SEMEMANGNYA dengan mengambil vaksin ia terbukti efektif dan mampu membantu melawan virus menurut pelbagai kajian dijalankan. FOTO BERNAMA
SEMEMANGNYA dengan mengambil vaksin ia terbukti efektif dan mampu membantu melawan virus menurut pelbagai kajian dijalankan. FOTO BERNAMA
Nor Asree Mohd Noh

Saban tahun Malaysia pasti akan menyambut peristiwa Maal Hijrah. Sambutan ini dikaitkan dengan perubahan tarikh atau masa iaitu masuknya tahun yang baharu. Ia juga adalah kalendar tahunan umat Islam yang dicetuskan oleh khalifah kedua, Umar al-Khattab RA  yang dimulai Muharam dan diakhiri Zulhijah. Pada masa sama, sambutan ini dijadikan iktibar  dan semangat umat Islam mengenai peristiwa perpindahan atau penghijrahan Nabi SAW dan sahabat baginda ke Madinah al-Munawwarah setelah melalui penindasan dahsyat ketika berada di Makkah.

Perihal perbuatan penghijrahan yang asal adalah meninggalkan Makkah menuju ke Madinah sebagaimana sabda baginda SAW: "Tidak ada lagi (tidak boleh) hijrah selepas pembukaan kota Makkah."  (HR al-Bukhari dan Muslim)

Namun, terdapat sebahagian pendapat sarjana Islam membenarkannya yang juga perlu diraikan, berdasarkan riwayat yang lain mengatakan hijrah akan berterusan sehingga pengakhiran dunia ini sepertimana dalam hadis Nabi SAW: "Tidak terputusnya hijrah sehingga terputusnya taubat dan tidak terputusnya taubat itu sehingga terbitnya matahari dari barat."  (HR Abu Dawud dan Ahmad)

Dalam konteks masyarakat awam, apabila disebut mengenai hijrah, secara umumnya ia dikaitkan dengan niat dan azam baharu bagi membetulkan atau menambahbaik segala kekurangan diri untuk mengharungi kehidupan mendatang bersempena kedatangan tarikh baharu hijri ini. Kemungkinan terdapat hajat atau impian yang tidak tertunai dan tertangguh sebelum ini, maka dengan masuknya tahun baharu ini mudah-mudahan impiannya tercapai.

Niat dan azam seperti ini adalah sangat baik dan diharuskan. Adalah lebih awla dan digalakkan apabila penghijrahan itu dibuat tidak kerana untuk memenuhi permintaan nafsu sahaja seperti mengejar sesuatu bersifat material semata; bahkan wajib diiringi bersama dengan perubahan diri ke arah lebih baik menuju Rabb, Tuhan yang Maha Esa.

Tambahan pula konteks sekarang, umat Islam dinasihatkan untuk mendekati-Nya dengan lebih aqrab lagi. Hal ini kerana wabak ini mengajar umat Islam dalam banyak perkara. Antaranya ialah berkaitan penjagaan hubungan antara Rabb dan hamba dan hubungan sesama manusia. Situasi pandemik wabak Covid-19, ia dijadikan sebagai proses penghijrahan seseorang dengan berbanyak buat kebaikan dan bergantung harap kepada Sang Pencipta kerana Dia-lah yang berkuasa memberi mudarat dan manfaat. Selain itu hubungan antara manusia turut diutamakan, di mana ada sifat kasihan dan ihsan untuk membantu orang lain di saat kesulitan sebegini. Dilaporkan pelbagai kisah sedih yang menimpa sebahagian masyarakat sekeliling, tatkala ada individu yang putus mata pencarian kerana tiada pekerjaan atau diberhentikan kerja.

Ada juga ahli keluarga diuji dengan pelbagai penyakit, tambahan keperluan makan minum tidak mencukupi dan sebagainya. Maka dari sini, seseorang dapat melakukan hijrah dari kebakhilan diri dengan membantu sebaik mungkin sama ada bantuan berbentuk wang, sumbangan barang atau tenaga bagi meringankan beban saudara yang kesusahan tersebut. Semua ini adalah antara elemen dikaitkan menjaga hubungan baik sesama manusia. 

Selain itu, apa yang tidak kurang penting ketika zaman pandemik ini adalah hijrah minda vaksin. Hijrah yang dimaksudkan ialah membetulkan kembali stigma negatif masyarakat mengenai vaksin. Hijrah daripada antivaksin kepada ingin mengambil vaksin atau berhenti menghasut orang untuk tidak mengambil vaksin.

Ia bertepatan dengan hadis Nabi SAW: "Orang Muslim yang sebenar ialah seseorang yang menjaga (selamat) lidah dan tangannya daripada menyakiti Muslim yang lain dan orang berhijrah (muhajir) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (HR al-Bukhari)

Secara umumnya, apabila dikenakan dengan isu ini, ia merujuk kepada larangan menyebarkan berita palsu sama ada melalui penyampaian mulut atau tulisan di media sosial yang akan mempengaruhi orang lain. Rangkap hadis selepas itu, mengingatkan semua masyarakat supaya menjadi muhajir atau orang yang berhijrah untuk meninggalkan segala perkara yang dibenci Tuhan. Hal ini kerana isu memastikan orang sekeliling dalam berada keadaan sihat dan selamat, iaitu tentang nyawa adalah sesuatu yang disuruh oleh syarak dan tidak boleh dipermainkan sebagaimana dalam Maqasid al-Syariah.

Ini sejajar dengan kesungguhan usaha negara Malaysia untuk mencapai herd immunity atau imuniti kelompok dalam memerangi wabak Covid-19; di mana pihak berkuasa bertungkus-lumus mempercepatkan dan memperluaskan proses vaksinasi nasional yang telah bermula sejak Februari lalu.

Ia adalah sesuatu perkara yang perlu dipuji dan disokong bersama. Maka, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membantutkannya dengan menyebar berita palsu dan menakut-nakutkan orang lain. Sememangnya dengan mengambil vaksin ia terbukti efektif dan mampu membantu melawan virus menurut pelbagai kajian dijalankan walaupun terdapat bilangan yang tersangat kecil mengalami kesan sampingan daripadanya. Walau bagaimanapun, ia perlu difahami bahawa manfaatnya lebih besar daripada mudaratnya.

Penulis Pensyarah  Jabatan Bahasa Arab,  Pusat Asasi dan Pengajian Umum,  Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:00 AM