NOORITA ceburi bidang jahitan kreatif selepas lihat kecekalan lelaki OKU usahakan kedai cenderamata di UK.
NOORITA ceburi bidang jahitan kreatif selepas lihat kecekalan lelaki OKU usahakan kedai cenderamata di UK.
Samadi Ahmad

rencanahmetro.com.my

Melihat kepada usianya tidak siapa menyangka wanita cekal yang pernah berdepan kehidupan sukar pada masa lalu kini aktif dan meneruskan usaha dalam menghasilkan pelbagai produk jahitan kreatif.

Tidak hairan kreativiti jari emasnya dalam menghasilkan produk seni sejak 2015, Noorita Mustaffa, 55, dari Kilang Lama, Kulim, Kedah pernah menerima pengiktirafan sebagai Usahawan Inovatif Pulau Pinang pada 2015 dan Johan Projek Komuniti Kedah anjuran Kraftangan Malaysia pada 2021.

Wanita ini juga pernah menerima penarafan tiga bintang daripada Kraftangan Malaysia selain dipilih antara 10 usahawan bagi menyertai program 'Key Opinion Leader' di bawah syarikat penerbangan Air Asia, namun program itu tidak dapat diteruskan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Pada asalnya, dia mengusahakan jahitan pakaian wanita selama empat tahun kemudian beralih kepada jahitan kreatif pembuatan beg tangan sejak 2021 dengan dibantu dua pekerja.

Ibu dua cahaya mata perempuan berusia 30 dan 28 dan lelaki berusia 19 tahun ini pada asalnya adalah pegawai bank tempatan dan pernah berkhidmat selama 23 tahun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Selain mengetengahkan produk beg tangan dari jenis 'kisslock' dengan bingkai besi dan kayu, dia juga menghasilkan dari jenis kait dan 'shall' dengan benang serta membuat pelbagai jenis 'soft toys' daripada kain.

Beg tangan yang dihasilkan diperbuat daripada beberapa jenis kain seperti batik kapas, poplin, jacquarb, songket, baldu dan tekad benang emas yang dipasarkan di kedai sendiri di bangunan Arked Mara Kulim bermula pada RM30 hingga RM300.

Bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ini berkata, selain di kedai dia turut memasarkan produknya di program pameran melalui kawan-kawan dan secara dalam talian serta pernah menerima tempahan dari Brunei, Singapura dan Doha.

"Seni kreatif ini perlu ada minat dan cinta yang mendalam supaya kita mudah untuk memahami serta menghasilkannya," katanya.

Berkongsi kisah hidup Noorita berkata, pada 2013 dia mengambil keputusan berhenti kerja semata-mata ingin menjaga ayah yang menghidap kanser manakala ibu pula diserang penyakit jantung.

Dia sempat menjaga ibu bapanya selama tiga bulan dan selepas itu kedua-duanya meninggal dunia selang 22 hari.

Katanya, sebelum itu pada 2010 beliau berdepan peristiwa sedih apabila suami tercinta, Aziz Long Mat meninggal dunia akibat kanser hati dan pernah berdepan kemurungan selama empat tahun.

MENUNJUKKAN sebahagian beg yang dihasilkan.
MENUNJUKKAN sebahagian beg yang dihasilkan.

NOORITA (kanan) bersama pelajar muda yang berminat menyertai kelas mengait benang yang dianjurkannya.
NOORITA (kanan) bersama pelajar muda yang berminat menyertai kelas mengait benang yang dianjurkannya.

"Ketika itu anak-anak masih kecil dan bersekolah. Saya banyak menghabiskan masa berkurung dalam rumah, namun anak-anak banyak memberi dorongan supaya saya bangkit semula demi masa depan keluarga.

"Setiap hari saya menziarahi pusara arwah suami disebabkan cinta dan kasih terhadapnya dan Alhamdulillah ketika itu saya masih boleh pergi ke tempat kerja, namun hanya bercakap perkara penting.

"Selepas ibu dan ayah meninggal dunia saya berdepan sekali lagi peristiwa sedih, namun kuatkan semangat bagi meneruskan masa depan.

"Selepas berhenti kerja saya hilang mata pencarian dan berbekalkan wang simpanan saya pergi bercuti ke Cotswold, United Kingdom bersama rakan untuk menenangkan fikiran bagi melupakan kisah sedih lampau," katanya.

Noorita berkata, ketika di sana dia singgah di sebuah kedai cenderamata yang diusahakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dan berpeluang menimba sedikit ilmu daripada kecekalan lelaki itu menjalankan perniagaan.

Dari situ tercetus idea mengusahakan bidang perniagaan dan selepas pulang ke tanah air dia mula menceburi bidang jahitan kreatif.

Katanya, dia mula belajar sedikit demi sedikit melalui laman sosial termasuk menghadiri kursus dianjurkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Kolej Komuniti sehingga peringkat diploma.

"Produk yang dihasilkan kini dijenamakan dengan Cots World ada persamaan dengan nama Cotswold daerah yang pernah saya lawati kerana ia banyak meninggalkan kenangan dan mencetuskan inspirasi dalam menceburi bidang perniagaan yang diusahakan hari ini," katanya.

Noorita berkata, pengalaman lalu banyak mengajarnya erti kehidupan masa kini sehingga beliau berjaya mengusahakan bidang perniagaan yang tidak pernah terlintas di fikiran untuk diceburi.

"Saya yakin mungkin pengorbanan berhenti kerja untuk menjaga ayah dan ibu ketika sakit dan tiada pekerjaan, Allah balas serta beri jalan mudah dengan apa yang saya kecapi sekarang.

"Ketika ini saya memberi tumpuan penuh kepada bidang perniagaan dan tidak perlu lagi memikirkan perkara lain kerana anak-anak juga sudah dewasa termasuk ada yang sudah berkeluarga dan saya juga sudah bertemu pilihan hati bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 7:00 AM