NIK Mohd Hafiz (kanan) berbangga berpeluang menampilkan rekaan busana tradisi yang dihasilkan bersama temannya.
NIK Mohd Hafiz (kanan) berbangga berpeluang menampilkan rekaan busana tradisi yang dihasilkan bersama temannya.
Nurul Husna Mahmud


SUDAH menjadi kelaziman dalam segmen pertandingan ratu cantik di pentas antarabangsa terutama Miss International, ada kategori khas yang memerlukan setiap wakil yang mewakili negara menggayakan busana melambangkan identiti dan budaya negara masing-masing.

Pertandingan Miss International yang bakal berlangsung Disember depan menjadi pentas buat Giselle Tay yang juga dinobatkan sebagai Miss International Malaysia 2022 selain dijangka menampilkan busana bermotifkan identiti dan budaya tempatan.

Menariknya meskipun Giselle berbangsa Cina, beliau dijangka mengenakan busana tradisi bermotifkan srikandi dan puteri yang banyak diceritakan dalam kisah legenda.

"Saya ingin memperkenalkan budaya Malaysia di persada antarabangsa. Saya percaya keunikan dan kepelbagaian bangsa serta budaya kita mampu menarik minat seluruh dunia untuk datang ke Malaysia.

"Setiap elemen unik dapat dilihat serta-merta ialah menerusi pakaian yang ditampilkan di pentas 'ratu.' Sesuai dengan konsep pertandingan Miss International, saya akan berusaha untuk membawa elemen budaya Malaysia dalam setiap penampilan nanti.

"Meskipun berbangsa Cina, saya sangat berbangga apabila berpeluang memperagakan kepelbagaian busana tradisi di Malaysia seperti Melayu, India, Bumiputra Sabah dan Sarawak.

UNIK kombinasi aksesori iaitu payung yang sendondon dengan busana.
UNIK kombinasi aksesori iaitu payung yang sendondon dengan busana.

"Sememangnya ia platform yang terbaik untuk diri saya mengenali dan mendalami sosiobudaya negara," katanya.

Mengenai pencapaian iaitu mewakili Malaysia untuk tahun ini sebagai Miss International, Giselle berkata, 'perjalanan' dirasakan lebih matang apabila membuat persiapan lebih rapi.

"Saya memulakan perjalanan pertandingan pertama sebagai ratu cantik pada 2015. Walaupun tidak berjaya mendapat sebarang gelaran, tidak pula rasa serik.

"Sebaliknya selepas berehat panjang dan belajar daripada semua ratu yang berpengalaman, saya memutuskan untuk kembali," katanya.

Sementara itu, pereka busana terbabit, Nik Mohd Hafiz Muhammad Afandi berkata, dia dan rakannya, Mohd Noor Zikry Abdul Muin memilih mengetengahkan konsep srikandi dan puteri legenda bagi busana untuk wakil negara Miss International di Tokyo pada Disember depan.

"Kami menghasilkan konsep bertemakan legenda masyarakat Melayu seperti busana Puteri Perak diinspirasikan daripada Puteri Limau Purut, busana Mahsuri, busana kerabat diraja Melayu dan bangsawan.

PERSALINAN Giselle tampak manis yang diinspirasikan berdasarkan legenda Mahsuri.
PERSALINAN Giselle tampak manis yang diinspirasikan berdasarkan legenda Mahsuri.

"Meskipun kisah atau kewujudan 'figura' legenda ini masih menjadi persoalan, itu tidak menghalang kami menjalankan kajian dan rujukan berkaitan konsep terbabit.

"Dari proses idea rekaan sehingga busana siap, kami mengambil masa seminggu untuk menyiapkannya," katanya.

Tidak hanya itu, pemilihan material juga menggunakan fabrik klasik seperti songket, pua kumbu, cindai, batik, kain tenun dan banyak lagi.

"Apabila rekaan busana diketengahkan berkaitan ikon wanita legenda yang memiliki reputasi cukup kuat dalam kalangan masyarakat, pemilihan material perlu setara.

"Sebagai pereka, kami lebih suka ketengahkan fabrik tradisional Malaysia seperti songket, kain tenun, cindai, pua kumbu dan lain-lain mengikut kesesuaian.

"Motif corak juga menggunakan motif banyak dilihat pada pakaian tradisi Melayu atau pribumi untuk tampak lebih autentik," katanya.

Dalam pada itu, pereka berkenaan turut menzahirkan rasa bangga apabila diberi peluang untuk menghasilkan rekaan busana tradisi di pentas antarabangsa.

"Tidak semua pereka mempunyai peluang untuk dibawa ke pentas antarabangsa. Kami akan berusaha mengetengahkan rekaan bercirikan Malaysia untuk tatapan masyarakat dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 7:00 AM