MUHAMMAD Hisyam bersama gubahan orkid.
MUHAMMAD Hisyam bersama gubahan orkid.
Muhamaad Razis Ismail


Kewujudan pelbagai platform media sosial memberi kemudahan dan kebaikan kepada masyarakat sekiranya ia dimanfaatkan sebaik mungkin.

Muhammad Hisyam Mohd Yusof, 28, tidak terkecuali apabila menggunakan teknologi itu bukan sahaja untuk menjana pendapatan sampingan, malah berkongsi ilmu gubahan bunga orkid.

Kebiasaannya pada setiap minggu, dia yang menggunakan nama Tangan Lelaki Orkid di Facebooknya akan membuat secara penstriman langsung selama sejam teknik mengubah bunga orkid sejak dua tahun lalu.

Umpama menyelam sambil minum air, sambil memberi tunjuk ajar, lelaki berasal dari Kemaman, Terengganu ini mengambil kesempatan menyiapkan tempahan pelanggan yang hanya dibuat pada setiap hujung minggu.

MENYIAPKAN tempahan pelanggan.
MENYIAPKAN tempahan pelanggan.

Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan peminat gubahan bunga orkid di dalam dan luar negara.

Muhammad Hisyam berkata, pada mulanya dia agak keberatan untuk membuat tutorial secara langsung itu, berikutan malu dan bimbang dengan persepsi orang ramai.

Katanya, pada awal terbabit dengan gubahan bunga orkid ini dilakukan secara senyap untuk mengelakkan diketahui oleh rakan sekerja.

"Pada ketika itu, saya bimbang dengan penerimaan orang ramai apabila melihat lelaki membuat gubahan bunga orkid yang biasanya dilakukan wanita.

"Namun lama-kelamaan, timbul keberanian sebelum saya aktif menggunakan media sosial untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia.

"Sebelum ini saya hanya menerima tempahan di kawasan sekitar. Namun melihat sambutan yang menggalakkan saya buka jualan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Dari situ, kemudian timbul idea untuk membuat tutorial cara membuat gubahan bunga orkid secara langsung kepada orang ramai.

AKTIF membuat tutorial di Facebook.
AKTIF membuat tutorial di Facebook.

"Alhamdulillah sambutan yang diberikan pelanggan sangat menggalakkan bukan sahaja dari dalam negara, malah turut ditonton peminat gubahan bunga dari negara luar seperti Indonesia dan Brunei.

"Selain dapat menyiapkan tempahan saya dapat berkongsi ilmu kepada orang ramai untuk bersama-sama menjana pendapatan serta berinteraksi dengan mereka," katanya.

Dia mengakui, ada juga yang mempersoalkan tindakannya membuat tutorial itu yang dilihat boleh menjejaskan pendapatan.

"Saya dahulu pun belajar sendiri menerusi internet, jadi tidak salah rasanya saya buat perkara yang sama dengan berkongsi ilmu kepada mereka yang memerlukan terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Malah, saya tidak rasa tergugat kerana percaya dengan setiap rezeki ditentukan Allah apabila kita sentiasa berusaha untuk mendapatkannya," katanya.

Tambahnya, manfaat lain diperoleh menerusi media sosial ialah dia dapat menambah jumlah pelanggan dari dalam dan luar negara.

BUNGA orkid yang akan dihantar kepada pelanggan.
BUNGA orkid yang akan dihantar kepada pelanggan.

"Alhamdulillah selain dari dalam negara, saya turut mendapat permintaan daripada luar negara seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.

"Bagaimanapun, setakat ini saya terpaksa tolak berikutan kos penghantaran yang tinggi," katanya.

Muhammad Hisyam berkata, gubahan orkid ini sebenarnya sangat mudah dihasilkan mengikut kreativiti masing-masing.

"Asalkan mempunyai minat dan keinginan untuk belajar, orang yang tidak berpengalaman juga mampu menghasilkan gubahan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:30 AM