ANAK-anak yang agresif mempunyai tingkah laku seperti menjerit, memukul dan menggigit.
ANAK-anak yang agresif mempunyai tingkah laku seperti menjerit, memukul dan menggigit.
Muhamaad Razis Ismail


Sebagai ibu bapa, berdepan dengan anak-anak yang agresif sememangnya memeningkan dan memenatkan.

Apa tidaknya, anak-anak yang mempunyai tingkah laku seperti kuat menjerit, memukul dan menggigit ini sukar dikawal dan lebih membimbangkan mereka boleh melakukan perkara di luar batasan.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, sebenarnya anak-anak yang sering bertindak agresif antara cara mereka memberitahu apa yang dimahukan.

Katanya, situasi ini berlaku berikutan dipengaruhi perkembangan dan persekitaran kanak-kanak terbabit sejak kecil.

"Kebiasaannya kanak-kanak ini menjadi agresif kerana mereka tidak boleh menyampaikan apa yang diinginkan. Masalah ini berlaku kerana kanak-kanak ini tidak diajar bagaimana berkomunikasi dengan baik.

"Oleh itu, kanak-kanak yang agresif ini akan menunjukkan apa yang dirasai melalui perbuatan dan tingkah laku seperti menumbuk, menendang, membaling barang dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, selain itu, kanak-kanak boleh menjadi agresif dipelajari daripada perbuatan yang ditunjukkan ibu bapa dan adik-beradik di rumah.

"Apabila kita sebagai ibu bapa menunjukkan perbuatan agresif dan kasar, kanak-kanak akan meniru tingkah laku sama untuk meluahkan apa yang dirasa.

"Kadangkala, suami isteri yang tidak berkomunikasi sesama sendiri secara terbuka boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk menjadi seorang yang agresif.

"Pada masa sama, kanak-kanak agresif ini belajar bagaimana meluahkan perasaannya menerusi perbuatan melalui gajet yang didedahkan kepadanya sejak kecil," katanya.

PENGGUNAAN gajet secara berlebihan boleh menjadikan anak menjadi agresif.
PENGGUNAAN gajet secara berlebihan boleh menjadikan anak menjadi agresif.

Dr Noor Aishah berkata, secara umumnya tiada tahap usia yang spesifik kanak-kanak ini boleh menunjukkan tingkah laku agresif kerana ia bergantung kepada perkembangan dan pengalaman.

"Kanak-kanak usia dua tahun sudah boleh menunjukkan tingkah laku agresif terhadap ibu bapa dan adik-beradik kerana tidak boleh mengawal emosi selain tidak dapat berkomunikasi dengan baik," katanya.

Tambahnya, anak-kanak yang dibiarkan terus menjadi agresif boleh memberi kesan jangka panjang kepada dirinya.

"Apabila meningkat remaja dan dewasa, seseorang yang agresif sukar berubah melainkan dia berada di persekitaran yang positif dalam satu tempoh yang lama.

"Kebiasaannya, individu yang agresif ini sukar didekati dan menjadi terasing kerana tingkah laku yang kasar dan agresif," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menunjukkan contoh yang baik bagi mencegah anak-anak menjadi agresif.

IBU bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak.
IBU bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak.

"Biarpun sedang berdepan masalah, mereka perlu sentiasa menjadi contoh baik kerana anak-anak banyak belajar melalui percakapan dan tingkah laku yang ditunjukkan ibu bapa.

"Anak-anak perlu diajar mengenai emosi dan tingkah laku positif sejak kecil. Pada masa sama, ibu bapa perlu mengamalkan komunikasi secara efektif dan bercakap secara terbuka dengan anak-anak," katanya.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan secara aktif menyertai kelas bimbingan emosi kanak-kanak.

"Menjadi ibu atau bapa yang baik memerlukan kesabaran, kefahaman dan kemahiran untuk memenuhi keperluan asas anak-anak.

"Dengan pengetahuan keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang baik, seseorang itu akan dapat membina hubungan yang kuat dengan anak-anak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:01 AM