JANGANLAH kita berkeras dengan emosi sengketa sesama sendiri lantaran sedikit berbeza pandangan.
JANGANLAH kita berkeras dengan emosi sengketa sesama sendiri lantaran sedikit berbeza pandangan.
Mohd Rizal Azman Rifin

SUASANA penuh keriuhan dengan aneka ragam berkempen pilihan raya seharusnya tidak berterusan memanjang keretakan hubungan sesama ummah. Selepas urusan memangkah kertas undi sudah dilaksanakan dan kita semua seharusnya mengembalikan semula kehidupan bersuasanakan keadaan yang aman harmoni.

Sesungguhnya ikatan perpaduan sesama ummah atau ukhuwah itu perlu sentiasa dipupuk dan disebatikan sekukuhnya kerana ia adalah paksi kepada kelangsungan hidup masyarakat dan negara. Suasana yang hiruk-pikuk dengan pelbagai isu sehingga ada yang ke tahap bersengketa dan bermasam muka sesama sendiri perlu 'disejukkan' suhunya agar situasi hidup kembali sejahtera.

Islam begitu mengambil cakna urusan hidup bersosial dengan memberikan banyak garis panduan kepada umatnya. Misalnya, Islam melarang keras ke atas setiap umatnya 'memboikot' hubungan dengan saudaranya melebihi tempoh tiga hari. Ini dapat kita fahami menerusi satu pesanan tegas Rasulullah SAW sebagaimana direkodkan oleh Imam Bukhari yang menyebut: "Tidak halal bagi seseorang mukmin untuk memboikot saudaranya lebih dari tiga hari."

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW itu jelas menunjukkan bahawa perbuatan terus menerus memutuskan hubungan perpaduan sesama ummah satu perbuatan haram. Dalam kehidupan masyarakat Melayu kita semenjak dahulu kala lagi pun sudah dapat 'menghidu' perilaku buruk memutuskan tali hubungan persaudaraan sehingga terciptanya banyak perumpamaan dan peribahasa yang inti pengajaran agar menjauhkan perbuatan negatif itu.

Misalnya, 'carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga' yang menggambarkan keadaan hubungan yang retak kembali normal dengan ikatan ukhuwah yang jitu. Demikian juga dengan satu lagi perumpamaan masyarakat kita dahulu yang menyebut 'biduk lalu kiambang bertaut.' Ini juga satu fenomena sosial yang seharusnya dijadikan budaya. Biar apapun isu perbalahan dan sengketa lantaran 'suhu kempen pilihan raya', biarlah ia berlalu pergi tanpa dilebar-panjangkan lagi sehingga mengganggu kelangsungan hidup.

Kini, tibalah masanya untuk kita semua menjalani kehidupan normal baik dalam bidang apapun tanpa dibayangi dengan kocakan persengketaan lalu. Inilah ketikanya, kita berpegang kepada kehidupan, 'kelebihan jika ada kita manfaatkan, kekurangan pula kita sama-sama saling membantu. Sambunglah kembali kehidupan bak aur dengan tebing yang bersendikan amalan, ke bukit sama didaki, ke lurah sama-sama menuruni'.

Untuk membina kembali hubungan yang sebelum ini mungkin sedikit retak, maka setiap kalangan kita seharusnya mengetepikan emosi hati sebaliknya berusaha ingat kepada saranan Rasulullah SAW yang tidak pernah putus asa mengajak umatnya bersatu hati seiring melangkah mara membentuk ukhuwah utuh.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita dengan pesanan: "Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki, (sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memboikot saudaranya (yang Mukmin) melebihi tiga hari." (Hadis sahih ini direkod oleh banyak perawi tersohor seperti Imam Bukhari, Imam Malik, Abu Daud, At-Tirmizi dan juga An-Nasaei)

Lupakanlah setiap ucapan berbaur mazmumah yang sudah diluah. Abaikanlah kata nista rakan sesama saudara semuslim sebelum ini. Sebaliknya bertekadlah mengembali imej peribadi luhur sebagai umat Nabi SAW yang tidak mahu 'menggagalkan' usaha Baginda dahulu yang mahu menegakkan ikatan ukhuwah ummah yang kukuh. Buang yang keruh, ambil sahaja mana yang jernih. Usah terus relakan diri berada dalam perbuatan mazmumah kerana kita semua berada di dalam sebuah negara yang sama dan bercita-cita yang sama iaitu mahu hidup dalam situasi aman harmoni sejahtera.

Dalam Surah Al-Nahl ayat 90 Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."

Sehubungan itu, apa jua langkah usaha kita dalam megembalikan ikatan ukhuwah sesama ummah menunjukkan yang kita sedang mematuhi apa yang diperintahkan Allah. Kita tidak mahu firman Allah yang diwahyukan ke atas junjungan Rasulullah SAW tinggal dalam kandungan teks kitab al-Quran untuk dibaca sahaja, sebaliknya kita berusaha menghayatinya untuk dijadikan panduan hidup.

Kita sedia maklum bahawa agama Islam sangat memberikan fokus kepada kedamaian hidup individu, baik dalam aspek fizikal dan mental seseorang. Di samping itu Islam juga melalui sistem hidup yang dipandunya menggalakkan keharmonian masyarakat dan keamanan bersama agar semua manusia dapat menjalankan kehidupan di dunia dengan aman dan damai.

Dalam Surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah jadi kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu."

Justeru, janganlah kita berkeras dengan emosi sengketa sesama sendiri lantaran sedikit berbeza pandangan kerana emosi marah dan bertelagah bukan ramuan hidup yang mendatangkan faedah, sebaliknya lebih banyak menjerumuskan individu dan masyarakat serta negara ke kancah fenomena sosial yang tidak diredai Allah.

Manakala dalam Surah al-Maidah ayat 2 Allah juga memperingatkan kita supaya membina kehidupan yang saling bersatu dalam muafakat sesama ummah. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…"

Negara kita ini adalah tempat tinggal kita bersama. Di sinilah kita mencari nafkah kehidupan, di sinilah juga kita menjalani kehidupan dan kemungkinan di sinilah juga kita akan mengakhiri riwayat hidup kita. Jadi, kita seharusnya bertanggungjawab bersama memelihara dan menjaganya dengan sebaik yang termampu. Kita wajib memperindahkan kehidupan di tanah air tercinta kita ini dengan budaya rahmah agar setiap apapun yang kita usahakan diredai Allah. Waallahualam.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 5:58 AM