PENGHIJRAHAN memerlukan ketabahan hati dalam mengharungi cabaran sepanjang perjalanan. - Gambar hiasan
PENGHIJRAHAN memerlukan ketabahan hati dalam mengharungi cabaran sepanjang perjalanan. - Gambar hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

Peristiwa hijrah pertama dilakukan Baginda SAW bersama sahabatnya, Saidina Abu Bakar as-Siddiq meninggalkan banyak iktibar kepada umat Islam.

Hijrah Rasulullah SAW menuju destinasi baru, Kota Yathrib (Madinah) melalui pelbagai cabaran termasuk dikejar dan diancam pihak musuh musyrikin Makkah.

Namun Baginda nyata seorang berjiwa besar yang tidak pernah gerun dengan apa saja halangan, sebaliknya sentiasa bersedia dari awal mempersiapkan diri dengan taktik serta pelan penghijrahan yang teratur.

Pelan perancangan logistik, mental dan jiwa diadun dengan begitu mantap berbekalkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kejayaan Baginda dan Saidina Abu Bakar membuktikan Rasulullah SAW seorang perancang strategi terbaik dalam melakukan gerak kerja berisiko tinggi.

Sikap tidak mudah patah semangat dan keyakinan tinggi kepada pertolongan Allah mengajar kita apa sa- ja kerja perlu sentiasa diiringi tawakal sepenuhnya kepada Allah.

Selepas penghijrahan Baginda itu, sahabat dan tabiin turut menyusul melakukan penghijrahan, tetapi dalam skop berbeza.

Mereka berhijrah bagi menyebarkan lagi syiar agama ke serata tempat. Ada dalam kalangan golongan tabiin menjadikan semangat hijrah Baginda SAW sebagai peniup obor menyemarakkan lagi sikap merantau mencari ilmu pengetahuan.

Imam Bukhari dan Muslim serta ramai lagi periwayat hadis singgah di pelbagai lokasi di bumi Arab semata-mata mahu mengumpulkan hadis Baginda SAW, kemudian disaring secara ilmiah demi memastikan kesahihan hadis yang ditemui itu.

Hasilnya, kita dapat membaca dan menghayati banyak hadis sahih yang diusahakan mereka itu.

Selain itu, kemunculan era ketamadunan dan peradaban Islam pada zaman pertengahan iaitu dari kurun ke-7 hingga ke-12 Masihi juga digerakkan golongan yang cintakan ilmu.

Mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan jiwa demi mengharungi bumi Arab yang gersang itu semata-mata kerana ilmu.

Pelbagai penemuan berasaskan ilmu sains, teknologi, falsafah dan bahasa diketengahkan untuk kemajuan umat Islam dan seluruh manusia.

Meskipun segala keunggulan sejarah Islam silam kini sudah tinggal sebagai koleksi di galeri sejarah, sekurang-kurangnya kejayaan mereka dapat dijadikan pengajaran sebagai penyuntik semangat.

Kini kita semua hidup  dalam zaman serba moden, namun suram dari sudut penghayatan ajaran agama.

Sudah banyak nilai keperibadian Islam terhakis kerana dilanda ‘badai globalisasi’ mengakibatkan minda dan jiwa dihanyutkan khayalan kononnya gaya hidup Islamik sudah tidak relevan dengan peredaran semasa.

Bukan sedikit generasi umat Islam kecundang dengan persepsi sebegitu.

Justeru, kita sebagai umat Islam masa kini perlu melakukan penghijrahan minda dan jiwa.

Hanya dengan berhijrah kembali kepada nilai Islam, kita mampu ‘menjemput’ berkat dan pertolongan Allah untuk agama, bangsa dan negara.

Sikap malas berusaha perlu diubah. Contohnya, sikap anak kita yang menganggap bidang STEM iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sesuatu yang sukar perlu diubah.

Ketakutan kepada kesukaran sesuatu subjek kritikal tidak seharusnya berlaku dalam minda dan jiwa anak muda Islam.

Sebaliknya, ibu bapa terutama golongan pendidik wajib melonjakkan semangat anak muda umat Islam untuk ‘terjun’ dalam bidang kritikal seperti STEM demi menjadikan anak bangsa kita mampu duduk sama rendah dan berdiri lebih tinggi dengan bangsa lain.

Malah, sikap berani berhijrah juga perlu tertanam dalam diri graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah menamatkan pengajian.

Seandainya sebelum ini kebanyakan graduan tertumpu untuk kerja makan gaji di sektor awam atau swasta, kini sudah tiba masanya mereka menjadikan diri sebagai ‘pencipta kerjaya’ seperti terbabit dalam bidang agrotani secara sistematik dan berskala tinggi.

Kalau dulu anak muda sanggup menganggur semata-mata menunggu tawaran kerja, sudah tiba masanya mereka berani menceburkan diri dalam apa saja bidang yang boleh menjanjikan pulangan.

Itulah sebahagian sikap minda dan jiwa yang seharusnya dihijrahkan seandainya kita mahu anak bangsa kita terus mampu bersaing dan menghadapi pelbagai cabaran pada zaman moden ini.

Iktibar penghijrahan Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar itu tidak sepatutnya dikaji secara lateral semata-mata.

Peristiwa agung itu juga wajar dijadikan pengajaran kepada sesiapa saja yang mahu berubah daripada kotak jiwa dan paradigma minda lama yang negatif kepada perubahan positif selari dengan tuntutan agama Islam.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:14 PM