FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

PADA masa dahulu, umat Islam adalah umat termaju dalam segala aspek. Bukan mahu bernostalgia menjadikan kejayaan terdahulu sebagai bahan rujukan semata-mata, tetapi ingin kegemilangan itu kembali digapai umat Islam hari ini.

Kita mungkin lupa mengkaji faktor yang membolehkan mereka begitu berjaya menonjolkan imej Islam sebagai peneraju dalam kemajuan dunia.

Asas pertama yang membawa perubahan umat Islam terdahulu kerana kekukuhan tauhid dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Hal itu pernah disuarakan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang juga Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Beliau menyatakan, watak yang ‘dicetak’ menerusi kekukuhan tauhid mampu membina umat berkualiti. Menurutnya, umat Islam berkualiti lahir hasil kekukuhan tauhid sebagai ‘Umat Qurani’ iaitu golongan yang muncul bersama semangat dan jati diri nilai al-Quran.

Selain itu, tokoh ulama kontemporari, Prof Dr Yusof al-Qaradhawi juga pernah mengaitkan kejayaan umat Islam terdahulu dengan kekukuhan tauhid yang jitu.

Menurutnya, iman yang mantap mampu mengubah watak seorang Muslim, sekali gus berkeupayaan menjadi pencipta revolusi dan pembaharuan positif sehingga lahirnya tamadun yang unggul.

Prof Ismail al-Faruqi pula berpandangan, kefahaman tauhid yang mantap, mendalam dan kukuh akan memberikan implikasi yang nyata dalam pembentukan sudut pandangan (world view), tindakan dan perlakuan seseorang Muslim.

Katanya, tauhid yang kukuh mampu memberi penjelasan secara lengkap dan tepat mengenai perkara penting yang menjadi isu serta persoalan utama dalam kehidupan manusia.

Tauhid secara jelas menerangkan manusia adalah makhluk Allah yang mulia dan suci. Manusia tidak dilahirkan berdosa atau bersifat malang seperti yang terdapat dalam sesetengah agama lain.

Tauhid kepada Allah SWT bermakna ketaatan kepada segala perintah-Nya yang membawa kepada ketinggian martabat sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini.

Kini terbongkarlah rahsia mengapa umat Islam terdahulu begitu bersemangat memajukan pelbagai lapangan kehidupan sehingga mereka tanpa jemu menggali ilmu dan maklumat.

Keteguhan tauhid dengan panduan iman dan takwa membolehkan masyarakat Arab sebelum Islam berada dalam kegelapan dan penuh kejahilan bertukar sinar cahaya yang terang sehingga mengubah sikap dan cara hidup mereka.

Bagaimana jawapan yang diberikan Jaafar bin Abu Talib ketika menjawab pertanyaan Raja Najasyi dalam peristiwa Hijrah di Habsyah dahulu.

Dengan tenang Jaafar bin Abu Talib menerangkan kepada raja yang baik hati dengan satu ungkapan, “Wahai Tuan, kami dahulunya adalah kaum yang jahil, kami menyembah berhala, kami memakan bangkai, kami melakukan perkara-perkara yang keji dan tercela, kami memutuskan silaturahim, kami memutuskan hubungan kekeluargaan, kami melupakan jiran tetangga serta menindas kaum yang lemah sehingga akhirnya datang kepada kami seorang Rasul yang menyeru kepada jalan Allah, menyeru kami supaya mentauhidkan Allah, menyuruh kami menunaikan janji, menghubungkan silaturahim, berbaik-baik dengan jiran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa, melarang kami melakukan kemungkaran, bercakap bohong, memakan harta anak-anak yatim serta melarang kami mencemarkan wanita yang bersih dan baik.

Apabila kami memeluk Islam, segala yang haram kami jauhi dan yang halal kami laksanakan. Disebabkan itulah masyarakat memusuhi kami.”

Kata-kata Jaafar bin Abu Talib itu adalah bukti bahawa pegangan tauhid yang kukuh mengubah rentak dan cara hidup masyarakat Arab ketika itu.

Sejak itu, masyarakat Muslim di serata rantau mula membangun bersama Islam dalam menggayakan lagi rentak kehidupan yang harmoni, tenteram dan berinovatif.

Namun, malang sekali kerana masa kini kebanyakan umat Nabi Muhammad SAW mulai kehilangan arah dalam kehidupan sehinggakan ada yang sanggup mendewakan kehidupan asing dibawa umat lain.

Kata-kata Umar al-Khattab ini perlu dihayati: ‘Kami adalah suatu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, maka jika kami mencari kemuliaan dengan selain caracara Islam, nescaya Allah akan menghinakan kami.’

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:30 AM