ANDREW (depan lima dari kiri) dan Tan ketika pertunjukan fesyen koleksi Infinence di Pavilion, Bukit Bintang.
ANDREW (depan lima dari kiri) dan Tan ketika pertunjukan fesyen koleksi Infinence di Pavilion, Bukit Bintang.
Redzuan Muharam

Jenama fesyen mewah dan gaya hidup di bawah syarikat Sahajidah Hai-O Marketing Sdn Bhd, Infinence membuat penampilan sulung di pentas pertunjukan Kuala Lumpur Fesyen Week (KLFW) 2018 menerusi tiga koleksi pakaian sedia dipakai (RTW) iaitu ‘Basic, Holiday dan Luxe’.

Koleksi Basic menampilkan padanan atas dan bawah serta gaun bersesuaian dengan individu yang gemarkan gaya minimalis tetapi tidak kelihatan membosankan.

Koleksi Holiday pula menawarkan padanan atas dan bawah serta gaun bermotifkan bunga-bungaan.

Koleksi itu cukup ideal untuk membangkitkan mood ceria dan ibarat satu kemestian di dalam almari pemakai yang menggemari persalinan berwarna-warni.

KOLEKSI Basic pilihan untuk penggemar gaya minimalis.
KOLEKSI Basic pilihan untuk penggemar gaya minimalis.

Bagi yang mahu tampil elegan dan anggun, koleksi Luxe paling sesuai kerana rekaannya bercirikan moden dan sofistikated.

Pengasasnya Tan Keng Kang berkata, kemunculan pada acara tahunan itu adalah antara inisiatif syarikat untuk mengukuhkan lagi jenama Infinence yang mula dilancarkan pada 2016.

Tan berkata, pihaknya yakin KLFW 2018 adalah platform yang tepat untuk memperkenalkan ketiga-tiga koleksi berkenaan memandangkan acara itu saban tahun menjadi tumpuan pencinta dan penggiat dalam industri fesyen tanah air.

MODEL memperagakan pakaian daripada koleksi Holiday.
MODEL memperagakan pakaian daripada koleksi Holiday.

“Meskipun baru dua tahun bertapak dalam industri fesyen, kami sudah menjalin kerjasama dengan beberapa nama terkemuka antaranya Datuk Jimmy Choo sebagai penasihat jenama, pereka terkenal, Rizman Ruzaini yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan koleksi hijab dan pelakon popular, Fazura selaku duta untuk koleksi kasut dan beg.

“Kini kami melangkah setapak lagi menerusi penyertaan dalam KLFW 2018 dan dari sudut perniagaan, ia satu peluang keemasan kerana membolehkan kami pergi lebih jauh seterusnya bersaing dengan jenama sedia ada.

“Menerusi platform ini juga, kami dapat menyampaikan mesej mengenai pentingnya kesempurnaan dalaman dan luaran seiring dengan latar belakang syarikat yang asalnya menjalankan perniagaan kesihatan” katanya.

GAUN labuh rona merah menyerlahkan sisi elegan pemakai.
GAUN labuh rona merah menyerlahkan sisi elegan pemakai.

Mengenai perancangan seterusnya, Tam berkata, pihaknya bercadang melancarkan ketiga-tiga koleksi berkenaan secara berperingkat sehingga pertengahan tahun depan.

“Koleksi ini dijangka berada di pasaran pada bulan ini dan sebarang pengumuman lanjut akan dimaklumkan di laman Instagram rasmi kami,” katanya.

Sementara itu, Pengasas KLFW Andrew Tan menyambut baik penyertaan Infinence dan yakin jenama berkenaan berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam industri fesyen.

Menurut Andrew, pihaknya juga sedia membantu membantu dalam memperkenalkan jenama fesyen berkenaan tidak hanya di Malaysia tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Penyertaan jenama itu di pentas KLFW membuktikan kesungguhan syarikat berkenaan dalam menyahut cabaran dengan meneroka bidang fesyen.

“Sebagai penganjur, saya berbesar hati dan menganggap ia satu perkembangan positif yang boleh mewujudkan persaingan sihat dalam industri fesyen tempatan,” katanya.

PADANAN blaus dan celana potongan kembang menyerlahkan imej wanita moden.
PADANAN blaus dan celana potongan kembang menyerlahkan imej wanita moden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:31 AM