TINGKAHLAKU kanak-kanak seperti pemandangan mata manusia pada struktur bongkah aisberg. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim
TINGKAHLAKU kanak-kanak seperti pemandangan mata manusia pada struktur bongkah aisberg. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim
Nurul Husna Mahmud


SEPERTI golongan dewasa, kanak-kanak tidak terkecuali mengalami tekanan sehingga mempengaruhi perubahan tingkah laku.

Lebih ketara perubahan tingkah laku itu berlaku apabila mereka menginjak usia persekolahan ketika sudah mula bersosial dengan rakan sebaya.

Secara semula jadi perubahan sikap anak-anak adalah sesuatu yang normal dan menandakan mereka ini sedang survival dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga 15 April nanti mempunyai implikasi tertentu kepada tingkah laku kanak-kanak.

Pegawai Psikologi Kaunseling Kementerian Kesihatan Perlis Maznah Ibrahim menggambarkan tingkah laku anak-anak tidak ubah seperti aisberg.

“Bagi ibu bapa selama ini yang banyak masa di luar, apabila perlu ‘berkurung’ dengan anak-anak dalam tempoh PKP mereka kurang kawalan terhadap situasi di rumah.

“Mereka berasa anak-anak kuat meragam, meradang, menangis atau bergaduh sesama sendiri dan terus membuat kesimpulan ia mungkin implikasi sampingan daripada PKP.

MAZNAH aktif dalam program berbentuk motivasi untuk kanak-kanak sebelum PKP. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim
MAZNAH aktif dalam program berbentuk motivasi untuk kanak-kanak sebelum PKP. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim

“Sedangkan tingkah laku ini boleh dipengaruhi pelbagai faktor dan bukannya hanya memfokuskan pada ‘permukaan’ atau faktor boleh dilihat pada mata semata-mata.

“Seperti teori ‘Aisberg Tingkah Laku Kanak-kanak’ dipengaruhi banyak elemen yang ‘tersembunyi.’ Seperti bongkah glasier itu pada permukaan hanya nampak sedikit sedangkan permukaan di bawahnya lebih besar.

“Selaku ibu bapa, perlu perhati, teliti, sertai dan komunikasi dalam mendorong ke arah tingkah laku baik bagi anak-anak,” katanya.

Tambah Maznah mengenai faktor seperti PKP ini, beliau tidak menolak anak-anak akan terkesan disebabkan tiga faktor iaitu perubahan rutin, had kebebasan dan kehadiran ibu bapa dalam tempoh 24 jam.

“Perubahan rutin anak-anak lebih ketara iaitu daripada sebelum ini pergi sekolah dan bertemu rakan mereka, kini hanya boleh bersama ahli keluarga sahaja.

“Kedua had kebebasan, boleh keluar dan bermain bersama kawan tetapi ketika pandemik Covid-19 perlu berada di rumah.

“Ibu bapa pula lebih sibuk dengan kerja di rumah berbanding sepatutnya bermain dengan anak ketika musim cuti dan berkurung. Keadaan ini membuat anak sedikit ‘tegang’ kerana ada keperluan tertentu tidak dipenuhi,” katanya.

PERLU pemilihan aktiviti yang sesuai. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim
PERLU pemilihan aktiviti yang sesuai. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim

Selain itu, Maznah mengingatkan anak-anak yang sedang aktif membesar memerlukan sekurang-kurangnya bebas di luar tiga kali seminggu untuk stabil dan sihat.

“Mungkin cabaran untuk anak-anak sudah biasa keluar setiap petang bermain seperti dua anak saya sendiri, berkurung bagi mematuhi PKP adalah keadaan sangat mencabar.

“Jadi untuk tangani isu berkenaan, saya cuba wujudkan ruang selesa bagi anak-anak untuk bermain atau melakukan aktiviti di rumah.

“Selain itu tidak lupa sediakan aktiviti yang sesuai dengan peringkat umur agar tidak berasa bosan selain disertai seisi keluarga termasuk ibu bapa,” katanya.

Menyentuh pendekatan dilakukan, kata Maznah terapi seperti teknik roda coping skill dilakukan terhadap anak dapat membantu menyelami aspek psikologi terutama penerimaan anak terhadap situasi berkenaan.

Ada juga teknik muhasabah atau refleks diri diterapkan dalam mood penceritaan untuk menanam rasa bersyukur dalam diri anak-anak selain membantu mereka memahami situasi.

RODA ‘Coping Skill’ untuk mengetahui tahap penerimaan anak-anak. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim
RODA ‘Coping Skill’ untuk mengetahui tahap penerimaan anak-anak. FOTO Ihsan Maznah Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:01 AM