GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah suatu perubahan yang besar dalam kehidupan Rasulullah SAW. Sesiapa yang pernah ke Makkah dan Madinah pasti melihat dua suasana berbeza.

Begitu juga dalam perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Perubahan yang berlaku hasil hijrah itu memberikan impak besar dalam kehidupan Baginda dan kepada agama Islam.

Dengan kata lain, Rasulullah SAW juga sudah melalui fasa berbeza dalam kehidupan Baginda. Daripada peristiwa hijrah inilah Islam tersebar ke seluruh dunia. Apa yang pasti, norma kehidupan juga berubah apabila berlakunya perubahan tempat dan situasi.

Hijrah menuntut pengorbanan, malah hijrah secara naratifnya merujuk kepada hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Hijrah biasanya sinonim dengan makna perpindahan dari satu tempat ke tempat lain.

Dalam Kamus Dewan, hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Selain itu, ia juga bermaksud penghijrahan perbuatan. Hijrah adalah sunatullah dalam kehidupan.

Hijrah Rasulullah SAW ini adalah inspirasi kepada kita untuk terus melakukan perubahan dalam kehidupan. Peristiwa ini berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW dan diriwayatkan dalam beberapa hadis. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: "Nabi SAW dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya).

"Kemudian, Baginda menerima wahyu dan diperintahkan berhijrah. Maka Baginda berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun." (Riwayat Bukhari)

Hijrah Rasulullah SAW bersama sahabat ini menjadi titik mula kepada perubahan besar dalam perkembangan Islam.

Allah SWT berfirman: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia antara seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua.

Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Taubah, ayat 40)

Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah mencatatkan sejarah besar dalam kehidupan umat. Hijrah ini berlaku selepas Nabi SAW berdepan penentangan hebat daripada kafir musyrikin di Makkah. Beberapa percubaan untuk berhijrah berlaku antaranya ke Habsyah, namun tidak berjaya. Perkara asas yang perlu difahami ialah hijrah kerana mentaati perintah Allah SWT.

Hijrah Rasulullah SAW bersama sahabat bukan semata-mata berpindah kerana melarikan diri daripada kafir musyrikin. Tetapi, ia adalah langkah proaktif ke hadapan yang disusun oleh Allah SWT. Terbukti Islam mencapai tahap kemajuan tertinggi di Madinah dalam segenap perkara.

Dalam konteks pandemik Covid-19, kita melalui banyak perubahan dalam kehidupan. Ia satu bentuk hijrah yang baharu. Banyak perkara yang berubah daripada keadaan lama kepada norma baharu. Namun, perlu diingat bahawa perubahan yang berlaku ini semestinya menuntut pengorbanan besar semua pihak. Malah, bagi frontliner mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi bangsa dan negara. Mereka mempertaruhkan keselamatan diri dan sanggup berkhidmat dalam situasi terdedah kepada wabak. Betapa besarnya pengorbanan mereka menghadapi pandemik. Mereka wira kita.

Begitu juga apabila melihat perubahan yang berlaku dalam bidang kehidupan lain. Antaranya perubahan besar telah berlaku dalam dunia pendidikan. Daripada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara bersemuka di sekolah atau universiti sudah bertukar kini kepada PnP secara dalam talian sepenuhnya (PdPR).

Kita belum boleh menjangka bila pandemik ini berakhir. Tidak mustahil jika selepas ini pun PnP secara dalam talian akan menjadi kaedah penting dalam pendidikan. Sangat besar pengorbanan pendidik untuk meneruskan PnP supaya sistem pendidikan negara tidak lumpuh.

Pada permulaan pandemik Covid-19, kita tidak pernah membayangkan perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan kita. Apabila sudah lebih setahun kita mengharungi kehidupan yang serba baharu ini, kita sudah boleh memahami dan menerima peralihan yang berlaku.

Perkembangan yang sangat pesat juga berlaku dalam dunia perniagaan dan perdagangan dalam talian (e-dagang). Sejak pandemik melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan, banyak urusan perniagaan berlaku secara dalam talian. Ia juga memberi impak besar kepada bidang industri.

Kita dituntut berhijrah dalam bentuk yang baharu dalam kehidupan. Wabak yang Allah SWT datangkan ini menjadi asbab kepada hijrah ini. Malah, hijrah seperti ini juga termasuk dalam maksud hijrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Daripada Muawiyah, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Hijrah tidak akan berakhir sehingga berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehingga matahari terbit dari barat." (Riwayat Abu Daud)

Allah SWT juga berfirman: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah." (Surah al-Taubah, ayat 20)

Untuk sampai ke tahap ini pastinya semua pihak terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengorbanan. Kini masyarakat semakin biasa dengan amalan terpuji seperti menjaga kebersihan dan menjaga diri daripada terdedah kepada wabak dan penyakit merbahaya.

Langkah pencegahan sangat dititikberatkan. Mungkin perkara ini tidak begitu diambil berat sebelum ini. Tetapi, dengan tercetusnya wabak ini, masyarakat berhijrah kepada norma baharu. Ia adalah hijrah kepada norma baharu kehidupan yang lebih baik. Allah SWT akan memberi pahala besar jika ia dilakukan kerana Allah SWT.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 5:59 AM