TAHIRA mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang sukan larian dan multiport.
TAHIRA mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang sukan larian dan multiport.
Hafiz Ithnin


IBARAT satu tembakan tepat yang menggegarkan seantero dunia sukan lasak tempatan apabila pemilik nama, Tahira Najmunisaa Muhamad berjaya menyumbang pingat perak menerusi acara duathlon pada temasya Sukan Sea di Hanoi, baru-baru ini.

Malah turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang berjaya berada di podium antarabangsa dalam sukan berkenaan.

Sebenarnya nama Tahira dalam arena larian denai ultra antarabangsa sudah lama dikenali sehinggakan pernah diberi gelaran sebagai Queen of Trail Asia pada 2016 selepas berjaya dalam kejohanan Asia Trail Master Women Champion 2016.

Dalam temu bual bersama Wanita Metro (WM) baru-baru ini, diakui bukan mudah untuk bergelar Tahira kerana beliau bukan sahaja atlet dan penjelajah negara, tetapi seorang isteri serta ibu kepada empat cahaya mata.

Bagi Tahira, dunia sukan sudah sebati dengan jiwanya sejak berusia 18 tahun. Tiada hari tanpa latihan meskipun perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Setiap hari saya bangun 5.30 pagi untuk menguruskan keluarga. Segala tugasan di rumah saya lakukan sendiri dan tidak pernah suami pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak terurus. Itu adalah tanggungjawab saya.

"Namun, dalam masa sama saya perlu peruntukan masa untuk berlatih setiap hari. Ia perlu dilakukan secara konsisten supaya stamina sentiasa ada dan tahu untuk memperbaiki prestasi sukan," katanya.

Katanya, atlet yang mempunyai keluarga sahaja tahu mengenai cabaran untuk menyeimbangkan antara minat dan tanggungjawab kerana ia bukan sesuatu yang mudah apatah lagi mempunyai anak-anak yang masih kecil.

"Anak saya berusia empat hingga 12 tahun. Anak saya yang kecil pula mempunyai masalah jantung berlubang sejak berusia lapan bulan dan kini masih perlu menjalani rawatan susulan kerana dia mempunyai tujuh lubang di jantung.

"Keluarga menjadi motivasi paling penting untuk saya kerana mereka sentiasa menjadi pembakar semangat. Apatah lagi, anak yang paling bongsu kerana walaupun dia masih kecil dan sakit, tidak sedikit pun dia menunjukkan rasa sakit kepada saya dan suami. Dia insan yang cukup kuat untuk kami," katanya.

TAHIRA bangga menjulang Jalur Gemilang ketika menuju garisan penamat dalam Sukan Sea Hanoi.
TAHIRA bangga menjulang Jalur Gemilang ketika menuju garisan penamat dalam Sukan Sea Hanoi.

Jelasnya, setiap kali menyertai kejohanan, anak-anak menjadi pembakar semangat untuk terus beraksi dan mencipta kejayaan kerana mereka adalah tulang belakang terkuat untuk dirinya.

"Begitu juga ketika menyertai Sukan Sea baru-baru ini, hanya wajah anak-anak menjadi peneman saya sehingga mampu menyumbangkan pingat perak kepada Malaysia.

"Saya juga bersyukur, suami berada dalam bidang yang sama dan sentiasa menyokong serta memberi semangat," katanya.

Tahira berkata, dia mula aktif menyertai multisport sejak 2008. Sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada larian denai dan sudah banyak mencatatkan kejayaan dalam kejohanan itu sama ada di Malaysia mahupun luar negara.

Selain itu, di sebalik kejayaan Tahira menyumbangkan pingat perak kepada negara, dia pernah mengalami kemalangan ketika membuat persediaan untuk pemilihan atlet duathlon negara bagi temasya sukan berkenaan.

"Pada 2020 selepas mengetahui mengenai pencarian atlet duathlon saya berlatih dan berlaku kemalangan menyebabkan cedera yang agak serius menyebabkan tulang pergelangan patah selain empat batang gigi mengalami masalah akar. Sehingga kini, saya masih mendapatkan rawatan susulan untuk sembuh sepenuhnya," katanya.

Ternyata, Tahira yang pernah menjadi wakil tunggal wanita dalam Ekspedisi Greenland 2014 bukan mudah untuk goyah dan terus bersemangat ingin mengharumkan nama Malaysia dalam temasya sukan itu.

"Saya berharap pada masa depan dapat menjadi individu yang melatih lebih ramai atlet tempatan dalam sukan ini kerana kita mempunyai ramai bakat dan berpotensi untuk mengharumkan nama negara.

"Malah, saya tidak pernah berasakan diri ini sentiasa kuat dan pada masa depan pasti akan ada pengganti yang mampu mencatatkan prestasi lebih baik," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 7:00 AM