Kebanyakan majikan tidak yakin  ambil saya jadi pekerja - Mohd Armi
Kebanyakan majikan tidak yakin ambil saya jadi pekerja - Mohd Armi
Hafiz Ithnin


Selepas 36 tahun dasar satu peratus diperkenalkan kerajaan pada 1988 bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pekerjaan namun hanya 0.33 peratus sahaja tercapai ketika ini. Lebih menyedihkan apabila diskriminasi mendapat pekerjaan dalam kalangan OKU masih menebal dan tidak menampakkan jalan penyelesaian.

Meskipun berdepan dengan cabaran getir ketika ini, namun beratus ribu golongan OKU yang berasa disisihkan dalam sektor pekerjaan tetap terus memperjuangkan hak mereka.

  • Nur Izhar Idham, 38, (OKU Fizikal)
  • Terbabit dalam kemalangan pada 2004 ketika baharu berusia 18 tahun. Tragedi itu menjadikan dia kehilangan upaya kedua-dua kaki dan perlu berkerusi roda seumur hidup.

    Selama dua tahun dia tidak boleh menerima kenyataan menjadi OKU seumur hidup dan mengalami tekanan mental sehingga pernah cuba menamatkan riwayat hidup.

    Namun, dia yang terkenal di media sosial sebagai braderwheelchair bangkit semula apabila mengenangkan ibunya, Hasmah Jaafar, 67, yang banyak berkorban untuk dirinya.

    "Selepas kemalangan itu, saya rasakan hidup ini sudah tiada erti dan memikirkan masa depan untuk menyara hidup. Akhirnya, saya melihat banyak video di luar negara yang memaparkan kehidupan OKU yang bangkit dan menjadi orang yang berjaya membuatkan saya terus cekal meneruskan kehidupan," katanya.

    Majikan macam pandang sepi permohonan saya - Nur Izhar
    Majikan macam pandang sepi permohonan saya - Nur Izhar

    Jelasnya dia kini banyak menerima jemputan memberi motivasi di institut pengajian tinggi (IPT).

    "Saya mengakui bukan mudah mendapat pekerjaan dengan memegang status OKU.

    "Saya memohon banyak jenis pekerjaan. Apabila memasukkan status berkerusi roda, bakal majikan seolah-olah memandang sepi permohonan saya.

    "Saya bukan meminta jawatan yang tinggi di dalam permohonan pekerjaan itu. Cukup misalnya sebagai kerani biasa di dalam sektor awam dan swasta, namun semua hampa. Paling menyedihkan, jawapan diterima adalah syarikat berkenaan tidak mempunyai kemudahan untuk pekerja berkerusi roda," katanya.

    Meskipun berkerusi roda, Izhar boleh memandu kenderaan yang diubah suai untuk kegunaan OKU sepertinya iaitu menggunakan tangan. Malah, dia juga adalah bekas atlet kebangsaan dalam sukan ping pong paralimpik.

    Izhar berkata, berkat kesabaran meminta pelbagai jenis pekerjaan, akhirnya dia diterima oleh syarikat berstatus multinasional dan kini sudah tujuh tahun berkhidmat dengan syarikat berkenaan. Malah, dia juga melihat dasar satu peratus yang diwujudkan untuk OKU seolah-olah tidak wujud di sektor kerajaan kerana dia tidak terkecuali ditolak permohonan untuk menjadi kakitangan awam sebagai kerani.

    "Pernah suatu ketika, saya menghadiri satu temu duga dan mereka katakan, OKU berkerusi roda bukanlah individu yang sesuai untuk kategori OKU yang ingin bekerja. Bagi saya ini adalah satu bentuk diskriminasi yang amat jelas," katanya.

    Bercerita mengenai kehidupan sebagai pempengaruh di media sosial, Izhar berkata, dia tidak melihat platform itu sebagai mata pencarian

    "Saya cuma mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa OKU berkerusi roda adalah individu yang boleh berdikari.

    "Saya melancong sehingga ke luar negara dengan berkerusi roda, melakukan aktiviti lasak dan berenang. Tujuannya untuk memberi kesedaran dan motivasi," katanya.

  • Anissa Jailani, 26, (Masalah pendengaran)
  • "Banyak kali saya memohon pelbagai jawatan namun ditolak. Hakikatnya diskriminasi OKU itu wujud ketika proses mendapatkan pekerjaan.

    Sebelum ini banyak permohonan pekerjaan saya ditolak susulan status saya sebagai OKU cacat pendengaran," katanya.

    Menurutnya, bakal majikan mengatakan masalah pendengaran dialaminya menyebabkan kesukaran untuk mereka memanggilnya ketika bertugas,

    "Itu belum lagi pengalaman ketika menghadiri sesi temuduga, ada antara bakal majikan sudah menunjukkan reaksi wajah tidak boleh menerima OKU untuk berkerja," katanya pemilik Sijil Kemahiran Katering dan Hotel ini.

    Katanya, dia sejak kecil sudah biasa didiskriminasi menjadikan dirinya tabah berdepan dengan cabaran itu.

    "Saya sentiasa percaya rezeki pasti ada. Sesetengah orang normal takut atau segan mahu berkomunikasi dengan saya kerana mereka tidak pandai bahasa isyarat.

    "Pada saya, orang pekak tiada masalah berkomunikasi dengan orang normal menerusi menulis nota atau menaip ayat di telefon pintar," katanya.

    Anissa yang terkenal di media sosial berkongsi mengenai bahasa isyarat dengan tujuan memberi ilmu secara meluas kepada orang ramai mengenai bahasa isyarat.

    Hasil daripada populariti di media sosial itu juga membawanya menjadi seorang pelakon di dalam satu telefilem pada 2021 selaku watak utama.

    "Menerusi sosial media ini saya mampu meraih pendapatan baharu. Walaupun tidak banyak tetapi boleh memberi pendapatan sampingan selain berkerja kilang," katanya.

  • Muhammad Anish Aiman Khairuni, 26, (buta)
  • "Walaupun saya berkerja sebagai pencipta kandungan di media sosial sepenuh masa namun tidak dinafikan ada antara rakan-rakan OKU buta yang berdepan diskriminasi ketika mendapatkan pekerjaan," jelasnya.

    Dia adalah antara pencipta kandungan di media sosial, berkaitan bidang muzik dalam kalangan OKU yang berjaya menerima pelbagai anugerah daripada syarikat media sosial.

    Menjadi buta sepenuhnya pada 2019 akibat penyakit kulit dihadapinya sejak kecil menjadikan Muhammad Danish menjadikan platform media sosial sebagai punca mata pencariannya.

    "Paling penting adalah OKU perlu berani bangun dan berusaha untuk memajukan diri mereka. Isu diskriminasi mendapatkan pekerjaan itu sentiasa wujud dan sukar dihapuskan.

    "Sebenarnya OKU tidak diberikan kepercayaan oleh orang lain untuk berkerja. Ini akibat tanggapan sempit bahawa golongan OKU tidak boleh melakukannya. Ia adalah satu bentuk diskriminasi kepada OKU," katanya.

    Katanya, ketika ini teknologi banyak membantu golongan OKU untuk memudahkan mereka menjalani kehidupan harian dan berkomunikasi.

    "Meskipun saya buta tetapi saya masih dapat berkomunikasi menggunakan telefon dan menjadi pencipta kandungan digital," katanya.

  • Mohd Armi Rusli, 41, (masalah pendengaran)
  • Apabila penemuduga mengetahui bahawa saya kurang pendengaran, tidak banyak soalan yang ditanyakan berbanding kepada calon-calon yang lain. "Saya pernah melalui pengalaman temuduga membabitkan tiga orang calon serentak. Malangnya layanan terhadap calon OKU seperti saya amat menyedihkan. Saya seolah-olah tidak wujud dalam bilik itu.

    "Mungkin majikan tidak yakin saya mampu menjawab dan menganggap saya tidak dapat mendengar soalan berikutan hanya memakai satu alat pendengaran," jelasnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Organisasi) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

    Armi berkata, setahun dia menganggur selepas menjadi graduan kerana kebanyakan majikan tidak yakin untuk mengambilnya sebagai pekerja.

    "Selepas tamat pengajian, saya seperti graduan lain juga memohon pekerjaan dengan carian maklumat melalui surat khabar dan laman pencarian kerja.

    "Saya juga beberapa kali mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan sebagainya. Seperti biasa keputusan yang diterima negatif," katanya.

    Akhirnya dia berjaya menjadi kakitangan NGO Pekak di Kelantan selama tiga bulan.

    "Saya kemudian menjadi juruwang di sebuah pasar raya di Kota Bharu selama enam bulan sebelum menjadi kakitangan di Cash Office selama satu tahun setengah," katanya.

    Pada 2010, Mohd Armi berhijrah ke Selangor dan bekerja di NGO Pekak Selangor selama dua tahun sebagai Penyelaras Kursus Bahasa Isyarat Malaysia.

    "Saya kemudian menjadi penasihat jualan sebuah syarikat kenderaan antara 2013 hingga 2014. Kini saya bekerja sendiri dengan menjadi tenaga pengajar Bahasa Isyarat Malaysia sepenuh masa," katanya.

    Katanya, dasar satu peratus yang ditawarkan oleh kerajaan untuk menetapkan golongan OKU dalam penjawat awam sebenarnya sangat sedikit. "Peluang OKU bersaing sesama sendiri dan dengan bukan OKU bagi menempatkan diri dalam pelbagai bidang kerjaya di organisasi swasta mahupun kerajaan sangatlah sengit.

    Masih wujud diskriminasi

    Majlis Belia OKU Malaysia mengakui masih wujud diskriminasi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia antaranya dinafikan peluang kenaikan pangkat atau terbabit dalam bahagian pentadbiran bersandarkan anggapan ketidakupayaan mereka membataskan sumbangan dalam organisasi.

    Presidennya, Mohd Faiz Shuhaimi berkata, diskriminasi juga wujud apabila rakan sekerja tidak memahami keperluan dan sokongan kepada OKU. Justeru, pekerja OKU disisihkan daripada kumpulan rakan sekerja.

    "Kami berharap inisiatif Job Coach perlu diperluaskan ke pelbagai organisasi pekerjaan untuk membolehkan majikan memahami keperluan sokongan OKU dan penyediaan persekitaran yang menyokong bagi golongan OKU.

    "Pada masa yang sama, usaha perlindungan OKU daripada diskriminasi perlu diperluaskan melalui pelaksanaan latihan Job Coach serta kaedah dan kod anti diskriminasi perlu dilaksanakan untuk membolehkan pekerja termasuk OKU mengetahui hak mereka," katanya.

    Jelasnya, dari aspek undang-undang, golongan OKU menantikan pindaan akta OKU yang baharu untuk menguatkuasakan perlindungan kepada OKU termasuk dari aspek diskriminasi pekerjaan.

    "Saya difahamkan Akta 685, Akta OKU 2008, pindaan bakal dibentang di parlimen pada 2024. Sesi perincian dan libat urus untuk pindaan sudah dilaksanakan sepanjang 2023 selepas bersama pelbagai pihak berkepentingan," katanya.

    Katanya, jika OKU berdepan dengan diskriminasi pekerjaan, mereka boleh mengadukan hal berkenaan kepada Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sokongan Majlis Kebangsaan bagi OKU dan saluran di bawah Jabatan Tenaga Kerja (bagi yang sudah berkerja).

    "Selain itu, ruangan aduan juga boleh diajukan kepada pihak SUHAKAM. Bahkan di dalam akta kerja 1955 (pindaan 2022), sebarang bentuk diskriminasi kepada pekerja boleh dilaporkan dan dibawa ke perhatian jabatan tenaga kerja," katanya.

    Mengulas mengenai pembabitan OKU di dalam dunia digital sebagai kerjaya, katanya, pihaknya menggalakkan golongan belia dan OKU menerokai industri penciptaan kandungan kreatif.

    "Tarikan dan potensi sebagai salah satu sumber penjanaan pendapatan adalah tidak dinafikan. Namun, golongan Belia dan OKU hendaklah mempunyai kemahiran literasi digital yang baik dan mempelbagaikan sumber rujukan bagi penghasilan sesuatu kandungan kreatif.

    "Pada masa yang sama, kandungan kreatif yang berkesan ini juga mampu berperanan sebagai medium mendidik masyarakat setempat khususnya bagi menghormati dan memahami keperluan serta hak OKU di negara," katanya ketika dihubungi.

    Langgar hak asasi manusia

    Diskriminasi terhadap graduan orang kurang upaya (OKU) dalam proses penerimaan pekerjaan adalah satu isu serius membabitkan hak asasi manusia.

    Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga ahli Majlis Tindakan OKU Negeri Perak, Prof Dr Abdul Rahim Razali berkata, diskriminasi itu terjadi apabila majikan membuat keputusan berdasarkan stereotaip atau prasangka terhadap individu dengan keupayaan berbeza.

    Jelasnya, beberapa bentuk diskriminasi yang mungkin timbul termasuk stereotaip dan prasangka iaitu majikan mungkin mempunyai pandangan negatif atau prasangka terhadap individu dengan keupayaan berbeza yang boleh menyebabkan mereka enggan untuk menggaji graduan OKU.

    "Kurangnya ralat ketercapaian juga antara faktor berikutan pekerjaan ditawarkan mungkin tidak direka bentuk untuk memudahkan akses kepada individu dengan keupayaan berbeza. Ini boleh menjadi halangan untuk graduan OKU.

    "Selain itu ketidakpastian kualifikasi iaitu majikan mungkin meragui keupayaan graduan OKU tanpa memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemahiran dan kebolehan mereka," katanya.

    Tambahnya, antara faktor lain ialah kurangnya kesedaran dan pemahaman terhadap keperluan dan potensi graduan OKU.

    "Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam peluang pekerjaan. "Diskriminasi boleh bersifat terbuka atau tersirat. Ia mungkin dilakukan secara langsung atau tidak langsung. Untuk menangani isu ini, langkah-langkah berikut boleh diambil antaranya peningkatan kesedaran dengan menjalankan kempen kesedaran untuk mengubah persepsi serta memberikan maklumat mengenai keupayaan dan potensi graduan OKU.

    "Menyediakan latihan kepada majikan dan pekerja dalam mengendalikan isu keupayaan berbeza dan memberikan sokongan untuk kepelbagaian dalam pekerjaan juga boleh dilakukan.

    "Penyediaan infrastruktur juga penting bagi memastikan bahawa tempat kerja dan proses pekerjaan adalah mudah diakses untuk individu dengan keupayaan berbeza," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 12:00 PM