BERKONGSI minat yang sama dalam sukan memanah.
BERKONGSI minat yang sama dalam sukan memanah.
FADZIL dan isteri memberi sokongan penuh terhadap minat anak mereka dalam sukan memanah.
FADZIL dan isteri memberi sokongan penuh terhadap minat anak mereka dalam sukan memanah.
Nurul Husna Mahmud


Tiga hari berlatih terus bertanding! Itu yang dikongsi Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz, 17, mengenai pengalaman pertama kali menyertai pertandingan memanah mewakili sekolah di peringkat daerah.

Seakan-akan sudah ditakdirkan memiliki laluan cemerlang dalam sukan itu, dia bertekad untuk pergi jauh termasuk menyimpan hasrat membarisi nama besar dalam pasukan negara.

Menariknya perjalanan itu tidak hanya bersendirian, sebaliknya ia dituruti empat saudara yang lain, Nur Ainaa Nadiah, 16, Nur Arissa Najlaa, 14, Abid Aryan, 10 dan Aqil Ahnaf, 6.

Kata Nur Alyaa, hasrat untuk serius dalam sukan itu pada awalnya menerima tentangan bapanya, Fadzil Fairuz Abu Taroff, 43, apabila melihat kesan tangan berbirat akibat 'libasan' tali panah.

Tetapi, melihat minatnya yang turut datang bersama potensi besar, bapa beralih menjadi penyokong setia.

"Saya buktikan dengan setiap kemenangan dari pertandingan yang disertai. Dari wakil sekolah, saya berjaya ke peringkat daerah dan ketika masuk tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Johor prestasi saya melangkaui senior.

"Pada masa sama saya terpilih menyertai kem latihan yang mana menempatkan atlet mewakili MRSM dalam setiap kejohanan sehingga akhirnya pernah mewakili Johor di peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) pula," katanya.

Kata Nur Alyaa, beraksi di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) adalah pencapaian tertinggi dengan mewakili Selangor baru-baru ini.

"Prestasi terbaik saya adalah ketika di podium 1 yang mana berjaya memecah rekod sendiri dengan mengumpul 595 mata.

"Memanah ini memerlukan fokus dan banyak juga bermain dengan mental selain memerlukan saya kekal berstamina sepanjang perlawanan.

"Untuk pengetahuan, sukan memanah ini panjang dan berhari-hari perlawanan, memang kena ada stamina, rehat dan kekuatan mental untuk mengharungi persaingan," katanya.

Bagi adiknya, Nur Ainaa Nadiah yang bermain untuk kategori compound pula, saingannya adalah sengit kerana kategori itu hanya dipertandingkan di acara terbuka.

"Kategori sukan panah yang saya ceburi ini tiada dipertandingkan di peringkat sekolah, bermakna ia dipertandingkan di peringkat kategori terbuka dan pencabar saya adalah dalam kalangan atlet negeri atau kebangsaan.

"Saya beralih dari recurve kepada compound kerana lebih serasi dan kurang risiko kecederaan," katanya.

Cabaran lain Nur Ainaa termasuk perlu menyesuaikan diri kerana dia bercermin mata.

"Setiap atlet pemanah ada tabiat buruk dan kelemahan perlu diatasi. Dalam kes saya adalah mempunyai masalah rabun dan menggunakan cermin mata.

"Saya terpaksa sesuaikan dengan keadaan dan teknik memanah supaya dapat kembali mendapat rentak seperti dulu," katanya.

Nur Arissa Najlaa yang juga anak ketiga daripada lima beradik menyifatkan pencapaian kakak sulungnya, Nur Alyaa banyak mendorong untuk dia turut sama terbabit dalam sukan memanah.

"Tengok kakak asyik memenangi setiap pertandingan membuatkan saya bersemangat untuk turut sama menyertai sukan ini.

"Tidak kisah perlu jalani latihan dari pagi sampai petang, saya masih seronok dapat memanah.

"Pernah juga terpaksa harungi pertandingan dalam keadaan keletihan dan demam. Ia berlaku dalam Kejohanan Memanah Sirkit Remaja di Lumut, Perak baru-baru ini. Saya terjejas ketika jarak 50 meter dan 'recover' baik pada jarak 30 meter.

"Saya tidak mahu mengalah sebelum bertanding kerana bagi pemanah pertandingan sangat penting dalam membantu menjadi atlet pemanah yang baik," katanya yang mengagumi atlet kebangsaan seperti Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh.

Dalam pada itu bapa kepada lima saudara pemanah itu, Fadzil Fairuz dan isteri, Junainah Abdullah, 43, memberi komitmen penuh dalam membantu mengembangkan potensi anak dalam sukan terbabit.

"Saya dan isteri tidak kisah berkampung berhari-hari di tempat pertandingan sebagai sokongan pada anak.

"Sukan memanah itu sendiri sangat bagus terutama membantu anak lebih fokus dan skil itu digunakan ketika mereka belajar.

"Komitmen saya dan isteri bukan sekadar tukang sorak atau penyokong, malah kami sanggup melabur tenaga serta wang untuk menghadiri kursus menjadi jurulatih dan pengurusan dalam padang.

"Saya berharap ilmu dipelajari dapat digunakan bagi membantu menaikkan prestasi anak," katanya.

Berikut pencapaian terbaik empat dari lima saudara yang menyertai sukan memanah.

1. Nur Alyaa Nazurah

I. Kejohanan Memanah Trebuka Insitut Pengajian Tinggi (IPT) Peringkat Kebangsaan 2002 UniSZA, Kampus Gong Badak, Terengganu (25-29 Mei 2022)

Pingat Perak Olimpik Berpasukan

II. Kejohanan Memanah Sirkit Remaja Kebangsaan, Arena Emas Johor Bahru (20-24 Julai 2022)

Pingat gangsa Olimpik Berpasukan

III. Sukan Malaysia XX 2022

Mewakili skuad Selangor

2. Nur Ainaa Nadiah

I. Kejohanan Memanah Pelapis & Bakat Negeri Peringkat Kebangsaan Sirkit 1/2022, Arena Emas, Johor Bahru (18-21 Ogos 2022)

Pingat emas Olimpik berkumpulan Kategori Compound

Pingat gangsa Olimpik Individu Kategori Compound

3. Nur Arissa Najlaa

I. Kejohanan Memanah Terbuka Selangor Ian Scott International 2021

Pingat perak Keseluruhan Pusingan Kelayakan Kategori Recurve P15

Mencatat rekod Kebangsaan Recurve 50 meter Pusingan *Kelayakan (313 mata)

II. Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan, Arena Emas Johor Bahru (20-24 Julai 2022)

Pingat gangsa Olimpik Berpasukan

4. Abid Aryan

I. Menyertai Kejohanan Memanah Karnival Kokurikulum Bukit Jelutong Peringkat Kebangsaan (27-29 September 2022)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 7:00 AM