Salah satu aspek utama dalam al-Qur'an adalah kisah sejarah dikaitkan dengan nama tempat tertentu yang menyimpan peristiwa penting sebagai pengajaran umat manusia.

Ada sebahagian lokasinya disebutkan dengan jelas dan ada juga yang tidak disebut dengan jelas antaranya:


Makkah Al-Mukarramah

Allah SWT mengabadikan namanya dalam Surah al-Fath ayat 24: "Dan Dialah yang menahan tangan mereka daripada (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu daripada (membinasakan) mereka di tengah kota Makkah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka, dan adalah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan". Kota ini diabadikan dalam al-Quran dengan menggunakan nama Makkah dan juga beberapa nama lain kerana kemuliaan, keistimewaan dan kehebatannya yang tersendiri. Antara namanya yang lain ialah Bakkah, al-Balad al-Amin (negara yang aman), Ummul Qura dan al-Bait al-Atiq.

Bakkah membawa maksud padat, tempat berkumpul dan penuh sesak. Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat banyak manusia yang berhimpun hingga keadaan menjadi padat dan sesak terutama ketika bertawaf di Baitullah al-Haram. Nama ini diabadikan dalam Surah ali-Imran ayat 96: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia."

 Selain itu, nama lainnya Al-Balad al-Amin iaitu negara yang aman.

Ia disebut demikian kerana setiap orang yang masuk, keamanannya akan terjamin. Ia juga tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan tempat umat islam melaksanakan ibadah haji. Firman Allah SWT dalam surah al-Tin ayat 3: "Dan demi negeri yang aman ini".  

Manakala istilah Ummul Qura pula membawa maksud ibu segala kota dan bandar. Allah SWT berfirman dalam surah al-Syura ayat 7: "Dan demikianlah Kami wahyukan al-Qur'an kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak diragukan adanya. Satu golongan masuk syurga dan satu golongan lagi masuk neraka."  

Selain itu, Makkah juga dikenali dengan nama Al-Bait al-Atiq iaitu rumah yang lama atau antik. Ini kerana ia tempat pertama yang dibina di atas muka bumi untuk manusia sebagai tempat ibadah kepada Allah SWT.

Dalam Surah al-Haj ayat 29 disebutkan: "Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran (yang ada di badan) mereka, menyempurnakan nazar-nazar mereka dan melakukan tawaf sekeliling rumah yang lama (Baitullah)"


 

Al-Madinah al-Munawwarah

Dalam Al-Quran terdapat banyak kali nama Madinah disebut, namun tidak semua merujuk kepada kota Madinah, tempat Rasulullah SAW disemadikan.

Adakalanya yang makna bandar secara umum. Nama asal Madinah ialah kota Yathrib.

Allah SWT menyebut dalam Surah al-Ahzab ayat 13: "Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata, "Wahai penduduk Yathrib (Madinah)! Tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu."

Dan sebahagian dari mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, "Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga)."

Padahal rumah-rumah itu tidak terbuka, mereka hanyalah hendak melarikan diri."

Akan tetapi Nabi SAW menukar nama tersebut dengan Madinah. Ini kerana nama lama tersebut membawa maksud yang negatif seperti berpecah belah, berlakunya permusuhan dan pergaduhan serta banyak wabak penyakit.

Manakala Madinah bermaksud harmoni, tempat penyatuan umat dan suasana aman tenteram. Allah SWt berfirman dalam surah al-Taubah ayat 120: "Tidak sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang berdiam di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (pergi berperang) dan tidak pantas (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada (mencintai) diri Rasul.

Yang demikian itu kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan di jalan Allah dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang kafir, dan tidak menimpakan suatu bencana kepada musuh, kecuali (semua) itu akan dituliskan bagi mereka sebagai suatu amal kebajikan.

"Sungguh, Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik."

 

Badar

Nama kawasan lain yang disebut dengan jelas dalam al-Qur'an, ialah Badar. Daerah ini terletak di antara Makkah dan Madinah, yang merupakan tempat pertemuan kaum Muslimin dan Musyrikin Quraisy ketika menghadapi perang Badar pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah. Jumlah tentera Muslimin hanya 313 orang sementara kaum Musyrikin 1,000 orang. Namun begitu, pertolongan Allah SWT memihak kepada kaum muslimin. Nama tempat ini diabadikan dalam al-Qur'an surah ali Imran 123: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)."

 

Arafah dan Al-Masy'ar al-Haram

Arafah adalah nama sebuah gunung yang mempunyai sejarah yang cukup penting. Ia terletak 20km dari Baitullah al-Haram, Makkah.

Ia merupakan lokasi terpenting dalam rukun haji iaitu wukuf.

Manakala, al-Masy'ar al-Haram adalah sebuah tempat yang sekarang dinamakan Muzdalifah, tempat mengutip batu bagi jemaah haji. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 198: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah di al-Masy'ar Al-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadahnya."

 

Palestin

Pada zaman dahulu, Palestin merupakan sebuah wilayah yang termasuk dalam bumi Syam.

Dalam al-Qur'an negara ini tidak disebutkan dengan jelas, tetapi menggunakan dua nama; Masjid al-Aqsa dan al-Ardh al-Muqaddasah (Tanah Suci).

Allah berfirman dalam surah al-Isra' ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Dan dalam surah al-Maidah ayat 21: "Wahai kaumku! Masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu berbalik ke belakang (karena takut kepada musuh), nanti kamu menjadi orang yang rugi."

 

Mesir

Mesir adalah sebuah negara yang terdapat di benua Afrika.

Nama negara ini disebutkan sebanyak lima kali dalam Al-Quran. Antaranya ialah dalam surah Yusuf ayat 99: "Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman."

Negara ini banyak berkaitan dengan kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf.  

Terdapat banyak lagi nama kawasan dan lokasi yang disebutkan dalam al-Quran sebagai pengajaran dan pedoman kita. Semoga kita dapat menziarahi semua tempat yang barakah ini dengan izin Allah SWT pada suatu hari nanti.


Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:01 AM