REKAAN unik gabungan penampilan artis K-pop guna fabrik kapas lembut, sifon.
REKAAN unik gabungan penampilan artis K-pop guna fabrik kapas lembut, sifon.
Siti Zarinah Sahib


PENGHASILAN sesuatu rekaan kebiasaannya adalah hasil adaptasi daripada gaya pereka itu sendiri. Walaupun tidak membabitkan keseluruhan potongan, sedikit sebanyak ia mengambil inspirasi daripada apa yang mereka gemar gayakan.

Bagi Aina Awatif Ahmad Badrin, 24, dia turut mengakui ketika mula menghasilkan padanan menerusi jenama Wadi Adra, perkara pertama yang bermain dalam fikirannya adalah penggayaan segar dan minimum, namun kelihatan romantik.

Menggabungkan kesemua elemen ini, sebagai wanita muda dia turut mengambil pendekatan dengan melihat senario dalam industri muzik yang sangat menyokong kehadiran selebriti Korea.

“Setiap kali melayari media sosial apa yang sering diperkatakan adalah penampilan artis Korea yang unik serta menarik. Mereka bukan sahaja dijadikan idola dalam nyanyian dan lakonan malah kecantikan, kesihatan serta fesyen turut diberikan keutamaan,” katanya.

Jelas Aina Awatif, gabungan gayanya sendiri dan penampilan artis K-pop maka terhasillah jenama Wadi Adra yang mula beroperasi pada Februari 2013 dengan memberi penekanan kepada pakaian kasual tetapi mengikut syariah Islam.

“Saya memang suka berfesyen dan gemarkan penampilan sederhana, nampak manis serta comel. Bagi menyempurnakan keinginan remaja yang inginkan gaya seperti saya, dengan sedikit sentuhan selebriti Korea Pop atau K-pop, saya dedikasi jenama ini untuk mereka,” katanya.

Menggunakan material yang sangat sesuai dengan keadaan cuaca panas dan lembap di Malaysia iaitu kapas lembut serta sifon, kedua-dua fabrik ini tidak melekat pada badan dan sejuk.

“Sebenarnya fabrik yang kami gunakan hasil daripada tinjauan pelanggan selepas kami memberi peluang kepada mereka memberi idea fabrik kegemaran mereka,” katanya.

Bagi potongan menampakkan imej segar dan menawan, Aina Awatif menambah perincian ropol, lipatan dan riben agar si pemakai kekal manis serta sopan.

Keistimewaan koleksi Wadi Adra adalah pada rekaannya unik selain sesuai untuk remaja yang baru berjinak-jinak dalam fesyen.

Menampilkan gaya kasual, setiap padanan hanya perlu disarungkan dan ia kelihatan sepadan dengan badan si pemakai disebabkan perinciannya mampu menaikkan seri wanita.

Jahitan manik, ropol, riben dan teknik lipatan menjadi keutamaan Aina Awatif setiap kali mengetengahkan rekaan baru.

Setakat ini, jenama ini sudah mengeluarkan lebih daripada 20 rekaan untuk koleksi kasual termasuk jeans, jaket, blazer dan sut dan lebih 100 rekaan untuk koleksi baju kurung dan jubah.

Setiap rekaan boleh diperoleh di butik atau pembelian dalam talian pada harga serendah RM39 sahaja. Hadir dalam ukuran semua iaitu S-M dan L-XL.

1. GAUN Muslimah polos warna merah jambu kekal menawan.

2. BLAUS dipadankan skirt untuk gaya moden.

3. MANIS dan sopan blaus dipadankan palazo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:30 AM