SELAIN mampu menjana pendapatan, ia baik untuk kesihatan mental.
SELAIN mampu menjana pendapatan, ia baik untuk kesihatan mental.
Muhamaad Razis Ismail


Kesan jangka panjang pandemik Covid-19 sejak tahun lalu mengakibatkan ramai terjejas dari segi emosi dan kesihatan mental.

Apa tidaknya selain terpaksa 'berkurung' dalam tempoh yang lama, ramai yang tertekan apabila hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Biarpun kadar kes semakin berkurangan, namun kesan pandemik masih dapat dirasai sehingga kini terutama daripada segi kesihatan mental.

Dalam berdepan masalah ini terdapat beberapa kaedah terapi yang boleh dilakukan untuk meredakan tekanan antaranya melalui penghasilan produk kraftangan.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengusaha kraftangan, Farah Najiha Hassim yang terbabit dalam bidang itu secara profesional sejak 2005.

Baginya, selain mampu menjana pendapatan, penghasilan produk kraftangan adalah salah satu cara yang efektif untuk memberi ketenangan minda.

Dengan kemahiran yang dimiliki, beliau turut menyediakan kelas kraf secara dalam talian dan bersemuka untuk membantu mereka menghasilkan produk kraf serta menenangkan minda.

Farah Najiha berkata, penjagaan kesihatan mental amat penting pada zaman ini.

"Jika memanfaatkan hobi seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi ketenangan kepada minda. Sebagai penggiat seni dalam bidang kraftangan, saya yakin dengan bersulam dan mengait boleh membantu memberi ketenangan minda kepada anda," katanya ketika dihubungi.

AKTIF menjalankan kelas secara dalam talian.
AKTIF menjalankan kelas secara dalam talian.

Menurutnya, beliau sendiri mula mendalami kraf sebagai terapi minda sejak di sekolah sebagai saluran untuk meluahkan idea kreatif yang muncul dalam fikiran.

"Ketika remaja, saya sering mengalami masalah kebimbangan melampau jika ditimpa masalah. Alhamdulillah saya diberi ilham untuk 'melepaskan' kebimbangan itu dengan menghasilkan pelbagai produk kraf," katanya.

Mengulas lanjut, menerusi seni kraf kait dan sulam, ia sentiasa membuat fikiran beralih daripada masalah yang dihadapi kepada memberi fokus terhadap hasil kerja yang diusahakan.

"Melihat hasilnya, kita akan puas dan paling seronok jika kita dapat menjana pendapatan selain menghadiahkan hasil kraf kepada insan istimewa," katanya.

Jelasnya, beliau memulakan perniagaan secara sambilan sebelum bertekad untuk menjalankan sepenuh masa sehingga hari ini.

"Disebabkan minat yang mendalam dan mendapat tempahan secara komersial, saya bertekad untuk menubuhkan Najiha Design bagi menguruskan perniagaan kraf supaya lebih sistematik.

"Perkhidmatan yang disediakan termasuk jualan produk kraf yang, menerima tempahan produk kraf, mengendalikan kelas kraf secara bersemuka dan dalam talian serta penghasilan video tutorial secara percuma," katanya yang banyak menghasilkan produk beg, mainan, hiasan dan sebagainya.

KANAK-kanak antara pelajar kelas Farah Najiha.
KANAK-kanak antara pelajar kelas Farah Najiha.

Sehingga kini, beliau menganjurkan banyak kelas kraf kepada kanak-kanak, dewasa, persatuan kebajikan, ibu tunggal dan usahawan wanita yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan negara.

"Kebanyakkan pelajar yang menghadiri kelas kraf anjuran Najiha Design terdiri daripada wanita pelbagai latar belakang seperti pelajar, pegawai eksekutif, ibu dan warga emas.

"Lebih menarik adalah hampir semua mereka mempunyai perasaan yang sama iaitu dengan menghasilkan produk kraf membantu mereka menenangkan fikiran dan mengawal emosi ketika diserang perasaan bimbang yang melampau," katanya.

Beliau memilih perkongsian tutorial dan penceritaan sebagai pendekatan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Platform yang saya gunakan adalah media sosial, kelas dan acara yang saya dijemput. Saya yakin dengan promosi dan publisiti yang berkualiti dapat menarik perhatian ramai.

"Buktinya, setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga menembusi pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Jepun, Turki, negara Timur Tengah dan negara jiran yang lain," katanya.

PRODUK beg yang dihasilkan menerusi teknik sulam dan kait.
PRODUK beg yang dihasilkan menerusi teknik sulam dan kait.

Katanya, dalam industri kesenian dan kraftangan, aset utama adalah kemahiran.

"Maka dengan kemahiran ini ramai dalam kalangan penghasil produk kraf bertekad untuk menjadikan bidang kraf sebagai kerjaya tetap.

"Tidak dinafikan, ramai beranggapan bidang ini tidak mampu menjamin kestabilan kewangan dan jawatan, namun jika dijadikan sebagai sebuah perniagaan yang terancang dan berstrategi, ia dapat menjana pendapatan lumayan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Farah Najiha berhasrat untuk merealisasikan sebuah pusat khas yang beroperasi sebagai pusat penghasilan, penjualan dan pembelajaran sulam dan kait.

"Pusat ini bukan sahaja membuka peluang kepada penggiat produk kraf untuk menjana pendapatan, malah menjadi salah satu tarikan utama negara Malaysia kepada dunia antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 7:00 AM