IMAN yang mantap mampu mengubah watak seseorang Muslim menjadi pencipta revolusi dan pembaharuan positif. FOTO AFP
IMAN yang mantap mampu mengubah watak seseorang Muslim menjadi pencipta revolusi dan pembaharuan positif. FOTO AFP
Mohd Rizal Azman Rifin

Meskipun masa ini, umat Islam dilihat begitu tertinggal di belakang berbanding dengan keupayaan yang telah dan sedang dicapai oleh umat-umat yang lain, namun hakikatnya suatu masa dahulu umat Islam merupakan umat termaju dalam segala segi kehidupan.

Meskipun kini, umat Islam seakan-akan hanya mampu bertindak sebagai golongan pengguna berbanding dengan umat-umat lain yang gah sebagai pencipta dan pencetus kemajuan khususnya yang berteraskan sains dan teknologi, namun fakta yang tidak dapat disangkal ialah suatu masa dahulu, orang-orang Islam yang mendahului zaman merintis kemajuan dalam bidang tersebut.

Dalam memperkatakan keunggulan umat Islam silam, kita mungkin lupa kepada mengkaji faktor-faktor yang membolehkan mereka begitu berjaya menonjolkan imej Islam sebagai peneraju dalam kemajuan dunia. Sesungguhnya asas pertama yang membawa angin perubahan penuh dramatik dan drastik kepada keberhasilan umat Islam dahulu tidak lain adalah berkaitan kekukuhan tauhid dan ketakwaan tinggi kepada Allah.

Umat Islam berkualiti yang lahir hasil kekukuhan tauhid boleh diumpamakan sebagai 'Umat Qurani', iaitu satu umat yang muncul bersama dengan semangat dan jati diri nilai-nilai al-Quran yang berpaksikan kepada perwatakan sifat murni dan unggul. Selain itu, beliau juga ada menerangkan bahawa dengan mempunyai keimanan yang mantap lagi murni mencetuskan watak yang berperibadi hebat dengan semangat daya juang kepada seseorang untuk berdepan dengan apa jua cabaran.

Ulama Komtemporari yang tidak asing lagi, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah mengaitkan kejayaan umat Islam terdahulu dengan kekukuhan tauhid yang jitu. Menurut beliau, iman yang mantap mampu mengubah watak seseorang Muslim sekali gus berkeupayaan untuk menjadi pencipta revolusi dan pembaharuan positif sehingga lahirnya tamadun yang unggul. 

Prof Ismail al-Faruqi pula berpandangan bahawa kefahaman tauhid yang mantap mendalam serta kukuh akan memberikan implikasi yang nyata dalam pembentukan worldview atau sudut pandangan, tindakan dan perlakuan seseorang Muslim. Tambah beliau, tauhid yang kukuh mampu memberi penjelasan secara lengkap dan tepat perkara-perkara penting yang menjadi isu serta persoalan utama dalam kehidupan manusia.

Lalu beliau mengaitkan pegangan tauhid yang kukuh akan membawa kepada kesedaran manusia bahawa manusia mempunyai amanah dan tanggungjawab terhadap alam tabii yang mana manusia seharusnya memperlakukannya secara beradab dalam memajukan dan memanfaatkan sumber alam ini dengan berpandukan ilmu dan kebijaksanaan. Tauhid secara jelas menerangkan yang manusia adalah makhluk Allah yang mulia dan suci dan tidak dilahirkan berdosa atau bersifat malang sebagaimana terdapat dalam sesetengah agama yang lain.

Tauhid kepada Allah bermakna ketaatan kepada segala perintah-Nya yang akan membawa kepada ketinggian martabat sebagai hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini. Justeru, maka kini terbongkarlah rahsia mengapa umat Islam terdahulu begitu bersemangat memajukan pelbagai lapangan kehidupan di dunia sehingga mereka tanpa jemu menggali ilmu dan maklumat demi semata-mata mahukan kesejahteraan hidup buat manusia.

Keteguhan tauhid dengan paduan iman dan takwa kepada Allah yang kukuhlah membolehkan masyarakat Arab yang sebelum Islam berada dalam kegelapan dan penuh kejahilan kepada sinar cahaya yang terang sehingga mengubah sikap dan cara hidup mereka. Tidakkah kita masih ingat akan jawapan Jaafar bin Abu Talib semasa menjawab pertanyaan Raja Najasyi dalam peristiwa Hijrah di Habsyah dulu.

 Dengan tenang Jaafar bin Abu Talib menerangkan kepada Raja yang baik hati itu dengan satu barisan ungkapan: "Wahai Tuan, kami dahulunya adalah kaum yang jahil, kami menyembah berhala, kami memakan bangkai, kami melakukan perkara-perkara yang keji dan tercela, kami memutuskan silaturahim, kami memutuskan hubungan kekeluargaan, kami melupakan jiran tetangga, serta menindas kaum yang lemah, sehingga akhirnya telah datang kepada kami seorang Rasul yang menyeru kepada jalan Allah, menyeru kami supaya mentauhidkan Allah, menyuruh kami menunaikan janji, menghubungkan silaturrahim, berbaik-baik dengan jiran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa, melarang kami melakukan kemungkaran, bercakap bohong, memakan harta anak-anak yatim, serta melarang kami mencemarkan wanita yang bersih dan baik. Apabila kami memeluk Islam, segala yang haram, kami jauhi dan yang halal kami laksanakan. Disebabkan itulah masyarakat memusuhi kami."

Kata-kata Jaafar bin Abu Talib itu adalah suatu bukti bahawa pegangan tauhid yang kukuh telah mengubahkan rentak dan cara hidup masayarakat Arab ketika itu, sekali gus boleh kita tafsirkannya sebagai pemula kepada kewujudan sebuah tamadun dunia yang terbilang. Semenjak itu, masyarakat Muslim di serata ceruk rantau mula membangun bersama Islam dalam menggayakan rentak kehidupan yang cukup harmoni, tenteram dan berinovatif. 

Namun, malang sekali kerana kini kebanyakan umat Nabi Muhammad SAW mulai kehilangan arah tuju dalam kehidupan. Hinggakan sanggup mendewakan kehidupan asing yang dibawa oleh umat lain tetapi lupa bahawa dengan berpaksikan tauhid kepada Allah yang kukuhlah yang akan memberikan sinar jaya yang gemilang. Dek hanyut dalam buaian alunan ombak zaman yang penuh cabaran ini membuatkan sesetengah daripada umat Islam tidak mampu lagi berdiri sama tinggi dengan umat-umat yang lain. Lantas kita dengan sesenangnya diperkudakan begitu sahaja sehingga hilang maruah diri dan terluput martabat agama. 

Sesungguhnya, kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam dan tauhid yang teguh kepada Allah sahajalah yang bakal memungkinkan kita umat Islam kembali menjadi peneraju kemajuan dunia sehingga mampu memartabatkan imej agama yang luhur ini. Ingatlah akan kata-kata peninggalan Umar al-Khattab yang antara lain ujarnya: "Kami adalah suatu kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka jika kami mencari kemuliaan dengan selain cara-cara Islam, nescaya Allah akan menghinakan kami."

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:01 AM