FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Umat Islam masih dalam suasana tahun baru dalam kiraan takwim Hijri. Timbul persoalan, bilakah bermulanya takwim Hijri dan apakah kaitannya dengan kita? Takwim merujuk kepada jadual atau senarai yang mengandungi jadual hari, minggu dan bulan. Pendapat lain menyatakan takwim adalah satu  rekod  perjalanan waktu atau satu  sistem susunan masa atau satu sistem penyatuan unit pengukuran masa. 

Menurut Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir yang menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn al-Jauzi, setelah keturunan Nabi Adam AS semakin banyak maka mereka mula mencipta takwim. Ia berasaskan peristiwa penting seperti turunnya Nabi Adam AS ke bumi, banjir besar zaman Nabi Nuh AS pembakaran Nabi Ibrahim AS, pembebasan Bani Israel daripada Firaun dan cubaan tentera bergajah menyerang Kaabah. Dikatakan bahawa kalender orang Yahudi berdasarkan peristiwa keruntuhan Baitul Maqdis manakala bagi orang Nasrani pula berdasarkan peristiwa Nabi Isa AS diangkat ke langit.

Takwim juga disusun berdasarkan jisim samawi (langit) yakni bulan, bintang dan matahari. Setiap tamadun dunia memiliki takwim yang tersendiri contohnya takwim tamadun Arab, India dan China berasaskan bulan yang dikenali sebagai sistem takwim Qamariyyah atau Lunar Calendar. Manakala kalender tamadun Rom dan Yunani pula berasaskan matahari yang dikenali sebagai sistem takwim Syamsiyyah atau Solar Calendar. 

Takwim Masihi juga berasaskan kepada matahari yang bermula 1 Januari tahun 1 Masihi. Ia  dikatakan merujuk kepada kelahiran Nabi Isa yang digelar al-Masih (tarikh sebenarnya tidak dipastikan). Manakala takwim bagi tamadun Islam yakni takwim Hijri juga berasaskan bulan. 

Takwim Hijrah terdiri daripada 12 bulan bermula dengan Muharram dan diakhiri dengan Zulhijah. Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (yakni bulan yang dihormati iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab)."

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari, daripada Saidina Abu Bakrah RA, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun terdapat dua belas bulan yang mana antaranya adalah empat bulan mulia; yakni tiga bulan berturut-turut; Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram dan Rejab [Kabilah] Mudar adalah antara Jumada (yakni Jamadil Akhir) dan Syaaban." 

Pendapat lain menyatakan bahawa terdapat peristiwa Saidina Umar diberi catatan berkenaan kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Syaaban, tetapi tidak diketahui sama ada ia Syaaban tahun lalu, tahun semasa atau tahun berikutnya. Terdapat juga riwayat mengenai peristiwa seseorang lelaki memberitahu Saidina Umar mengenai amalan orang Yaman dalam penetapan tarikh, maka beliau memandang perkara ini adalah baik dan beliau memerintahkan agar kalender rasmi dibuat. Dalam riwayat lain, lelaki Yaman tersebut bernama Saidina Ya'la ibni Umayyah pernah mengutus surat kepada Saidina Umar yang mengandungi tarikh yakni bulan dan tahun tertentu.

Maka, pada Rabu, 20 Jamadil Akhir tahun 17 Hijrah, Saidina Umar berbincang dengan sahabat mengenai bulan dan tahun bermulanya takwim Hijrah untuk memudahkan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan. Terdapat sahabat yang mencadangkan agar ia bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi. Terdapat juga cadangan agar ia bermula dengan tarikh penghijrahan Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. Akhirnya Saidina Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi SAW kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan
antara hak dan batil. 

Berkenaan dengan permulaan bulan bagi tahun Hijrah, antara cadangan sahabat ialah ia bermula pada Ramadan dan bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Rabi'ul Awwal. Menurut al-Mubarakfuri, pada tahun ke 14 setelah Nabi SAW menjadi Rasul, tarikh spesifik Nabi SAW mula keluar dari rumahnya untuk berhijrah adalah sekitar malam 27 Safar menuju Gua Thur. Jabatan Mufti Negara Mesir berpendirian pandangan yang paling masyhur adalah Nabi SAW berhijrah pada bulan Rabi'ul Awwal. Menurut Sheikh Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti dalam kitab Fiqh al-Sirah, pendapat yang terkuat ialah peristiwa ini berlaku pada 2 Rabi'ul Awwal bersamaan 20 September 631 Masihi, 13 tahun selepas  pengutusan  baginda SAW sebagai  Rasul. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tiba di Madinah pada 12 Rabi'ul Awwal. 

Selain itu, Muharram juga dicadangkan untuk permulaan bulan Hijrah. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, akhirnya Saidina Umar lebih memilih Muharram kerana jemaah haji pulang pada bulan itu dan ia disepakati. Jadi, tarikh 1 Muharram tahun 1 Hijrah adalah bersamaan dengan Jumaat 16 Julai tahun 622 Masihi. 

Menurut Imam al-Munawi, Muharram dipilih sebagai permulaan bulan tarikh Hijrah kerana ia ada kaitan dengan peristiwa Bai'ah Aqabah pada bulan Zulhijah. Ia adalah perjanjian berat yang memerlukan keazaman yang kuat untuk dilaksanakannya. Bulan selepas Zulhijah adalah Muharram yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan. Maka, takwim Hijri ini secara rasminya dilaksanakan pada tahun ke 17 Hijrah, sekitar 4 tahun setelah Saidina Umar menjawat sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua.

Beberapa pengajaran yang dapat diambil dari peristiwa ini ialah kepentingan umat Islam untuk memperbaharui keazaman mereka agar ia dapat dilaksanakan. Selain itu, ia juga berkaitan dengan simbolik kepada pemisahan antara hak dan batil yang perlu dimuhasabah oleh umat Islam. Di samping itu, larangan bersikap seperti golongan jahiliyyah yang mengubah kewajipan berkaitan ibadah pada tarikh tertentu. Penetapan takwim ini juga atas semangat untuk memudahkan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan. Tidak lupa juga, keperluan berfikir tentang hikmah dari sebalik penciptaan bulan, matahari dan bintang dan kemestian bersyukur atas kemudahan yang diberikan. 

Akhirnya, sempena bermulanya bulan baru seperti Muharram atau tahun baru yakni 1442 Hijrah, di samping doa yang diamalkan oleh masyarakat yang disusun, terdapat juga doa yang boleh diamalkan sebagaimana yang diamalkan oleh sahabat. Dalam riwayat hadis mauquf yang disahihkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa Abdullah bin Hisyam RA berkata: "Para sahabat Rasulullah SAW selalu mempelajari doa sebagaimana mereka mempelajari al-Quran, apabila masuk bulan baru atau tahun baru iaitu: 'Allahumma adkhilhu 'alaina bi al-amni wa al-salamah wa al-islam wa jiwar min al-shaitan wa ridwan min al-Rahman. (Bermaksud: "Ya Allah, masukkanlah bulan atau tahun baru ini kepada kami dengan sentosa, keimanan, keselamatan, dan Islam serta mendapat perlindungan dari syaitan dan memperoleh reda dari Allah Yang Maha Pengasih.'" 

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:07 AM