IBU tiga cahaya mata tinggalkan karier dalam industri pembinaan, kini serius jadi penggubah bunga.
IBU tiga cahaya mata tinggalkan karier dalam industri pembinaan, kini serius jadi penggubah bunga.
Hafiz Ithnin


Ibu tiga cahaya mata ini sedikit pun tidak menyesal ketika dia meninggalkan karier profesional dalam industri pembinaan kerana mengejar suatu kerjaya yang diminatinya sejak dari kecil. Apatah lagi, dia melihat bidang baharu itu mempunyai potensi besar untuk diterokai.

Tangan seninya bukan baharu berputik, tetapi sejak kecil menanam minat.

Ketika masih berusia lapan tahun, Atikah Abdul Kadir, 39, sudah 'mengusahakan' aksesori tangan iaitu gelang yang diperbuat daripada perca kain untuk dijual kepada rakan sekelas.

Cuma apabila dia sudah meningkat dewasa karya seninya semakin berkembang kepada penggubah bunga. Sehinggakan ketika majlis perkahwinannya pada 2017, dia sendiri yang mengubah bunga hantaran.

Atikah berkata, bakatnya dalam mengubah bunga disedari kakaknya yang melihat ia sesuatu yang boleh dikembangkan menjadi satu perniagaan lebih serius kerana ada ramai yang meminati seni itu di pasaran tempatan.

"Pada 2019, kakak saya meminta membuat satu gubahan bunga orkid dan dia adalah pelanggan pertama saya. Bermula sekadar suka-suka akhirnya berkembang kepada kerjaya yang serius.

"Saya ketika itu masih bekerja dalam bidang pembinaan dan menjadikan aktiviti serta menjual gubahan bunga ini hanya separuh masa. Namun, disebabkan dari semasa ke semasa, permintaan semakin meningkat dan saya rasakan ia adalah petanda untuk saya serius dalam bidang kreatif ini," katanya.

Katanya, dia hanya mengusahakan kerja menggubah bunga di rumah dan menjualnya secara dalam talian. Pelanggannya adalah dari seluruh Malaysia sama ada pembeli dalam talian atau yang mempunyai janji temu secara peribadi untuk mendapatkan gubahan bunga eksklusif.

"Bagi yang dijual dalam talian, saya mempunyai katalog yang sudah sedia untuk dijadikan rujukan kepada pembeli memesan dan ia lebih cepat kerana kita sudah maklum mengenai gubahannya.

"Bagi mereka yang inginkan rekaan eksklusif terutama untuk dijadikan hadiah atau dekorasi pejabat, mereka datang berjumpa saya untuk berbincang rekaan gubahan yang diinginkan," kata pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sains Dalam Fasiliti dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Malah, dia juga pernah menghasilkan gubahan bunga eksklusif untuk dekorasi di pejabat kerajaan negeri. Selain turut mendapat tempahan dari orang perseorangan untuk dihadiahkan kepada kerabat diraja.

ATIKAH berani mengambil cabaran jadi usahawan dalam dunia mengubah bunga.
ATIKAH berani mengambil cabaran jadi usahawan dalam dunia mengubah bunga.

ATIKAH teliti dalam menghasilkan gubahan bunga.
ATIKAH teliti dalam menghasilkan gubahan bunga.

REKAAN gubahan bunga yang dihasilkan untuk dijadikan hadiah.
REKAAN gubahan bunga yang dihasilkan untuk dijadikan hadiah.

"Selain itu, gubahan bunga saya juga pernah dibeli selebriti atau artis tempatan yang gemarkan seni ini untuk dekorasi dalam rumah mereka.

"Kebanyakan bunga yang saya gubah adalah jenis bunga tiruan dan pelbagai jenis bunga digunakan mengikut inspirasi peribadi serta permintaan pelanggan," katanya.

Berkongsi cerita bagaimana dia nekad meninggalkan kerjaya sebagai juruukur bahan selepas hampir sepuluh tahun berkhidmat katanya, ketika membuat keputusan untuk berhenti, dia tidak mengambil masa lama.

"Bagi saya dalam kehidupan kita ini perlu berani untuk menyahut cabaran dan menerokainya. Lebih banyak kita terokai pengalaman hidup yang lebih bermakna termasuk dalam bidang kerjaya.

"Meskipun dalam kerjaya sekarang hanya penggubah bunga, tetapi pengalaman saya dalam dunia korporat diadunkan bersama dunia keusahawanan yang diceburi ini.

"Saya mempunyai kakitangan yang membantu dan perlu juga memastikan operasi perniagaan berjalan dengan baik. Jadi, pengalaman ketika bekerja dalam dunia korporat diaplikasikan dalam perniagaan ini," katanya.

Dia akui, dari segi permintaan sentiasa ada kerana ketika ini dia dan kakitangan perlu menyiapkan kira-kira 50 gubahan bunga sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Pada musim perayaan pula kami menjadi semakin sibuk kerana kuantiti gubahan bunga yang ditempah meningkat dan perlu menyiapkan kira-kira 100 tempahan sehari.

"Jadi, bagi saya ia adalah satu pilihan kerjaya yang amat berbaloi. Selain itu, apabila menjadi usahawan ini saya perlu lebih cekap untuk menguruskannya supaya mampu bertahan," katanya.

Manisnya bergelar usahawan apabila lebih mudah menguruskan keluarga terutama tiga anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian.

"Suami juga menyokong penuh perniagaan ini dan dia juga sentiasa membantu seperti membuat penghantaran kepada pelanggan.

"Bagi saya sebagai wanita yang pernah bekerja dalam bidang korporat, kita jangan takut menceburi bidang baharu dan menerokainya. Paling penting perlu mempunyai strategi dan menggunakan platform terkini yang mudah untuk mendapatkan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:02 AM