KEINGINAN untuk mendewasakan anak terlalu cepat, boleh memberi kesan negatif pada perkembangan mereka.
KEINGINAN untuk mendewasakan anak terlalu cepat, boleh memberi kesan negatif pada perkembangan mereka.
MuhamaadRazis Ismail


MENDIDIK anak adalah cabaran yang besar dalam kehidupan ibu bapa kerana menjadi lumrah inginkan yang terbaik untuk anak mereka.

Bagaimanapun tanpa disedari, kadang kala keinginan ibu bapa untuk mendewasakan anak terlalu cepat, terutama anak sulung, boleh memberi kesan negatif pada perkembangan mereka.

Terdapat pelbagai pendekatan dalam proses ini, dan satu isu yang sering timbul adalah keinginan sesetengah ibu bapa untuk terlalu cepat mendewasakan anak, terutamanya anak sulung.

Ahli psikologi kanak-kanak dan penulis, Dr David Elkind, mengemukakan terma hurried child syndrome' yang merujuk kepada satu set tingkah laku berkaitan tekanan yang muncul apabila ibu bapa mengharapkan anak-anak terutamanya anak sulung, untuk berprestasi di luar kemampuan mental, sosial, atau emosi mereka.

Menurut pensyarah Jabatan Pendidikan dan Psikologi, Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan (FPPK), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri, dalam usaha mencapai kejayaan akademik dan pembentukan karakter yang seimbang, ibu bapa sering kali mendesak anak mereka untuk dewasa terlalu awal.

Tanpa disedari kata Mohd Shawani, ia boleh mendatangkan impak yang tidak baik kepada tahap perkembangan si anak.

Katanya, sindrom tergesa-gesa dalam proses perkembangan serta cepat dewasa itu didorong oleh keinginan agar anak-anak berjaya, dengan tidak disedari telah meletakkan tekanan yang tidak wajar ke atas mereka.

IBU bapa boleh membantu anak-anak untuk berkembang secara seimbang tanpa merasa terlalu tertekan.
IBU bapa boleh membantu anak-anak untuk berkembang secara seimbang tanpa merasa terlalu tertekan.

"Fenomena ini timbul akibat harapan yang tidak realistik dan usaha gigih untuk mempercepatkan proses kematangan kanak-kanak.

"Sindrom menggesa anak menjadi cepat dewasa ini sering kali melahirkan pelbagai tanda yang mungkin tidak terlihat secara langsung," katanya.

Berikut adalah beberapa tingkah laku dan amalan biasa yang menyumbang kepada sindrom itu:

1.Tekanan Akademik Awal

Sebagai contoh ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka dalam program kelas-kelas tambahan untuk memastikan anak-anak boleh membaca sebelum mereka memulakan persekolahan. Walaupun pendidikan awal adalah baik, tekanan akademik berlebihan boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan pada kanak-kanak. Ia juga membunuh minat kanak-kanak untuk terus meneroka dan berkembang sesuai dengan tahap kesediaan mereka.

2.Pendedahan kepada Isu-Isu Orang Dewasa

Berkongsi masalah perkahwinan atau kewangan dengan anak-anak boleh dengan tidak disedari memberatkan mereka dengan kebimbangan, di mana kanak-kanak tidak dilengkapi dengan keupayaan untuk mengendalikannya secara emosi. Kanak-kanak seharusnya dilindungi dari isu-isu dewasa untuk mengekalkan kesejahteraan emosi mereka.

BERI kebebasan kepada anak-anak untuk meneroka dunia di sekeliling mereka.
BERI kebebasan kepada anak-anak untuk meneroka dunia di sekeliling mereka.

3.Penekanan Untuk Sentiasa Menang

Mendorong anak-anak untuk sentiasa menang dan berjaya boleh merugikan. Ia memupuk mentaliti "menang dengan apa cara sekalipun" dan gagal mengajar kanak-kanak tentang nilai ketabahan dan penerimaan dalam menghadapi kegagalan.

4.Penilaian Tahap Berdasarkan Keputusan Peperiksaan

Menitikberatkan keputusan peperiksaan dan menggesa bahawa pilihan di sekolah akan menentukan seluruh hidup kanak-kanak boleh menyebabkan tekanan berat terhadap minat serta keupayaan berbeza setiap kanak-kanak yang perlu diraikan dan dinilai secara holistik.

5.Perlu Sentiasa Mengawal Perilaku

Mengharapkan kanak-kanak untuk sentiasa menunjukkan perilaku yang berdisiplin, teratur, dan peka sosial boleh dikatakan sebagai penetapan piawaian yang tidak realistik. Kanak-kanak masih dalam proses pembentukan emosi serta tahap perkembangan mereka, dan mengharapkan mereka sentiasa berperilaku penuh kawalan dan matang adalah tidak adil.

Jelasnya terdapat banyak impak dan kesan tidak baik kepada tahap perkembangan kanak-kanak yang merangkumi pelbagai aspek. Kanak-kanak yang dikenakan tekanan berlebihan pada usia muda berkemungkinan mengalami

IBU bapa harus mengiktiraf bahawa pengalaman hidup lebih berharga daripada pencapaian semata-mata.
IBU bapa harus mengiktiraf bahawa pengalaman hidup lebih berharga daripada pencapaian semata-mata.

1.Tekanan dan Kebimbangan

Tekanan berterusan untuk berjaya dalam bidang akademik dan pelbagai aktiviti kokurikulum boleh membawa kepada peningkatan tekanan dan kebimbangan dalam kalangan kanak-kanak.

2.Hilang Minat

Tekanan untuk berjaya dan menang dalam apa jua keadaan boleh membawa kepada hilangnya minat dalam pembelajaran dan aktiviti yang ingin dilakukan.

3.Terbeban dan kurang keyakinan diri

Pendedahan kepada isu dewasa dan harapan yang tidak realistik boleh menegangkan hubungan ibu bapa-dan-anak, menyebabkan perasaan kurang keyakinan dalam kalangan kanak-kanak.

4.Zaman kanak-kanak dirampas

Mempercepatkan proses pematangan boleh merampas kanak-kanak daripada zaman kanak-kanak mereka selain menghalang mereka daripada menikmati nikmat proses sebenar menjadi kanak-kanak.

5.Masalah Kesihatan Mental

Dalam kes yang teruk, 'hurried child syndrome' boleh menyumbang kepada perkembangan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan rasa rendah diri yang tinggi terhadap kanak-kanak.

Menurutnya Elemen "Discover, Explore, Experiment, Experience, Meaningful" (D.E.E.E.M) adalah panduan yang berguna bagi ibu bapa yang ingin memastikan anak mereka membesar dengan seimbang tanpa terlalu terburu-buru dalam mendorong mereka untuk menjadi dewasa dengan cepat:

1.Discover (Menemui)

Anak-anak perlu ruang untuk menemui minat dan bakat mereka sendiri. Ibu bapa perlu memberikan peluang untuk anak-anak melakukan pelbagai aktiviti dan minat tanpa menekan mereka dengan pilihan orang dewasa.

2.Explore (Meneroka)

Ibu bapa harus memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk meneroka dunia di sekeliling mereka. Ini termasuk memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan budaya, sains, seni, dan alam semula jadi. Ia membantu mereka memahami dunia dengan lebih mendalam.

3.Experiment (Bereksperimentasi /Mencuba)

Melakukan kesalahan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Anak-anak perlu diberi peluang untuk mencuba perkara-perkara baru tanpa rasa takut gagal. Ini membantu mereka memupuk sikap berani dalam pembe

lajaran

4.Experience (Pengalaman)

Ibu bapa harus mengiktiraf bahawa pengalaman hidup lebih berharga daripada pencapaian semata-mata. Meningkatkan hubungan keluarga melalui aktiviti bersama dan mencipta kenangan zaman kanak-kanak yang singkat dan berharga. Kanak-kanak akan berkembang dengan merasai pengalaman yang baik dan seimbang mengikut tahapnya serta menjadi ingatan baik buat mereka dalam proses pembentukan watak dan jati diri.

5.Meaningful (Bererti)

Akhirnya, berdasarkan proses seperti dinyatakan sebelum ini, beerti adalah proses terakhir yang akan memberi makna kepada kanak-kanak dalam proses perkembangan mereka.

Mengulas lanjut dengan pendekatan D.E.E.E.M, ibu bapa boleh membantu anak-anak terutamanya anak sulung untuk tumbuh dan berkembang secara seimbang tanpa merasa terlalu tertekan untuk menjadi dewasa dengan cepat.

"Ibu bapa dapat membimbing anak-anak melalui proses pembinaan jati diri yang penting, sambil memberikan mereka kebebasan dan sokongan yang diperlukan untuk berkembang menjadi individu yang berdaya tahan dan berdaya saing dalam dunia yang kompleks ini," katanya.

Mohd Shawani berkata, mendidik anak sulung, atau anak-anak pada umumnya, adalah cabaran yang kompleks.

"Terlalu cepat mendewasakan anak-anak boleh mengakibatkan tekanan emosi dan kehilangan ruang serta peluang untuk mereka melalui usia kanak-kanak yang singkat dan berharga.

"Oleh itu, adalah penting untuk mengambil pendekatan yang seimbang, memberi mereka kebebasan untuk meneroka, sambil mengajar mereka nilai tanggungjawab. Ini membantu mencipta persekitaran yang sihat dan membolehkan anak-anak berkembang secara positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 7:01 AM