RASHMITA (tengah) dan Saranya (kiri) bersama tiga pemenang lain.
RASHMITA (tengah) dan Saranya (kiri) bersama tiga pemenang lain.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SELEPAS enam bulan menempuh perjalanan yang mencabar untuk pertandingan pencarian Puteri Malaysia 2023, penantian dan debaran 21 peserta pertandingan itu berakhir apabila lima pemenang diumumkan. Selain dipakaikan mahkota utama pada kemuncak akhir pencariannya.

Mereka ialah R Rashmita Nalini, 24, dimahkotakan sebagai Puteri Mutiara 2023, Haneesha Hanee Sahlan, 23, (Puteri Zamrud 2023), Marsha Nazri, 23, (Puteri Delima 2023), Saranya Naidu,22, (Puteri Nilam 2023) dan Carolyn Wee,30, (Puteri Intan 2023).

Rashmita berkata, dia gembira dan kehilangan kata-kata apabila dimahkotakan Puteri Mutiara kerana menyedari persaingan sengit diberikan peserta lain.

Wanita tinggi lampai berketinggian 181 sentimeter (sm) ini, mendedikasikan kemenangan itu kepada ibu bapanya kerana menjadi penyokong kuatnya menyertai pertandingan berkenaan.

"Saya sedar tanggungjawab berat perlu dipikul selepas dimahkotakan Puteri Mutiara ini. Namun, akan melakukan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia.

"Pada masa sama, berusaha bersungguh-sungguh memenuhi kriteria ke pertandingan peringkat antarabangsa," katanya.

Dia yang memegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Global dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) memberitahu, pada masa ini dia bekerja sebagai pereka pengajaran dan peragawati sambilan serta banyak berada pentas peragaan.

"Kemenangan ini boleh menjadi pembuka langkah untuk terokai bidang peragaan lebih jauh," katanya.

Bagi Saranya pula, diri dan kehidupannya berubah ke arah lebih baik selepas menyertai Ratu Wanita Malaya (RWM).

Katanya, perubahan besar ialah tahap keyakinan diri meningkat, dapat menghapuskan pemikiran negatif dan meragui kebolehan diri.

SEPULUH peserta akhir pencarian Gadis Malaysia 2023.
SEPULUH peserta akhir pencarian Gadis Malaysia 2023.

"Untuk perancangan akan datang, saya berharap boleh menganjurkan banyak advokasi menentang penderaan, gangguan dan keganasan seksual.

"Masalah ini semakin meningkat dan perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana memberikan kesan trauma yang besar kepada mangsa hingga menjejaskan kehidupan harian," katanya.

Saranya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kognitif Neurosains dari Universiti Nottingham Malaysia percaya, ada dua cara untuk menangani isu ini. Pertama ialah menyebarkan kesedaran mengenai sejauh mana seriusnya masalah berkenaan.

"Cara kedua adalah memberi sokongan kepada mangsa dan menjadi 'suara' mereka melalui pelbagai teknik penyembuhan ketika menempuh tempoh dalam kehidupan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Nasional Bersama RWM Sheera Azmi berkata, objektif utama pertandingan itu adalah mencari Ikon Malaysia dalam kalangan generasi muda bagi memartabatkan budaya, kesenian dan warisan Malaysia di peringkat nasional serta antarabangsa.

KEMUNCAK Akhir Pencarian Gadis Malaysia di Matic, baru-baru ini.
KEMUNCAK Akhir Pencarian Gadis Malaysia di Matic, baru-baru ini.

Menurutnya, pertandingan kali kedua diadakan tahun ini menerima penyertaan tinggi melebihi 100 pendaftaran.

"Selepas saringan hanya 26 peserta terpilih, tetapi lima peserta menarik diri atas komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

"Pemenang akan menjadi duta kecil Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi pertandingan yang bakal mereka sertai kelak," katanya.

Jelasnya, pada malam kemuncak akhir, peserta dinilai melalui penggayaan busana tajaan penaja, cara berjalan pentas peragaan dan pengucapan awam.

"Saya berpuas hati dengan komitmen, kesungguhan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan peserta sepanjang pertandingan.

"Kemenangan ini menjadi titik tolak kepada peserta untuk lebih berjaya pada masa hadapan," katanya.

Untuk rekod, kemuncak akhir pencarian Puteri Malaysia 2023 adalah anjuran Ratu Wanita Malaya Resources (RWM) yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 6:30 AM