Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hasil kerjanya nampak kemas dan teliti, jadi tidak hairanlah jika Juliana Johari tidak menang tangan mendapat tempahan pelanggan untuk menggubah hadiah serta cenderahati.

Lebih mengagumkan, Juliana, 33 yang juga bekas penjawat awam mampu meraih pendapatan menggalakkan walaupun baru dalam bidang itu.

Bagaimanapun, kerja itu tidak semudah disangka kerana Juliana perlu memperuntukkan masa lama bagi memastikan tempahan pelanggan siap sebelum waktunya.

Pada masa sama, Juliana perlu menguruskan suami, Husni Mohiddin, 34, dan dua anak lelaki berusia lima dan tujuh tahun selain melawan penyakit barah hati tahap empat dihidapinya.

"Sebenarnya, saya tidak hanya mengambil tempahan membuat gubahan tetapi turut membantu pelanggan membuat kejutan kepada penerima hadiah kiriman mereka.

"Sebelum ini, saya ambil upah sebagai jurusolek dan membuka salun rambut tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan perniagaan jadi perlahan.

"Jadi, saya cuba ambil inisiatif dengan mengambil tempahan membuat gubahan hadiah dan cenderahati termasuk dengan pakej khidmat penghantaran serta perancang kejutan.

"Saya cuba muat naik video ketika membuat kejutan di TikTok untuk suka-suka tetapi menjadi tular dan sejak itu, banyak tempahan diterima.

JULIANA menghias gubahan yang diminta pelanggan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JULIANA menghias gubahan yang diminta pelanggan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Tak sangka sebenarnya kerja ini akan menjadi punca rezeki yang memberi pulangan baik kerana saya kerana baru saja bermula Mac lalu dan niat asal sekadar mahu mencuba," katanya ketika ditemui Harian Metro di Bandar Permaisuri, Cheras di sini.

Menurutnya, dia mengambil masa 30 minit hingga seharian untuk menyiapkan sesuatu tempahan bergantung kepada saiz dan jenis gubahan dimahukan oleh pelanggan.

Bagi membantu pelanggan, Juliana tidak mengambil upah yang mahal sebaliknya hanya serendah RM30 bagi setiap tempahan berserta khidmat penghantaran.

"Saya ambil upah dengan harga rendah kerana mahu membantu mereka yang ingin memberi kegembiraan kepada insan tersayang tetapi tidak mempunyai bajet besar.

"Jadi, saya cuba penuhi permintaan mengikut kehendak mereka dan pernah ada pelanggan mempunyai bajet RM20 saja untuk membeli hadiah buat ibunya tetapi saya terima.

"Ini kerana nilai dibelanjakan bukan yang utama tetapi keikhlasan lebih penting dan sekurang-kurangnya, dia tahu menghargai orang tuanya," katanya.

Juliana berkata, dia tidak berseorangan kerana ada ketikanya dibantu suami yang membantu membuat kejutan dengan memakai maskot.

"Suami memang beri galakan penuh dan sesekali, dia akan ikut saya membuat kejutan kepada penerima.

"Pelanggan suka dan gelarkanya Abam Bear namun suami ada kerja hakiki jadi dia tidak dapat ikut saya setiap waktu tetapi saya cuba atur masa bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kehadirannya," katanya.

Sementara itu, Husni berkata, dia sanggup memakai kostum berkenaan kerana mahu memberi sokongan kepada isterinya supaya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan.

"Kostum itu sebenarnya dibeli pada 2019 bagi memberi galakan kepada anak saya yang dulu enggan ke sekolah.

"Kiranya, sudah lama ia (kostum) tidak dipakai dan melihat isteri tertekan kerana perniagaan salunnya terjejas akibat Covid-19 mendorong saya mencari jalan untuk membantunya.

"Akhirnya, saya dapat idea iaitu membuat penghantaran dengan memakai kostum berkenaan.

"Memang panas ketika memakainya ditambah dengan cabaran ketika membuat kejutan kerana kami memerlukan lebih daripada satu perancangan tetapi saya cuba yang termampu demi isteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:39 PM
JULIANA membantu suaminya, Husni Mohiddin mengenakan kostum di Bandar Tasik Permaisuri. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JULIANA membantu suaminya, Husni Mohiddin mengenakan kostum di Bandar Tasik Permaisuri. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali