DIBERI tanggungjawab untuk menyiapkan persalinan Ernie ketika AJL 37.
DIBERI tanggungjawab untuk menyiapkan persalinan Ernie ketika AJL 37.
Hafiz Ithnin


Pesona persalinan pakaian penyanyi Ernie Zakri dalam persembahan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) pasti meninggalkan kesan kepada peminat fesyen.

Di AJL 37 baru-baru ini, gaun yang mempunyai identiti tersendiri dengan kelopak bunga di bahagian skirt dan 'bodice' berona hitam polos disarung Erni sememangnya mempunyai aura feminin luar biasa.

Sebenarnya fesyen yang disarungkan penyanyi bersuara lunak dan 'berkuasa' itu bukan hanya sekali meninggalkan kesan kepada khalayak di dalam acara prestij berkenaan.

Malah, setiap kali berjaya ke peringkat akhir, mata peminat fesyen pasti ternanti-nanti persalinan Ernie.

Di sebalik keindahan busana yang disarungkan penyanyi itu sebenarnya ia adalah hasil sentuhan emas duo pereka fesyen tempatan sejak 2014.

Perekanya ialah Khairul Amar Ahmad Shafie, 36, dan Mohd Yazid Mohd Jamil, 37, yang melalui pelbagai cabaran kekal bertapak dan mendapat 'lampu sorot' di dalam industri fesyen.

"Lagu Aku Cinta, membawa tuah yang amat besar kepada kami apabila gaun yang disarungkan Ernie pada malam AJL 32 menjadi tular.

"Sebagai pereka fesyen, pastinya kami merasa bangga kerana mampu menarik perhatian khalayak bukan sahaja kerana suara artis yang memukau tetapi busana disarungkan hasil sentuhan peribadi," kata Mohd Yazid yang lebih mesra disapa Yazid.

PERSALINAN yang tampak ayu dengan sisi tradisional.
PERSALINAN yang tampak ayu dengan sisi tradisional.

Beliau juga tidak dapat menafikan kuasa selebriti yang menyarungkan busana jenama mereka mampu memberi kesan besar untuk menonjolkan namanya dan Amar di dalam industri fesyen.

Yazid berkata, dia dan Khairul Amar atau lebih mesra disapa Amar saling mengenali sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan rekaan fesyen.

"Ketika di universiti lagi sebenarnya saya dan Amar mempunyai keserasian menghasilkan sebuah rekaan fesyen tetapi kami tidak terus menubuhkan jenama selepas tamat pengajian.

"Saya mengajar dan bekerja di sebuah firma fesyen selama tiga tahun dan begitu juga Amar, dalam tempoh sama bekerja di sebuah sebuah firma fesyen tempatan," kata Yazid.

Jelasnya, selepas mempunyai keyakinan menubuhkan jenama sendiri, tahun 2014 menjadi pembuka tirai kepada mereka untuk mempunyai sebuah butik atas jenama Amaze.

Tambahnya, di awal pembabitan mereka, jenama itu tidak begitu dikenali dan perniagaan juga agak mendatar kerana untuk bersaing di dalam dunia fesyen bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Pernah suatu ketika kami terpaksa menutup butik fizikal dan hanya beroperasi di rumah kerana situasi perniagaan yang agak mencabar.

MELIHAT gaya sopan mempunyai potensi besar dalam pasaran tempatan.
MELIHAT gaya sopan mempunyai potensi besar dalam pasaran tempatan.

"Namun rezeki mula berpihak kepada kami, syukur jenama ini mula dikenali selepas Ernie menyarung pakaian sentuhan kami dalam AJL 32," katanya.

Yazid berkata, meskipun ketika ini jenamanya semakin mendapat perhatian pelanggan dalam kalangan selebriti dan golongan kerabat diraja tetapi, memilih pelanggan bukan sesuatu yang dipraktikkan.

"Kami menghargai semua pelanggan terutama ketika kami mula bertapak di dalam dunia fesyen. Mereka inilah yang menjadi tulang belakang kepada jenama kami dari awal lagi.

"Memilih pelanggan bukanlah sesuatu perkara yang baik di dalam industri fesyen meskipun nama kita sudah berada di atas kerana setiap individu layak dan berhak menerima sentuhan kreatif daripada pereka fesyen," katanya.

Bercerita mengenai cabaran mewujudkan jenama atas dua nama pereka fesyen Yazid mengakui, perkara itu banyak memberi manfaat kepadanya dan Amar.

"Kami mempunyai ilham dan imiginasi rekaan tersendiri. Namun, tidak semua yang kita bayangkan sesuai untuk disarungkan kepada pelanggan.

MENYIAPKAN Ernie pada majlis pernikahanya.
MENYIAPKAN Ernie pada majlis pernikahanya.

"Jadi, salah seorang perlu menjadi pengkritik supaya hasil rekaan yang disampaikan kepada pelanggan akhirnya memberi kesan yang baik," katanya.

Katanya, saat yang paling manis selain rekaan khas untuk Ernie yang menjadi tular, pastinya apabila diberi peluang untuk mereka gaun petang Miss Universe Malaysia 2018 iaitu Jane Teoh di pentas peringkat akhir.

"Bagi kami untuk berada di dalam industri fesyen ini pastinya kesabaran dan menghasilkan karya yang bukan sahaja cantik tetapi paling utama mempunyai kualiti.

"Jangan cepat mengalah kerana rezeki tidak akan salah alamat jika kita terus berusaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 7:00 AM