Yusliza Yakimir Abd Talib


SENI penataan dalaman sesuatu ruang kediaman dengan hiasan bunga bukan perkara asing, malah pelbagai konsep diperkenalkan secara meluas di seluruh dunia.

Seni ini berkembang dalam pelbagai rekaan mengikut trend semasa. Ruang kediaman diisi dengan hiasan bunga, lebih-lebih lagi ketika meraikan sesuatu majlis. Bagaimanapun, dengan kos yang murah, penataan ruang kediaman boleh juga dilakukan sendiri di rumah.

Idea menempatkan jambangan bunga orkid tiruan sebagai permulaan mungkin boleh dipertimbangkan untuk menambah seri ruang tamu.

Memandangkan kos untuk mendapatkan orkid segar mahal dan tidak mampu bertahan lama mendorong peminat orkid memilih bunga tiruan.

Orkid tiruan jenis lateks warnanya lebih cantik dan seakan-akan asli menjadi pilihan ramai peminat hiasan rumah

Menurut pereka hiasan dalaman, Awienaz Mustafha, gubahan bunga orkid biasanya diletakkan di sudut ruang tamu kerana ia menambah seri suasana dengan warna ceria seperti merah jambu, ungu atau kuning.

Tambahan pula, katanya, keistimewaan material bunga hiasan kini tampak menyerupai bunga sebenar membuatkan ruang dalaman lebih ‘hidup.’

“Pada masa sama gubahan orkid tiruan juga boleh memberikan visual lebih eksklusif kepada ruang meskipun menggunakan konsep susunan perabot minimalis dan ringkas.

“Bunga hiasan tiruan mudah dijaga selain kerja mengalih kedudukannya jauh lebih mudah berbanding bunga sebenar.

BAHAN yang digunakan dalam gubahan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
BAHAN yang digunakan dalam gubahan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

“Pokok tiruan ini sesuai sebagai hiasan di dalam rumah dan ditambah pula dengan kombinasi daun hijau, ranting dan buluh kerana menyuntik suasana santai kepada penghuninya.

“Ditambah pula dengan rona orkid terang, suasana rumah suram bertukar menjadi ceria,” katanya.

Menurut Awienaz, pokok hiasan kini boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk sesuai untuk pelbagai ruang bagi memudahkan sesiapa saja bereksperimen dengan konsep gubahan yang diingini.

Katanya, untuk membuat gubahan bunga orkid dalam pasu besar, sebaiknya gubahan bunga bermula dari belakang iaitu tangkai pertama dicucuk paling tinggi dan semakin rendah di bahagian depan untuk mencipta perspektif.

Setiap tangkai pula, katanya, boleh dikukuh­kan secara menyokongnya menggunakan batang buluh bersaiz kecil dan mengikatnya dengan kabel plastik.

“Untuk mencipta gubahan yang tampak asli dan realistik, gunakan ranting sebagai aksesori dengan menyelitkan dan meling­karinya di antara tangkai orkid.

“Selain itu, kewujudan daun turut menambah seri gubahan dan untuk gubahan pasu besar seperti ini, menambah pokok kaktus dan batu tiruan juga menonjolkan ruang estetika yang cukup indah dalam sesuatu karya gubahan,” katanya.

Awienaz turut berkongsi cara menggubah jambangan orkid di dalam pasu besar yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

BAHAN

• 7 tangkai orkid jenis lateks

• 7 batang buluh kecil

• 4 tangkai daun

• 1 batang ranting kayu

• Beberapa tangkai pokok kaktus

• Pasu besar dengan span bunga

• Batu polisterin hiasan

• Gam pistol

• Kabel pengikat

1. LIPAT hujung tangkai bunga dan gamkan sebelum dicucuk ke dalam span.
1. LIPAT hujung tangkai bunga dan gamkan sebelum dicucuk ke dalam span.

2. ULANGI langkah (1) dengan mencucuk semua bunga dengan susunan semakin rendah di bahagian depan.
2. ULANGI langkah (1) dengan mencucuk semua bunga dengan susunan semakin rendah di bahagian depan.

3. CUCUK buluh berdekatan setiap tangkai bunga dan ikatkan dengan kabel pengikat.
3. CUCUK buluh berdekatan setiap tangkai bunga dan ikatkan dengan kabel pengikat.

4. CUCUK daun di kawasan kosong span.
4. CUCUK daun di kawasan kosong span.

5. TAMBAH batu polisterin. Untuk lekatkannya gunakan kayu sebagai sambungan, gamkan hujung kayu dan cucuk ke span di pasu.
5. TAMBAH batu polisterin. Untuk lekatkannya gunakan kayu sebagai sambungan, gamkan hujung kayu dan cucuk ke span di pasu.

6. TAMBAH sedikit hiasan seperti pokok kaktus bertangkai.
6. TAMBAH sedikit hiasan seperti pokok kaktus bertangkai.

7. RANTING kayu dicucuk ke span dan lingkarinya di antara tangkai orkid.
7. RANTING kayu dicucuk ke span dan lingkarinya di antara tangkai orkid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:45 AM
ORKID tiruan lebih mudah dijaga berbanding bunga hidup. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
ORKID tiruan lebih mudah dijaga berbanding bunga hidup. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor