PERPADUAN dalaman kalangan umat Islam berpandukan al-Quran dan sunnah.
PERPADUAN dalaman kalangan umat Islam berpandukan al-Quran dan sunnah.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Islam amat menekankan kepada perpaduan ummah. Banyak ayat al-Quran dan pesanan Nabi SAW yang menjuruskan kepada perlunya kita sebagai umat Islam untuk sentiasa berwatak sebagai umat yang mengutamakan hubungan sesama mukmin dan manusia lain. Namun, amat malang sekali apabila seruan ke arah persaudaraan dan perpaduan itu sering kali nampak kian meluntur apabila masyarakat kini lebih banyak terdorong mengikut kehendak emosi dan nafsu demi kepentingan diri dan puak sendiri.

Ia semakin terasa apabila setiap kali tiba musim pilihan raya. Meskipun, semua sedia memahami dan mengetahui bahawa elemen pilihan raya adalah aspek terbaik untuk memberikan ruang dan peluang kepada setiap rakyat memperkenalkan diri sebagai calon wakil rakyat dan bagi memberikan rakyat hak untuk memilih dengan seadilnya, namun objektif yang baik itu banyak 'dikotorkan' dengan unsur-unsur yang negatif. Pelbagai naratif negatif terhambur keluar dari lidah masing-masing hinggakan mencetuskan permusuhan sesama ummah.

Ingat, Rasulullah SAW tidak pernah sunyi dari mendidik kita dalam aspek memperkukuhkan hubungan perpaduan sesama ummah. Begitu banyak pesanan Baginda, lalu sekali lagi terlintas di benak kotak fikir kita; "Mengapakah kita tergamak melupakan segala wasiat Baginda SAW yang selama ini terbukti bahawa ikatan ukhuwahlah yang akan memartabatkan imej dan reputasi ummah dan agama?"

Semakin nyata kini, kita semakin lupa mengenai peringatan Allah SWT yang meminta umat Islam sentiasa berada dalam kejituan perpaduan yang ampuh dan utuh. Dalam Surah Ali Imran ayat 103, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan (pada zaman jahiliyah), lalu Allah menyatukan antara hati-hati kamu, maka dengan nikmat-Nya tersebut kamu menjadi dalam kalangan orang-orang yang bersaudara. Dan kamu ketika dahulu sudah berada di tepi jurang neraka (kerana kekufuran kamu pada zaman jahiliyah) lalu Allah menyelamatkan kamu (dengan nikmat Islam dan persaudaraan). Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya, semoga kamu mendapat petunjuk."

Adakah masih kita ingat dan hayati peringatan Allah ini? Ya, seandainya dalam kalangan Muslimin mematuhi dan menghayati pesanan Allah ini, sudah pasti tidak akan berlaku suasana penuh kekecohan dalam masyarakat dan negara. Semua yang berlaku dan sedang tenat dihadapi ummah terkini diakibatkan sikap kita yang lupa semua yang diperingatkan dan banyak berpegang kepada 'tali nafsu' dan tidak kepada tali Allah!

Tokoh Bumi Kinanah (Mesir) yang tidak asing lagi, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna juga pernah mengungkap satu pesanan beliau dalam hal bersangkutan membina keikatan perpaduan ummah yang padu. Kata beliau, "Kekuatan pertama yang dibina ialah kekuatan kesatuan." Kata-kata beliau itu sebenarnya sejajar dengan apa yang difirmankan Allah dalam Surah al-Maidah ayat 103 yang bermaksud: "Berpegang teguhlah kamu dengan tali ini (agama) Allah dan jangan kamu berpecah belah."

Sesungguhnya Islam sangat memfokuskan kepada pembinaan hubungan persaudaraan antara sesama manusia khususnya sesama umat Islam. Bahkan persahabatan dan ikatan ukhuwah Islamiyyah yang dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat daripada pertalian berlandaskan keturunan semata-mata. Ingatkah kita pada satu sabda Baginda SAW yang mana Baginda mengatakan, "Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Dan seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Penulis ada terbaca satu kenyataan Imam Hasan al-Banna yang begitu panjang lebar yang mana semua ungkapannya padat berisi nasihat buat kaum Mukmin supaya memperteguhkan ikatan ukhuwah Islamiah. Antara lain kata Imam Asy-Syahid ini, "Wahai kaum Muslimin. Apabila engkau berselisih pendapat dengan saudaramu, maka engkau ingatlah bahawa di hadapanmu masih ada satu tujuan yang tidak boleh diabaikan iaitu perpaduan. Ingatlah, bahawa engkau memiliki batasan yang tidak boleh dilampaui, iaitu usaha melestarikan ikatan hati antara sesama Muslim."

Namun, dalam perkembangan mutakhir ini, penghayatan terhadap nasihat bermanfaat sebegini rasanya sudah sukar dikunyah resap dalam jiwa. Ia disebabkan kalangan kita sudah terperap begitu banyak unsur mementingkan diri dan puak sendiri. Malah, cubit paha kanan, terasa pedihnya di paha yang kiri seakan-akan sudah tidak wujud lagi.

Kita teruskan sedikit lagi pesanan Imam Hasan al-Banna tadi kerana ia masih berkesinambungan dalam wacana ujaran yang panjang. Kata beliau seterusnya, "Apabila hal semacam ini sudah terpateri di dalam jiwamu, pastilah engkau pun akan mendebatinya dengan penuh pertimbangan, akan menyanggah dengan penuh perhitungan, juga akan engkau akan berusaha mencari solusi bersama dengan tetap menjaga posisi saudaramu di hati masing-masing. Oleh sebab itulah, maka engkau mesti selalu ingat peringatan al-Quran dan al-hadis. "Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu" - (Maksud Surah Al-Anfal ayat 46). Pesanan Baginda Rasulullah SAW ini, "Janganlah kamu bercerai-berai. Sesungguhnya umat sebelum kamu bercerai-berai, kemudian mereka binasa."

Nah, apa yang saudara sekalian dapat hayati menerusi petikan nasihat Imam Hasan al-Banna ini? Tidak terpanggil di hati untuk meneliti apakah selama ini jiwa kita menepati sebagaimana diperingatkan oleh beliau itu? Penulis mengajak diri sendiri dan pembaca sekalian, mari kita bermuhasabah diri dengan bersungguh ikhlas kerana Allah, apakah masih bersarang sikap buruk terhadap sesama setauhid kita?

Sudah begitu lama kita semua merindui suasana ikatan ukhuwah Islamiyyah yang padu sekukuh karang di dasar lautan. Kita begitu kepingin untuk menyaksikan kembali terwujudnya kesepakatan sesama ummah dalam segenap lapangan kehidupan sehingga kita kembali mengangkat imej dan reputasi ummah dan agama ke mercu dunia sebagai umat terbaik yang wajar dicontohi oleh umat agama yang lain.

Ayuh, bersama-sama membina negara yang tercinta ini dengan paparan gaya hidup yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan mengeratkan tali persaudaraan. Usah dek kerana pilihan raya, kita semua bermasam muka dan bermusuh sesama saudara sendiri.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 6:00 AM