ASMANIYAH menjahit busana kucing sejak tahun lalu.
ASMANIYAH menjahit busana kucing sejak tahun lalu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETIAP kali Ogos, laungan keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra pasti akan kembali diingati 'anak merdeka.'

Ini kerana laungan itu adalah isyarat rasmi Malaysia sudah merdeka dan bebas daripada cengkaman penjajah. Sekali gus menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya.

Walaupun Hari Kebangsaan sudah mencecah 66 tahun, tetapi semangat untuk menyambut hari bersejarah itu perlu terus disemarakkan kepada setiap rakyat.

Apatah lagi tarikh keramat itu sentiasa malar segar dan diingati serta menyuntik semangat patriotik tinggi dalam diri mereka.

Sekiranya tiada sambutan ini, tidak mustahil tarikh penting itu tidak dipedulikan dan semakin dilupakan, seterusnya peristiwa berkenaan lenyap begitu sahaja.

Oleh itu, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyambut ulang tahun peristiwa bersejarah ini sebagai manifestasi menghayati erti kemerdekaan.

Secara tidak langsung bagi mengenang kembali semangat perjuangan dan pengorbanan tokoh terdahulu mendapatkan kebebasan daripada penjajah.

Lantas, ada yang memilih berpakaian berwarna-warni mengikut rona Jalur Gemilang untuk menyertai acara perarakan anjuran pelbagai agensi dan sekolah.

MENGAMBIL ukuran badan kucing.
MENGAMBIL ukuran badan kucing.

Namun, sebaliknya ada tukang jahit menggunakan pendekatan berbeza yang kreatif iaitu menjahit busana merdeka kucing untuk diperagakan kepada haiwan berkenaan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan.

Usaha ini dilakukan dua beradik iaitu Asmaniyah Razak, 48, dan kakaknya, Asrina Abd Razak, 57, sejak tahun lalu.

Menurut Asmaniyah, semua ini bermula selepas tertarik dengan video di media sosial, melihat pemilik kucing di luar negara suka menggayakan si bulus dengan pelbagai fesyen pakaian yang cantik untuk haiwan berkenaan.

"Sebelum ini saya membeli pakaian kucing daripada penjual lain dari luar negara, tetapi saiz pakaian ini kurang bersesuaian dengan badan si bulus.

ANTARA cabaran menjahit busana ialah diganggu kucing untuk bermanja.
ANTARA cabaran menjahit busana ialah diganggu kucing untuk bermanja.

"Tetapi, bagi busana tradisional dan busana kemerdekaan kucing, pakaian ini sangat terhad serta sukar diperoleh.

"Disebabkan itu, kami mengambil pendekatan menjahitnya dan ini pencetus idea untuk menjadi tukang jahit pakaian si bulus," katanya.

Asmaniyah yang menetap di Cyberjaya berkata, peringkat awalnya bermula dengan sekadar suka-suka menjahit busana merdeka untuk lima kucing kesayangannya.

"Tetapi, ramai peminat kucing yang tertarik dengan hasil jahitan kami, lalu meminta untuk menerima tempahan mereka.

"Untuk menerima tempahan itu bukan sesuatu yang sukar kerana kami mempunyai kemahiran menjahit yang diwarisi daripada nenek.

KUCING menggayakan baju melayu dijahit Asmaniyah.
KUCING menggayakan baju melayu dijahit Asmaniyah.

"Sebelum menjahit busana merdeka kucing, kami adalah tukang jahit, tetapi kakak paling aktif menerima tempahan pelbagai pakaian pelanggan," katanya.

Katanya, dia menghasilkan busana merdeka kucing menggunakan kain mengikut rona Jalur Gemilang supaya hailnya kelihatan sama seperti Jalur Gemilang.

"Antara fesyen busana merdeka kucing yang dihasilkan ialah baju Melayu dan kemeja untuk kucing jantan. Manakala kucing betina adalah fesyen baju kurung dan kebaya.

"Tahun lalu, kami menerima tempahan kira-kira 50 helai busana merdeka kucing yang dijual dengan harga RM50 hingga RM60 di bawah jenama Meowbulouz," katanya.

Jelasnya, proses menghasikan busana merdeka atau pakaian kucing lain bukan mudah kerana ada bahagian yang rumit iaitu jahitan keliling ketiak disebabkan bahagian itu agak kecil.

"Namun, kepayahan ini terbayar apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil jahitan dan kucing kesayangan mereka dapat menggayakan busana seperti dikehendaki.

ANTARA busana merdeka kucing.
ANTARA busana merdeka kucing.

"Sehari kami boleh menyiapkan dua helai busana tempahan pelanggan dari sekitar Lembah Klang, Johor dan Kedah.

"Kami berharap pakaian kucing yang dihasilkan ini dapat menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Asmaniyah berkata, ketika berusia tujuh tahun, dia sangat menyukai mesin jahit dan mesin ini sudah menjadi seperti barangan permainannya.

"Setiap kali ada masa terluang, saya akan 'bermain' mesin jahit untuk menjahit kain perca dan menjadikannya selimut serta sarung bantal.

"Apabila datang ke rumah orang, pasti akan tertarik dengan mesin jahit mereka dan mencuba menjahit kain perca.

"Ibu tidak pernah melarang dan berpesan supaya berhati-hati setiap kali 'bermain' mesin jahit kerana boleh mendatangkan bahaya jika cuai.

"Alhamdulillah, kemahiran ini saya gunakan untuk menjahit baju dan busana kucing sebagai pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:20 AM