Hafiz Ithnin

"Roy...Roy hati kau keras," itu antara dialog yang mungkin melekat di kepala anda yang pernah menonton Filem Gila-gila Remaja pada 1985.

Dialog itu juga yang bermain di fikiran penulis apabila melihat sekumpulan lelaki ini yang penuh yakin menggayakan busana era 70-an bukan sekadar di acara tertentu, malah menjadi gaya harian mereka.

Aura mereka menyerlah sebaik sahaja memasuki Studio NSTP bagi merakam foto yang memukau pandangan orang sekeliling.

Bukan sekadar menggayakan pakaian era 70-an, malah potongan rambut asli afro atau 'pageboy' menjadi pelengkap kehadiran mereka ke lokasi penggambaran.

Sebenarnya sembilan lelaki itu yang dijemput penulis untuk sesi fotografi di ibu pejabat The New Straits Press (M) Berhad hanya sekumpulan kecil di Malaysia yang gemar gaya itu.

PELBAGAI gaya 70-an yang menarik dan mengimbau nostalgia.
PELBAGAI gaya 70-an yang menarik dan mengimbau nostalgia.

Acara perjumpaan di ibu negara yang dikongsi di Facebook 70s Revival dan TikTok _wankan_ baru-baru ini menjadi tular.

Jumlah yang menonton di akaun TikTok itu bukan sedikit kerana ia mampu meraih sehingga 2.6 juta tontonan di salah satu akaun TikTok milik seorang peserta perjumpaan itu.

Pemilik kedua-dua akaun itu, Mohd Shazwan Saburi berkata, dia sendiri tidak menyangka gaya asli 70-an mempunyai pengikut dan peminatnya tersendiri.

Jelas pemuda berusia 30 tahun itu, ketika dia merancang mengadakan perjumpaan dengan menggayakan pakaian itu, dia menjangkakan 30 orang sahaja yang akan menyertai acara itu, tetapi rupanya menarik hampir 70 penyertaan.

"Pada acara yang diadakan 20 Ogos lalu, kami merekodkan video dan memuat naik di media sosial. Tidak sangka ia tular.

"Sejak itu pengikut di Facebook dan TikTok bertambah. Boleh dikatakan pengikut di media sosial saya itu adalah dalam kalangan mereka yang gemarkan gaya vintaj terutama 70-an," katanya.

MOHD Shazwan menggemari gaya vintaj sejak 10 tahun lalu.
MOHD Shazwan menggemari gaya vintaj sejak 10 tahun lalu.

Shazwan berkata, dia mula meminati gaya vintaj sejak 10 tahun lalu, tetapi tidak mempunyai keberanian untuk memakai busana era itu dari rambut hingga kaki.

"Ia bermula apabila ada kenalan ingin menjual pakaian itu kepada saya. Jadi, saya bulatkan hati membeli dan menggayakannya, ternyata ia sesuatu fesyen yang amat menarik dan terasa puas," katanya.

Sejak mengadakan perjumpaan dengan pengikut yang mempunyai minat sama (pakaian 70-an). Mereka mula menjadi rakan dan ada antaranya menjadikan pakaian itu sebagai pakaian harian.

Bukan mudah sebenarnya mengenakan pakaian itu secara total selain memerlukan keberanian kerana ibarat menongkah arus dunia fesyen, mereka juga perlu menyarungkan kasut tinggi yang mempunyai tumit kira-kira tiga inci.

AZIZUL Hafiz menjadikan gaya 70-an sebagai gaya harian.
AZIZUL Hafiz menjadikan gaya 70-an sebagai gaya harian.

Bagi Azizul Hafiz Abdul Mutalib, 34, pula, dia menyarungkan gaya pakaian era 70-an sebagai pakaian harian sejak berusia 27 tahun.

Di sebalik minatnya dalam berbusana 70-an sebenarnya tersirat makna tersendiri apabila ia adalah salah satu cara mengingati arwah bapanya, Abdul Mutalib Joned.

"Bapa saya adalah pengetua dan boleh dikatakan cukup terkenal dari segi menjaga penampilan terutama di era 70-an.

"Saya sempat bersama bapa hanya 14 tahun. Banyak kenangan manis dengannya. Jadi, apabila menyarungkan pakaian ini, seperti mengimbau kenangan dengannya," katanya.

Katanya, sebelum memakai pakaian itu sudah tentu memerlukan ilmu supaya gaya yang dikenakan tidak tampak canggung.

RAMBUT afro sinonim dengan era 70-an.
RAMBUT afro sinonim dengan era 70-an.

"Jadi, saya banyak merujuk kepada ibu, adik-beradik, gambar lama bapa dan membuat bacaan di laman web mengenai cara serta gaya pakaian itu.

"Misalnya, baju kemeja mengikut bentuk badan dan ia juga mempunyai corak tersendiri yang membezakannya dengan era sebelum itu seperti garis melintang, kotak serta geometri," katanya.

Tambahnya, memakai pakaian 70-an tidak lengkap jika tiada gaya rambut yang sesuai seiring gaya era itu dan aksesori serta kasut.

"Kasut umpamanya semestinya kasut mempunyai platform atau bertumit tinggi, tetapi ada juga kasut sukan jenama antarabangsa popular pada era itu yang menjadi ikutan," katanya.

ANTARA penggemar gaya era 70-an.
ANTARA penggemar gaya era 70-an.

Azizul Hafiz juga sanggup menempah pakaian era 70-an demi mendapatkan seluar dan baju yang mengikut kesesuaian bentuk badannya.

"Saya berbadan gempal. Jadi, agak sukar untuk membeli di kedai vintaj. Justeru, langkah terbaik dengan menempahnya di kedai jahit," katanya.

Katanya, sejak memakai pakaian 70-an sebagai busana harian, dia sudah terbiasa apabila khalayak melihatnya pelik. Malah, pernah ditertawakan.

"Saya tidak kisah mengenai persepsi orang. Suka atau tidak bagi saya pakaian ini tiada salahnya. Malah, ia mempunyai nilai tersendiri yang pernah disarungkan generasi sebelum ini.

"Antara pengalaman yang paling manis ketika saya berjalan di salah satu pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, ada seorang pak cik berbangsa Cina menahan saya untuk mengambil gambar bersama kerana pakaian yang saya sarung mengimbau nostalgianya pada zaman muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 7:01 AM