MIMI Suriati bijak kendali motosikal Suzuki V-Strom 650 bersama unit UPB JPJ setanding anggota lelaki.
MIMI Suriati bijak kendali motosikal Suzuki V-Strom 650 bersama unit UPB JPJ setanding anggota lelaki.
Samadi Ahmad


SIAPA sangka, impian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi sejak di bangku sekolah lagi menjadi kenyataan apabila ia sebahagian daripada kerjayanya hari ini.

Mimi Suriati Mohd Razali, 26, berasal dari Kampung Gong Pak Cheng, Besut, Terengganu berjaya membuktikan wanita juga mampu melakukan perkara diminati berbekalkan semangat dan kecekalan.

Beliau antara seorang daripada tiga wanita dari Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditubuhkan pada 3 Mac 2019 menggunakan motosikal Kawasaki Versys 650cc di Unit Pentadbiran dan Penguatkuasaan JPJ, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Katanya, sejak di bangku sekolah beliau sudah membawa motosikal ke sekolah dan sehingga satu tahap ingin memiliki motosikal berkuasa tinggi sendiri.

"Saya bertuah kerana dipilih menyertai agensi penguatkuasaan ini sejak 2021 dan mahu buktikan wanita juga mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi," katanya.

Mimi mengakui dirinya amat kekok dan gementar pada detik awal pembabitannya dalam kerjaya yang bersaing dengan anggota lelaki kerana dilihat mempunyai kekuatan fizikal lebih baik selain berhadapan kesukaran mengendalikan motosikal bersaiz besar itu.

Menurutnya, keluarganya antara yang banyak memberi sokongan kepada dirinya untuk menyertai jabatan diceburimya itu.

Anak ke dua dari lapan beradik ini berkata, ketika menyertai JPJ dia diberi pendedahan mengenai permotoran secara teori dan praktikal berkenaan teknik pemanduan termasuk penjagaan enjin.

"Sebagaimana diberi amanah mengendalikan aset berkuasa tinggi, kita perlu pastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan melakukan rutin servis setiap kali tiba tempoh ditetapkan," katanya.

MIMI Suriati (kiri) menyertai program keselamatan jalan raya.
MIMI Suriati (kiri) menyertai program keselamatan jalan raya.

Akuinya, pembabitan dalam bidang penguatkuasaan jalan raya itu banyak membentuk dirinya menjadi seorang yang sentiasa berfikiran positif dan optimistik.

"Ramai yang beranggapan anggota wanita lemah dan tidak tegas sebaliknya bagi diri saya, sikap serius dan profesional ketika menjalankan tugas itu menjadi keutamaan supaya kita lebih dihormati," katanya.

Berkongsi pengalaman kerjaya Mimi berkata, rutin tugas hariannya adalah mengadakan rondaan di sekitar ibu kota. Sekiranya berhadapan dengan individu yang melakukan kesalahan selalunya beliau akan bersikap toleransi terlebih dahulu sebelum mengenakan saman dan ia bergantung kepada kesalahan dilakukan.

"Kita perlu siasat terlebih dahulu latar belakang individu yang melakukan kesalahan itu termasuk memberi nasihat supaya dia tidak melakukan kesalahan sama di masa hadapan.

"Terdapat juga individu yang melawan dan tidak berpuas hati apabila melakukan kesalahan namun sebagai anggota penguatkuasa kita perlu sentiasa sabar dengan memberi penjelasan dan nasihat kepada individu itu," katanya.

Selain melakukan tugas penguatkuasaan beliau juga terbabit dengan aktiviti kempen keselamatan jalan raya yang diadakan JPJ.

Beliau bersyukur kerana selepas menerima banyak pendedahan dan latihan di JPJ, kini dia mampu mempraktikkan ilmu dipelajari ketika melakukan pemanduan di luar.

Bekas pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut ini berkata, dia juga memiliki motosikal sendiri iaitu Banelli TNT 600cc sejak 2019.

Katanya, walaupun kini semakin mahir namun masih perlu sentiasa beringat dan berhati-hati terutama ketika di jalan raya kerana malang tidak berbau.

ANGGOTA wanita Unit Peronda Bermotosikal (UPB) JPJ,Mimi Suriati  (kanan) bersama rakan sekerja.
ANGGOTA wanita Unit Peronda Bermotosikal (UPB) JPJ,Mimi Suriati (kanan) bersama rakan sekerja.

Pada hujung minggu pula, beliau sering melakukan aktiviti pemanduan secara solo ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk pulang ke kampung halaman ketika bercuti.

"Menunggang motosikal berkuasa tinggi secara solo ini bukan saja dapat mengatasi rasa takut malah lebih seronok ketika meluncur di atas jalan raya kerana ia antara terapi yang dapat melegakan tekanan perasaan," katanya.

Mimi berkata, statusnya yang masih belum berkahwin membuatkan dia tidak berhadapan halangan untuk melakukan aktiviti itu namun minat itu tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam.

Akuinya, setiap wanita perlu mempunyai minat sendiri kerana ia dapat melegakan tekanan, menggembirakan dan pada masa sama mengembangkan minda.

"Kerjaya dan minat ini berjaya memberi pelbagai kesan positif dalam hidup saya. Walaupun segelintir masyarakat menganggap gaya ranggi itu memberikan imej kasar kepada kaum hawa, namun tanggapan itu perlu diubah kerana sifat kewanitaan dalam diri saya masih kekal biarpun menunggang motosikal berkuasa tinggi.

"Saya tidak mengambil kisah tanggapan negatif kerana lebih mementingkan kepuasan apatah lagi dunia pemotoran ini sudah lama saya impikan," katanya.

Sementara itu rakan sekerjanya Surajana Pra Pan, 25, berkata, Mimi seorang pekerja yang sangat komited dalam tugas tidak mengira dalam tugas rasmi atau pun tidak.

"Dia adalah seorang yang tegas serta berdisiplin dan menghormati pegawai serta rakan sekerja.

"Walaupun dia meminati hobi menunggang motosikal kuasa tinggi namun dia tidak pernah mengabaikan tugas serta tanggungjawab diamanahkan," katanya.

Menurut Surajana, rakannya itu juga seorang yang aktif bersukan dan meminati aktiviti mendaki bukit pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:00 AM