IBU bapa perlu jadi contoh kepada anak-anak supaya mereka tidak terlalu asyik dengan gajet.
IBU bapa perlu jadi contoh kepada anak-anak supaya mereka tidak terlalu asyik dengan gajet.
Hafiz Ithnin

KANAK-KANAK tidak fokus dalam pembelajaran kerana asyik dengan gajet bukan sesuatu isu yang baharu. Malah, ada juga ibu bapa 'mendidik' anak mereka untuk berkelakuan baik dengan menyogokkan gajet.

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata, ibu bapa seharusnya mempunyai ilmu untuk membantu perkembangan anak dari segi kognitif dan tingkah laku dengan cara yang boleh memberi kesan positif kepada mereka untuk jangka panjang.

Jelasnya, kekerapan menggunakan gajet akan menjejaskan kefungsian otak kanak-kanak yang akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan kognitif mereka.

"Kanak-kanak akan mengalami masalah untuk menumpukan perhatian dan gangguan dalam pembelajaran. Selain itu, ketagihan terhadap gajet juga menjadikan kanak-kanak kurang berinteraksi dengan ibu bapa dan adik-beradik lain.

KANAK-kanak ketagihan gajet boleh memberi kesan negatif kepada mereka.
KANAK-kanak ketagihan gajet boleh memberi kesan negatif kepada mereka.

"Pertuturan kanak-kanak menjadi lemah jika mereka kurang berinteraksi dengan ahli keluarga sendiri. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan perkembangan sosial kanak-kanak kerana mereka tidak pandai untuk bergaul dan berinteraksi dengan orang di sekeliling," katanya.

Tambahnya, kanak-kanak yang mengalami ketagihan gajet terdedah kepada masalah penglihatan seperti rabun silau kerana menggunakan gajet dalam tempoh lama.

"Mereka juga berisiko untuk menjadi kanak-kanak yang obesiti memandangkan mereka kurang bergerak dan badan mereka tidak berpeluh," katanya.

Dr Nellie berkata, untuk mengelakkan kanak-kanak daripada ketagihan gajet, ibu bapa perlu menjadi suri teladan (role model) kerana kanak-kanak lebih cenderung untuk ikut atau meniru tingkah laku ibu bapa.

"Jika ibu bapa lebih banyak menghabiskan masa menggunakan gajet, mereka juga akan lakukan perkara sama.

"Justeru, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan contoh yang baik di hadapan mereka," katanya.

Jelasnya, ibu bapa boleh melakukan sebarang aktiviti yang lebih memberi manfaat seperti membaca buku, berkebun atau bersukan.

"Jika tidak mampu melakukannya, ibu bapa perlu cuba mengehadkan penggunaan telefon terutama apabila berada bersama anak-anak," katanya.

Katanya, ibu bapa bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mengamalkan gaya hidup dan tabiat yang sihat.

JADIKAN waktu makan sebagai masa bebas gajet sekeluarga.
JADIKAN waktu makan sebagai masa bebas gajet sekeluarga.

"Oleh itu, ibu bapa perlu menetapkan peraturan di rumah untuk mengehadkan tabiat yang kurang sihat seperti menggunakan gajet dalam tempoh lama.

"Ibu bapa juga perlu menerangkan sebab mengapa mereka menetapkan peraturan itu supaya anak faham dan tidak memberontak," katanya.

Jelasnya lagi, had masa yang sesuai untuk kanak-kanak yang berumur dua hingga lima tahun menggunakan gajet hanya satu jam sehari.

Selain itu, katanya lagi, bagi mengelakkan anak ketagih untuk menggunakan gajet, cuba luangkan masa bersama anak dengan melakukan aktiviti yang menarik seperti bermain 'board games' atau bersukan.

"Aktiviti permainan yang memerlukan kerjasama boleh membantu kanak-kanak untuk lebih gemar bersosial dan mengeratkan hubungan dengan orang lain terutama bersama ahli keluarga.

"Selain itu, ia juga boleh menjadikan si kecil anda lebih aktif kerana aktiviti seperti bersukan menjadikan tubuh lebih sihat," katanya.

TAWARKAN anak-anak permainan yang menyeronokkan dan mampu mengeluarkan peluh.
TAWARKAN anak-anak permainan yang menyeronokkan dan mampu mengeluarkan peluh.

Katanya, ibu bapa perlu memuji anak setiap kali mereka berjaya mengawal diri untuk tidak bermain dengan gajet.

"Menjadi lumrah manusia terutama kanak-kanak mereka suka dipuji sebagai tanda dihargai kerana mampu melakukan sesuatu perkara.

"Sebagai ibu bapa, kita jangan lokek untuk memuji sebarang kemampuan anak-anak dan memberi semangat termasuk apabila mereka berjaya tidak menjadikan gajet sebagai satu perkara yang perlu dilakukan setiap masa," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu menetapkan kawasan 'bebas gajet' dalam rumah seperti di ruang makan, ruang solat dan ruang belajar.

"Setiap ahli keluarga tidak dibenarkan untuk menggunakan gajet di kawasan itu. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengambil gajet anak-anak sebelum mereka tidur di bilik masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:00 AM